Amalan Manusia Dibalas Seadilnya

DAN bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya. Dan bahawa sesungguhnya usahanya ituakan diperlihatkan (kepadanya, pada Hari Kiamat kelak. (An-Najm : 39-40)

Huraian

Waktu dan usia adalah perakam abadi yang akan menyimpan segala pengalaman hidup seseorang. Waktu adalah modal bagi manusia.

Begitu pentingnya waktu hingga ada yang mengatakan: “Jika kamu ingin tahu manusia yang paling bodoh, lihatlah orang yang diberi modal dan modalnya dihabiskan dengan sia-sia.”

Dengan demikian, sesungguhnya suatu kerugian yang sangat besar apabila seseorang hamba itu tidak dapat memanfaatkan usianya dengan sebaiknya.

Di dalam surah al-Asr ayat 1 hingga 3 Allah s.w.t. berfirman yang maksudnya: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan saling menasihati dalam perkara kebenaran dan nasihat-menasihati dalam kesabaran.”

Dalam kerangka itulah Allah s.w.t. meletakkan waktu sebagai nilai yang menentukan timbangan kerugian dan keuntungan manusia dalam hidupnya semasa di dunia kerana setiap amalan yang dilakukan akan dinilai oleh Allah s.w.t. dan amalan itu akan diperlihatkan kepada pelakunya pada hari akhirat kelak.

Di sana nanti, seseorang itu tidak dapat menanggung dosa orang lain, sama ada untuk meringankan beban dosa orang lain atau untuk membebankan orang lain dengan dosa-dosanya.

Tiada sesiapapun yang boleh meringankan bebanan dosanya, dan tiada sesiapa pun yang boleh secara sukarela memikul dosa orang lain kerana seseorang itu tidak dihisab dan dibalas melainkan mengikut amalan dan perbuatan yang dilakukannya sahaja.

Dia tidak boleh ditambah dengan amalan orang lain dan tidak boleh dikurangkan amalannya untuk orang lain.

Oleh itu masa hidup di dunia ini merupakan satu-satunya peluang yang diberikan kepadanya untuk beramal dan berusaha mengikut ajaran dan acuan Islam.

Apabila meninggal kelak, maka hilanglah peluang itu dan putuslah amalannya kecuali amalan-amalan berbentuk jariah yang sentiasa mengalir pahalanya, seperti doa daripada anak yang soleh, sedekah yang berkekalan selepasnya, dan ilmunya yang dimanfaatkan oleh orang lain.

Ketahuilah, segala amalan dan usaha tidak akan hilang sia-sia walau sedikitpun dan tidak akan luput daripada pengetahuan Allah s.w.t. serta tidak akan lepas daripada neraca timbangannya.

Setiap orang akan menerima balasan dengan sempurna tanpa kurang sedikitpun dan tidak dianiaya sedikitpun.

Kesimpulan

Penekanan tentang dasar tanggungjawab mereka terhadap amalan dan perbuatan di samping dasar keadilan balasan di akhirat kelak.

Dengan demikian benarlah nilai insaniah seseorang manusia yang ditegakkan di atas konsep memandang manusia sebagai suatu makhluk yang berakal, yang bertanggungjawab dan yang memegang amanah terhadap keselamatan diri sendiri.

Ia diberi peluang untuk beramal dan akan dibalas mengikut amalannya. Dan dengan demikian juga seseorang itu akan merasa aman dan tenteram terhadap keadilan balasan, iaitu satu keadilan mutlak yang tidak terjejas kerana hawa nafsu dan tidak tercacat kerana pengetahuan yang terbatas dan taubat kerana kejahilan terhadap perkara-perkara yang sebenar.

Dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s