Kesedaran penyakit ginjal rendah

Oleh Halina Mohd Noor

SIKAP tidak mengambil tahu dan kurang kesedaran mengenai penyakit buah pinggang adalah antara punca meningkatnya bilangan penghidap penyakit senyap ini setiap tahun. Dangkal pengetahuan juga menyebabkan penyakit ini tidak dapat dikesan awal dan hanya terpaksa dirawat selepas pesakit berada pada tahap teruk dan tidak dapat diselamatkan.

Ketua Jabatan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Zaki Morad Mohd Zaher menegaskan masyarakat perlu diberikan pendedahan mengenai penyakit buah pinggang bagi mencegah penyakit berkenaan terus meningkat.

Kesedaran adalah satu cara untuk mencegah seseorang individu daripada penyakit buah pinggang. Buat masa ini kesedaran amat rendah sehingga pesakit hanya datang selepas keadaan mereka sudah kronik. Sekiranya ia dapat dikesan awal, penyakit buah pinggang boleh dirawat disamping dapat mengurangkan kesan atau komplikasi lebih teruk.

Sehingga hari ini terdapat 12,000 pesakit buah pinggang yang memerlukan rawatan manakala 1,500 pesakit sudah menjalani pemindahan buah pinggang.

Di Malaysia, kira-kira 2,400 kes baru kegagalan buah pinggang dikesan setiap tahun dan menjelang 2008, pesakit buah pinggang di negara ini dijangka berjumlah 20,000 orang.

Hari ini penyakit buah pinggang boleh dikatakan penyakit paling kerap dialami. Jika sepuluh tahun lalu ia hanya sekitar 6% daripada populasi penduduk tetapi hari ini ia sudah meningkat menjadi 10 hingga 12%. Sekitar 1980 an, pesakit hanya 43 orang tetapi hari ini sudah mencecah 12,000 orang. Sebahagian puncanya adalah akibat gaya hidup mewah yang diamalkan seperti gaya pemakanan dan penyakit lain seperti kencing manis..

Kajian mendapati lebih separuh bilion atau seorang daripada sepuluh orang dalam populasi cenderung mengalami penyakit buah pinggang kronik. Yayasan Persekutuan Ginjal Antarabangsa (IFKF) mendedahkan lebih 1.5 juta orang di dunia menjalani rawatan dialisis atau telah menjalani pemindahan buah pinggang. Statistik ini menunjukkan masyarakat harus diberikan kesedaran mengenai penyakit buah pinggang.

Penyakit buah pinggang perlu dicegah kerana ia bukan saja menyebabkan pesakit menghadapi pelbagai masalah sosial malah terpaksa mengeluarkan kos tinggi untuk merawatnya. Rawatan untuk sekali dialisis berharga RM 120 hingga RM 140 di hospital kerajaan. Manakala di hospital swasta pula lebih tinggi iaitu RM 160 hingga RM 170. Dianggarkan perbelanjaan merawat pesakit buah pinggang di seluruh dunia menelan belanja sebanyak RM 300 juta ringgit setahun.

Satu cara untuk menyembuhkan penyakit ini ialah dengan menjalani pemindahan buah pinggang tetapi pesakit perlu menunggu lama sebelum mendapatkan penderma sesuai yang mahu mendermakan buah pinggang mereka. Justeru kita amat memerlukan lebih ramai penderma bagi mengatasi masalah ini.

Sementara itu Ketua Penyelaras Transplan Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN), Dr Lela Yasmin Mansor berkata, walaupun jumlah pengikrar (mereka yang mendaftar untuk menderma) di kalangan orang Melayu semakin bertambah tetapi ia masih jauh berbeza dengan kaum lain.

Kira-kira 10% daripada keseluruhan pengikrar berjumlah 93,394 adalah Melayu. Daripada 163 penderma organ kadaverik (telah meninggal dunia) sejak 1976 , tujuh daripadanya adalah orang Melayu. Jumlah ini sudah meningkat berbanding beberapa tahun kebelakangan ini tetapi ia masih belum cukup baik. Jika dibandingkan dengan kaum lain, penderma Melayu masih jauh lebih rendah.

Menurutnya lagi stigma dan salah faham mengenai pendermaan organ dari sudut agama menyebabkan orang Melayu belum cukup yakin untuk menderma. Justeru, kempen pendermaan organ kini memfokuskan kepada orang Islam agar mereka faham benar-benar faham mengenainya. Selebihnya bergantung kepada pilihan mereka sendiri kerana pendermaan organ berbentuk sukarela dan ikhlas.

Bekas pesakit buah pinggang, Mohd Tarmizi Mohd Aris,31, menasihatkan orang ramai agar mengambil berat dan menjaga kesihatan buah pinggang masing-masing. Tarmizi yang menderita penyakit berkenaan sejak berusia setahun, berkata penyakit buah pinggang menyebabkan penghidapnya tidak dapat menjalani hidup dengan sempurna.

“Kalau boleh buatlah pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya setahun sekali. Paling penting, pastikan anda mengawal makanan. Jangan makan terlalu banyak garam atau protein kerana ia kurang baik untuk buah pinggang,” katanya.

Tarmizi yang bekerja sebagai wakil insuran terpaksa menunggu selama lebih 20 tahun untuk menerima buah pinggang daripada penderma. Tarmizi menjalani pemindahan buah pinggang di sebelah kiri buat pertama kali pada 1988 yang didermakan oleh neneknya manakala buah pinggang kanan diterima daripada seorang penderma kadaverik pada tahun 2000.

“Saya mengalami kesukaran hidup sebelum menjalani pemindahan buah pinggang. Tidak banyak aktiviti boleh dilakukan kerana saya cepat letih dan kerap ke hospital untuk menjalani rawatan dialisis. Akibat makan ubat, kaki dan muka jadi bengkak. Sebelum ini wajah saya sering kelihatan pucat, bengkak dan kerap muntah-muntah. Selepas menjalani pemindahan buah pinggang, saya dapat menjalani hidup seperti orang lain walaupun tidak boleh terlalu penat. Saya bersyukur kerana ada penderma yang sudi mendermakan buah pinggang mereka dan memberi saya peluang membina hidup baru,” katanya.

FAKTA

Tanda dan gejala masalah kegagalan buah pinggang:

Ketidakselesaan atau rasa membakar ketika membuang air kecil.

Darah keluar bersama-sama air kencing.

Perubahan kekerapan membuang air kecil.

Sakit belakang (bahagian lion).

Membuang air kecil dengan kerap pada waktu tengah malam.

Bengkak pada pergelangan kaki.

Sembap di keliling mata yang berlarutan terutama pada sebelah pagi.

Pencegahan

Jalani pemeriksaan ginjal.

Amalan menjaga kesihatan buah pinggang.

Amalkan pemakanan yang seimbang.

Minum sekurang-kurangnya dua liter air sehari.

Jangan merokok atau hentikan tabiat merokok.

Makan ubat selepas mendapatkan nasihatkan doktor (elakkan ubat yang
tidak perlu).

Kekalkan berat badan supaya indeks jisim tubuh berada pada aras yang
sihat.

Bersenam setiap hari selama 30 minit.

One thought on “Kesedaran penyakit ginjal rendah

  1. Untuk menjaga penjagaan buah pinggang yang baik. kita hendaklah mengamalkan makanan yang sihat dan seimbang. Selain itu mengamalkan senaman, pengawalan berat badan dan mengikut nasihat doktor serta menghadiri bengkel atau seminar berkenaan dengan tip penjagaan buah pinggang yang baik yang dianjurkan oleh kkm dan agensi swasta. mempunyai kesedaran cintai Buah Pinggang kita.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s