Jimat cermat bawa berkat

BERBELANJA merupakan satu aktiviti kehidupan harian yang berkaitan langsung dengan aktiviti muamalah sesama manusia. Naluri manusia yang berkaitan dengan kehidupan kebendaan tidak dapat dipisahkan. Secara semula jadi, manusia mempunyai naluri sukakan harta dan kekayaan sebagai memenuhi keperluan dan perhiasan hidup.

Memenuhi keperluan hidup seperti makan, minum dan pakaian sebagai sebahagian satu keperluan. Bahkan ia menjadi satu aktiviti ibadah dan menjadi tuntutan agama agar kita sentiasa mencari kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat.

Dalam memenuhi tuntutan perbelanjaan, syaratnya mestilah betul dan berniat ikhlas. Berbelanjalah dalam perkara yang halal dan sentiasa bersyukur agar setiap perbelanjaan yang kita lakukan mendapat keberkatan.

Tentunya, kita perlu beringat bahawa apabila berbelanja, kita tidak boleh boros, tamak dan lupa melaksanakan tuntutan ibadah seperti leka dan meninggalkan sembahyang kerana asyik berurusan membeli-belah.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmannya yang bermaksud : ‘Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebarlah kamu di muka bumi dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah’. – Surah al-Jumaat: 10.

Agama Islam melarang umatNya bersifat malas dan miskin kerana ia boleh memberi beban kepada masyarakat dan adakalanya ia boleh membawa kepada kekufuran.

Sebagai pengguna, kita hendaklah bijak mengurus perbelanjaan. Pengguna yang bijak adalah pengguna yang sentiasa berjimat cermat dan mengambil berat untuk menabung, menyimpan atau melabur.

Elakkan diri daripada sentiasa memikirkan untuk berhutang dan kalau terpaksa berhutang, kita mestilah mengambil kira kemampuan untuk membayarnya semula. Kata orang tua ‘memadamkan kerak dengan periuk’.

Nabi Yusuf a.s ketika menjadi Menteri Kewangan Mesir meminta raja dan rakyat bercucuk tanam dan menyimpannya selama tujuh tahun sebagai keperluan untuk menghadapi musim kemarau, mala petaka dan kebuluran. Firman Allah: ‘Yusuf menjawab: Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam, biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.’ – Surah Yusuf: 47.

Sifat boros dan mengikut nafsu serta tidak bersyukur terhadap kurniaan Allah merupakan sifat yang dibenci Allah s.w.t.

Firman Allah yang bermaksud: ‘Makan dan minumlah dan jangan kamu boros, sesungguhnya (Allah) tidak menyukai golongan pemboros.’ – Surah al-A’araf: 31.

Elakkan diri menjadi seorang pembazir kerana sifat demikian merupakan amalan buruk (amalan syaitan). Firman Allah yang bermaksud: ‘Sesungguhnya golongan pembazir adalah sahabat-sahabat syaitan.’- Surah al-Israk: 27.

Menurut al-Qurtubi, maksud sahabat syaitan adalah dari segi perlakuan buruk, membelanjakan harta terhadap perkara maksiat dan menunjukkan sifat kufur terhadap nikmat Allah s.w.t dan mengabaikan ketaatan kepada Allah s.w.t.

Amalan tamak pula adalah sifat buruk dengan berbelanja mengikut perasaan, berlumba-lumba dan menonjol diri. Apa pun dalam berbelanja, sentiasalah kita amalkan sifat sederhana dan seimbang serta tidak kedekut.

Sementara itu, dalam berhutang pula, kita mesti ukur baju ikut badan sendiri.

Rasulullah s.a.w mengingatkan ini dalam sabdanya yang bermaksud: ‘Hati-hatilah kamu dalam berhutang, sesungguhnya hutang itu mendatangkan kerisauan pada malam hari dan menyebabkan kehinaan pada siang hari.’- Hadis riwayat al-Baihaqi.

Dalam soal perbelanjaan, peniaga, pengusaha, pengedar dan pemborong hendaklah sentiasa menanam sifat adil dan ihsan serta bertanggungjawab memenuhi tuntutan sosial. Kejujuran dan kebenaran mestilah diutamakan dalam setiap urusan perniagaan.

Abu Hurairah pernah menceritakan, satu ketika Rasululah s.a.w berjalan dipasar dan melihat seorang penjual gandum. Baginda letakkan tangannya pada gandum itu dan mendapati tangannya basah. ‘Wahai penjual, apa yang terjadi kepada gandum ini ?’. Jawabnya: “Gandum ini basah terkena hujan.” Lalu Baginda bersabda: ‘Kenapa kamu tidak meletakkan gandum yang basah di bahagian atas agar pembeli tahu?. Orang yang menipu bukan dari golongan kami.’ Penipu adalah jalan ke neraka dan siapa yang mengamalkan sesuatu yang tidak sesuai dengan cara hidup Islam adalah dikutuk’.

Oleh Dr Amaludin Ab Rahman

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s