Bukan semua perkahwinan bawa bahagia

“ENTAH bagaimana harus saya mulakan sedikit coretan hati ini untuk dikongsi bersama pembaca setia DCCK. Nak diberitahu taklah teruk sangat kes saya ni, tapi kalau tidak diberitahu, jiwa saya pula semakin hari semakin tidak tenteram.

‘‘Semakin saya simpan perasaan ini hati saya bertambah sakit terutama apabila membaca kisah-kisah yang ada kaitannya dengan cerita saya ini. Pendek kata, setiap kali saya baca DCCK pada setiap minggu hati, perasaan dan juga saya bercampur baur menjadikan saya seorang yang sentiasa resah gelisah. Jantung saya pula terasa begitu berkocak untuk turut meluahkan perasaan hati saya melalui pengalaman pahit dan pilu yang pernah saya lalui beberapa tahun lalu.

‘‘Sememangnya benar setiap pengalaman yang kita tempuhi akan mendewasakan kita, namun ada kalanya pengalaman ini akhirnya boleh membunuh perasaan kemanusiaan dan kepercayaan yang ada dalam jiwa ini. Dan bagi saya sekali terluka selamanya terasa.’’ Demikian cerita Sazwahaney dalam e-melnya kepada penulis.

‘‘Saya ingin mencurahkan apa yang saya alami sekadar untuk renungan pembaca sekalian, terutama gadis-gadis seangkatan saya. Untuk pengetahuan pembaca saya dilahirkan dalam keluarga yang penuh kesederhanaan dan mendapat cukup kasih sayang daripada ibu saya sejak kecil lagi. Walaupun tidak dilimpahi kemewahan namun kebahagiaan menjadi hak mutlak saya. Sementara ayah saya telah lama meninggal dunia.

‘‘Setelah dewasa, dan mendapat kerja, pernah juga di hati ini ingin berumah tangga, tetapi tidak pernah terbayang atau terlintas di jiwa saya untuk berkongsi kasih dengan orang lain. Kerana setelah bekerja saya rasa hidup saya cukup bahagia dan tenteram. Ibu sentiasa ada untuk memberikan nasihat dan pandangan, dan saya tidak pernah menghadapi masalah kewangan yang teruk, walaupun saya terpaksa hidup menanggung adik-beradik yang masih lagi menuntut.

‘‘Namun sebagai gadis yang berkerjaya tentulah kita hidup berkawan, di sinilah bermula segala-galanya, iaitu kehadiran seseorang lelaki bernama Hazman. Tetapi pembaca jangan tersilap kehadirannya bukan sebagai kekasih, tetapi sebagai kawan rapat. Kerana dia merupakan seorang yang amat mengambil berat hidup dan kerjaya saya dan sering bertanya tentang keluarga saya, maka dengan cepat kehadirannya mampu membawa ketenangan dan kegembiraan kepada saya.

‘‘Kebaikannya membawa saya dekat dengan keluarganya, saya kenal isteri dan anak-anaknya. Begitulah baik dan akrabnya hubungan kami ketika itu. Dan jauh di sudut hati, saya telah meletakkan dia sebagai saudara dunia dan akhirat. Tetapi apakan daya, saya cuma manusia biasa yang hanya boleh merencana sesuatu yang baik untuk kami namun takdir adalah penentu segalanya.

‘‘Dalam pada itu sebagai seorang gadis yang berkerjaya tentulah umur saya sudah menjejak lebih tiga puluhan tahun, sudah lewat untuk mencari teman hidup. Namun saya tidak kesal semua itu, kerana yang penting dalam hidup saya ialah karier saya yang menuntut supaya saya habiskan pengajian ke peringkat lebih tinggi lagi. Dan saya bahagia dengan keadaan saya walaupun tanpa suami.

‘‘Mungkin bagi mereka yang tidak perlu habiskan pengajian peringkat tinggi atau sekadar sarjana muda, pasti anda sudah pun memiliki keluarga sendiri, atau mungkin anda berkahwin dahulu dan kemudian menyumbung pengajian. Tetapi tidak demikian pendapat saya. Saya lebih pentingkan pengajian daripada suami.

‘‘Oleh kerana itu saya berjaya mengumpul satu per satu kertas-kertas berharga demi masa depan dan kerjaya saya. Dan sudah pasti dalam usia begini teman lelaki bukan lagi menjadi keutamaan. Apa yang lebih penting bagi saya ialah membalas jasa ibu, menjaganya dan membiaya pengajian adik-adik.

‘‘Apa yang menyedihkan ramai kalangan masyarakat kita masih memandang janggal gadis seperti saya. Lebih menyakitkan hati apabila mereka mendakwa saya terlalu memilih. Tidakkah mereka tahu bahawa setiap jodoh pertemuan, ajal maut itu adalah di tangan Allah jua?

‘‘Tidakkah mereka sedar bahawa kebahagian setiap orang itu juga berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain? Saya ingin bertanya pembaca semua apakah dengan berkahwin seseorang itu boleh hidup bahagia?

‘‘Apakah jaminan yang hidup saya tidak akan dipersiakan apabila berkahwin nanti. Dan apakah setiap wanita yang berkahwin itu sudah terjamin boleh bahagia hidupnya. Kalau bahagia tentu ruangan DCCK ini tidak akan wujud?

‘‘Saya tidak berniat memperkecilkan kebahagiaan wanita yang telah berkahwin, tetapi jangan pula menyalahkan orang kalau ditakdirkan hidup mereka menderita. Saya katakan begini sebab saya pernah menjadi mangsa fitnah, pandangan serong wanita lain semata-mata kerana saya belum berkahwin.

‘‘Lebih menyakitkan jiwa apabila saya dilabel sebagai perempuan gatal dan pengacau rumah tangga orang. Hinggakan setiap tingkah dan perbuatan saya menjadi dosa pada pandangan orang kerana tidak berkahwin.

‘‘Rupa-rupanya keramahan saya menjadi ancaman kepada masyarakat, kebaikan (kalau layak dikata begitu) saya amat ditakuti, kerana itu kepada gadis seangkatan saya anda perlu berhati-hati, ambil iktibar atas apa yang telah berlaku kepada saya.

‘‘Mereka beranggapan, setiap keramahan dan kebaikan saya kepada masyarakat mempunyai muslihat tertentu, ada tujuan jahat, yang pada pandangan mereka semata-mata mahu mencuri dan menawan hati suami mereka. Tidakkah mereka sedar bahawa kami sekadar berkawan! Tidakkah mereka yakin pada diri mereka sendiri dan percaya akan kasih sayang dan kesetiaan suami mereka. Kerana tidak ada keyakinan diri inilah mereka menjadi wanita yang amat cemburu.

‘‘Namun saya tidak boleh menyalahkan mereka, kerana segalanya berpunca daripada Hazman sendiri. Dia yang telah saya anggap sebagai saudara sendiri, rupa-rupanya dalam diam dia menyimpan minat dan menaruh hati kepada saya tanpa saya sedari.

‘‘Sebenarnya salah saya juga, sebagai manusia saya terlupa orang lain punya perasaan yang amat berbeza dan mereka tidak tahu apa yang ada dalam hati saya, mereka tidak dapat menyelami perasaan. Akhirnya Hazman yang saya anggap saudara, yang membantu saya ketika susah telah mencurigai kejujuran saya. Keikhlasan saya dianggap pura-pura sebaliknya dia menganggap saya juga menaruh hati terhadapnya, mencintainya. Ya Allah!

‘‘Di sinilah bermulanya masalah. Kerana saya menolak cintanya Hazman menjadi musuh nombor satu saya. Dia malu, marah dan paling utama dia berasa maruah dan egonya telah tercabar dan tercalar.

‘‘Saya kelu bila dia terus menempatkan saya sebagai insan kedua di hatinya. Mahu dijadikan isteri kedua. Pada saat dan ketika dia menyebut perkataan itu sambil mencurahkan isi hatinya, saya tahu apa yang bakal saya tempuhi kelak. Pasti saya akan kehilangan dia dan keluarganya. Sudah pasti juga isterinya akan membenci saya dan menganggap saya ingin menjadi musuh nombor satu dalam hidupnya.

‘‘Tepat seperti yang diduga isterinya menuduh saya perampas suami orang, perampas kebahagiaan rumah tangganya, ‘gunting dalam lipatan, telunjuk lurus kelingking berkait’ dan macam-macam tomahan lagi dilemparkan kepada saya. Walaupun saya cuba terangkan keadaan sebenarnya untuk sekian kalinya, namun saya gagal. Lebih pedih lagi Hazman sanggup memfitnah saya kepada isterinya bahwa saya ingin memikatnya dan memang mempunyai perasaan terhadapnya, sedangkan itu adalah fitnahnya untuk dia membersihkan dirinya.

‘‘Terus terang saya beritahu Hazman bahawa saya tidak pernah terniat untuk berkahwin dengannya, saya berbaik dengannya, kerana pekerjaan kami, sering bertemu dan saya mahu kami saling membantu, jika menghadapi apa juga masalah. Dan kerana saya anak sulung, saya mahu dia menjadi saudara tua saya menasihati saya jika saya lakukan kesilapan. Tambahan adik-adik masih lagi belajar.

‘‘Malangnya Hazman tidak percaya apa juga yang saya katakan, dia masih mendesak dan percaya bahawa saya mencintainya. Tambahan pula katanya saya sudah boleh diterima dalam keluarganya, kerana isterinya juga percayakan saya.

‘‘Saya katakan kerana kepercayaan isterinya itulah membuatkan saya tidak tergamak untuk membuat dia sebagai suami. Saya tahu perasaan wanita bila suaminya diambil orang, dan saya tidak mahu melukakan hatinya, dan menghancurkan kepercayaan isterinya kepada saya selama ini. Bukan senang membina kepercayaan orang.

‘‘Saya dapat rasakan betapa hancurnya hati isteri Hazman dengan berita itu dan saya tahu tahap kebenciannyan kepada saya. Sementara Hazman kerana tidak puas hati terus menabur fitnah kepada teman-teman pejabat yang lain, semata- mata untuk meletakkan dirinya sebagai orang baik dan bersih. Dan saya tahu dia lakukan itu semua keran perasaan marahnya kepada saya kerana menolak cintanya.

‘‘Fitnah itu sungguh memalukan saya apabila menjadi berita umum. Masalahnya saya tidak pandai membela diri, tidak pandai bergosip, dan tidak pandai menceritakan kepada orang apa yang sebenarnya terjadi. Apa yang lahir di bibir, itulah yang tersurat di hati.

‘‘Mungkin ada benarnya kata orang, kesilapan besar saya ialah apabila berbaik dengan lelaki yang berstatus suami orang. Kini kealpaan dan kebodohan saya menjadi sejarah pahit dalam hidup saya. Akibatnya kini saya mengalami satu fobia tidak lagi mahu membantu orang jika mereka dalam kesusahan khususnya lelaki. Saya takut pisang berbuah dua kali. Semuanya kerana saya perempuan belum berkahwin.

‘‘Kerana peristiwa pahit itu juga kini persahabatan kami telah bertukar menjadi musuh, lebih menyulitkan lagi apabila tugas memerlukan mereka berhubung sedangkan antara mereka bukan sahaja tidak boleh berbicara, malah tidak boleh bersua muka. Saya tahu Hazman malu, lebih malu lagi dia telah memfitnah saya. Namun saya serahkan segalanya kepada yang mahu berkuasa kerana Allah lebih mengetahui. Saya tak nafikan fitnah ini telah menyulitkan pekerjaan saya, tambahan pula apabila kedudukan saya lebih tinggi daripadanya. Pada saya apa yang terjadi ada rahmatnya dan inilah balasanya doa orang yang telah dianiaya.’’ Demikian cerita Sazwahaney panjang lebar.

Penulis tertarik dengan pandangan Sazwahaney dia bahagia walaupun tidak berkahwin, dan bukan semua mereka yang sudah berkahwin bahagia hidupnya. Benar Sazwahaney bahagia dan berduka itu adalah pilihan kita. Kita menentukannya dengan izin Allah jua.

– MAIMUNAH

http://www.dcckmona.com

dcckmonaum@hotmail.com

Sumber: Mingguan Malaysia 30/12/2007

4 thoughts on “Bukan semua perkahwinan bawa bahagia

  1. tak sume pkawinan mmbw kbhgiaan..tp sume tu tletak di tangan suami istri e2 sendiri..sy tersentuh ngan cite ni

    sy pun dah bkawin n punyai 2 org anak..kdg2 kala tu perasaan marah n benci pun ade gak..yerla, mana ade istri tgk suami nyer baik ngan wanita lain mcm tu skali..n lelaki mana akan baik mcm tu jika tak dapat balasannyer…

    so dlm kes ni,jgn salah saper2 sume atas niat masing2…jika baik jd la baik,kalu tak buruk la padahnyer..utk hazman tu, jgn dilayan sgt..kalu dilayan semakin mnjd marah nyer pd kamu. keramahan kita kdg2 dipandang serong , inikan plak ngan lelaki sesiapa saje leh ckp aper2 pun..

    bg sy pkawinan adalah satu ikatan yg paling bhgian dan mmbw kita kpd cinta dan kasih..jd lah istri yg taat pd suami n Allah

    AMIN

  2. salam sejahtera buat semua wanita. semoga ceria dan bahagia selalu. saudara maimunah yang dihormati, jangan susah hati. sudah tersurat sejak dahulu wanita yang sudah berumur dan tidak berkahwin selalu dipandang serong di mana-mana sahaja. saya juga selalu disindir-sindir oleh kakitangan lelaki senior kerana masih belum berkahwin. pada saya semua itu tidak menjadi kudis, bahkan menjadi cabaran untuk meneruskan kehidupan. manusia sekarang memang suka melihat kita jatuh daripada kita berjaya. apa yang saya lakukan bila masalah begini berlaku hanyalah tersenyum dan buat seperti biasa seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. bermusuhan tidak membawa apa-apa kebaikan malah menyusahkan kita untuk berkomunikasi antara satu sama lain. tidak dinafikan, perkahwinan bukan satu jaminan kebahagiaan masa depan namun kita tidak boleh menolak sekiranya jodaoh itu telah datang.

    pada saya, berkawan pasti ada batasnya. satu hal yang paling penting, niat kita berkawan kerana Allah dan saya fikir kita juga boleh menyatakan tujuan kita berkawan dengannya tidak lebih dari seorang kawan. mungkin hal begini boleh dinyatakan ketika berbual-bual. sekurang-kurangnya lelaki tersebut tidak terus terlajak mengharap balasan cinta daripada kita. saya mendoakan kebahagiaan wanita di mana-mana sahaja sama ada yang telah bersuami ataupun belum bersuami. jangan kita menyesali apa yang Allah beri kerana setiap hal tersebut pasti ada hikmahnya yang tersendiri. belajar-belajar mensyukuri nikmat Allah.

    buat saudara hazman, cuba-cuba hadapi realiti kehidupan kerana saudara menjadi role model pada keluarga. bayangkan jika anak perempuan dan saudara perempuan anda ditimpa masalah demikian, apa yang saudara rasa. zaman sekarang balasan Allah tunai di dunia, jadi fikir-fikirkanlah…

  3. salam…kisah ini sgt bek untuk wanita sbagai pgajaran agar kta tidak tersilap langkah..lelaki status suami oranglah buatkan kita lebih berwaspada supaya maruah kita tidak tercemar dan dipandang hina..segala dugaan dan takdir adalah ketentuan tuhan apa pun saya turut simpati atas kisah ini…(>_<)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s