Mendidik anak manja

SOALAN: Selepas 10 tahun berumahtangga, akhirnya kami dikurniakan seorang zuriat. Buah hati kami merupakan anak tunggal dalam keluarga. Hingga kini, anak tunggal ini sudah menjadi seorang anak dara. Oleh kerana terlalu sayangkan Tiara puteri kami ini, saya sanggup melakukan semua kerja rumah sendiri tanpa bantuan daripada anak saya.

Ini termasuk mencuci pakaian dalaman Tiara, saya akan melakukannya. Saya sendiri juga berkerjaya. Jika Tiara tiada kelas pada hujung minggu, saya pastikan Tiara cukup rehat. Jika Tiara masih tidur sedangkan sudah masuk waktu solat, saya tidak sampai hati untuk bangunkan Tiara dari tidur untuk mengerjakan solat, terutamanya solat Subuh. Anak saya memang kurang ambil berat terhadap dirinya. Oleh itu timbul kesedaran ke atas diri saya yang terlalu memanjakan Tiara dari dulu. Saya risau apa akan terjadi pada anak saya jika dia melanjutkan pelajarannya pada masa akan datang. Apakah hukumnya atas perbuatan saya yang terlalu memanjakan anak tunggal kami?

– Ibu Risau?

JAWAPAN: Mendidik anak bukanlah satu perkara mudah. Apatah lagi mendidik anak tunggal. Ada ibubapa yang terlalu memanjakan anak terutama anak tunggal, anak sulung mahu pun anak bongsu. Ibubapa sering terdedah kepada sikap ekstrem memanjakan anak ini atas alasan terlalu sayang, pada hal ia membunuh kreativiti anak, sikap iltizam atau. Sebaliknya ada juga sikap ibubapa yang ekstrem keras dan bengis. Niat mereka baik untuk mendisiplinkan anak, tetapi akhirnya menjadikan anak mereka tidak bermotivasi dan luka perasaan membawa ke hari dewasa mereka. Kedua-dua sikap ibubapa yang salah ini akan membawa nilai yang negatif untuk masa depan anak-anak mereka tanpa disedari.

Di samping itu, harus ditanyakan kepada diri ibubapa, bagaimanakah maksud memberikan kasih sayang sebenar kepada anak-anak. Apakah dengan memberikan kepada mereka segala kemahuannya, atau menolak kemahuan mereka. Sekali lagi sikap ekstrem ini berlaku. Justeru itu saya suka jika semua kita lebih bersikap sederhana atau pertengahan dan selektif dalam pendidikan anak-anak.

Pada pendapat saya, seorang ibu yang bertanggung jawab bukanlah ibu yang terlalu memanjakan anak. Sikap ibu yang memanjakan anak ini, nanti menyebabkan anak-anak tidak mampu berdikari pada masa depan. Jika segala urusan Tiara seperti contoh anak puan ini, puteri puan disediakan segala-galanya dengan mudah hatta membasuh pakaian dalaman, apa latihan tanggung jawab yang diserahkan kepadanya sebagai persiapan nanti untuk beliau menjadi isteri dan ibu kepada anaknya nanti.

Kemanjaan yang salah atau melampau-

lampau tanpa memberi tanggung jawab tertentu kepada anak-anak, hatta tidak membangunkannya dari tidur untuk bersembahyang, terutama sembahyang Subuh, semata- mata atas alasan sayangkan anak adalah sesuatu perkara yang tidak kena pada tempat kepada ibubapa. Kesayangan semacam ini lah pada zahirnya nampak baik, tetapi pada jangka panjang merosakkan peribadi anak-anak nanti.

Saya bukanlah seorang pakar dalam bidang pendidikan. Namun setahu saya anak yang terlampau dimanjakan sejak kecil tidak akan mampu memikul tanggung jawab pada masa depan. Saya pernah melihat anak-anak manja seumpama ini jika mereka berumah tangga tidak boleh menjadi isteri yang baik, sebaliknya pemalas atau nanti bila dia jadi ibu, bukan sebagai si ibu yang cukup bertanggung jawab. Mereka akan menjadi ibu yang cuai. Mungkin mereka tidak dilatih dari awal atas nama ‘sayang’, seperti cerita puan itu.

Lebih parah mereka yang tidak dilatih untuk bertanggung jawab kepada Allah. Membiarkan anak-anak meninggalkan sembahyang atas apa alasan sekali pun mendedahkan mereka kepada seorang yang culas untuk beribadat dan berkerjaya nanti. Inilah yang dikatakan sayang tidak kena pada tempat. Sedangkan al-Quran mengajar kita semua agar memelihara diri kita dan keluarga daripada api neraka.

Oleh itu saya menasihatkan puan didiklah anak dengan didikan sempurna untuk masa depan yang baik sebagai anak-anak. Surah Luqman menceritakan pendidikan Luqman kepada anaknya. Dan beberapa pengajaran lain daripada al-Quran mengingatkan kita supaya mengajar anak jangan syirik. Jangan mengajar anak akan perkara khurafat seperti takutkan hantu, bidaah seperti amalan tokok tambah agama. Malah amalan syirik yang bertentangan dengan agama amatlah patut diberi ingatan.

Saya merasa kurang senang dengan ibubapa yang mengajar anak-anak memuja selebriti umpamanya, di mana ramai anak orang Islam malas belajar dan ingin menjadi selebriti dengan mudah mendapat kemewahan hidup. Akibatnya pelajaran diabaikan.

Al-Quran seterusnya mengajar kita agar menyuruh anak bersembahyang. Ramai ibubapa yang mengadu sukarnya menyuruh anak iltizam dengan sembahyang terutama sembahyang subuh. Sewaktu kita kecil dulu pun jika tidak dilatih bersembahyang, memang ramai bila sudah berusia pun masih suka sembahyang subuh lewat, atau melewatkan sembahyang-sembahyang lain.

Jadi kasih sayang kepada anak bukanlah dengan memanjakan mereka secara keterlaluan, tetapi memberikan mereka rasa tanggung jawab menunaikan kewajipan agama seperti sembahyang. Anak yang tidak dilatih bertanggung jawab kepada Tuhan, nanti mereka tidak pula boleh diharap untuk menunaikan tanggung jawab kepada dua ibubapa. Dengan mengajar mereka bertanggung jawab kepada Tuhan mereka akan biasa bertanggung jawab kepada ibubapa, guru, keluarga terdekat malah mereka yang patut mereka tunaikan kewajipannya.

Dalam ruangan ini saya selalunya tidak mahu berbincang dalam pendekatan hukum. Tetapi memanjakan anak secara keterlaluan seperti kes puan adalah satu amalan yang tidak baik. Meruntuhkan masa depan anak-

anak nanti. Mereka akan menjadi orang yang culas dan malas kepada Tuhan dan malas bila nanti menjadi isteri dan tidak akan bertanggung jawab sepenuh kepada anaknya nanti. Jika anda pernah membaca buku-buku cerita ‘anak manja’ banyak perkara negatif akan anda dapat lihat berlaku.

Satu senario lain pula sebaliknya, anak yang dididik terlalu ‘keras’ juga akan menjadi anak yang apabila besar menjadi anak yang agresif, suka melawan, malah menunjukkan sikap anti sosial. Anak-anak seperti ini juga akan menjadi anak salah asuhan. Oleh sebab itu ilmu ‘keibubapaan’ satu ilmu yang harus dipelajari dari satu masa ke satu masa yang lain.

Adalah satu kesilapan, ramai mereka yang menganggap mengajar anak-anak ini tidak perlu kepada ilmu atau kemahiran tertentu. Mererka menganggap jika ayam itik dan lembu kerbau pun faham mengajar anak mereka, inikan pula kita manusia, sudah tentu kita pandai.

Pada hal mendidik anak perlu kepada kemahiran dan ilmu. Ibu bapa patut suka membaca bahan-bahan begini. Ramai ibubapa sejak anak kecil sudah diajar menerima rasuah atau disogok atau dipuji secara berlebihan. Malah ramai juga ibubapa yang secara tidak langsung mengajar anak berbohong, mencuri, mencarut melalui contoh teladan atau perkataan.

Ada ibubapa yang melarang anak menghisap rokok, tetapi dia menyuruh anaknya tolong membeli rokok di kedai. Bukankah ini menimbulkan kecelaruan minda kepada anak-anak. Dalam satu keadaan ibubapa melarang tetapi pada masa yang lain seolah-olah menyuruh atau suka kepada amalan tersebut.

Oleh sebab itu sebagai ibu yang bertanggung jawab, saya mengharapkan puan dapat membantu anak anda dengan memberi pendidikan yang betul, bukan salah didik. Wallahua‘lam.

Prof. Madya Mohamad Kamil Ab. Majid ialah Ketua Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, 50603 Kuala Lumpur. E-mel: kamilmajid50@yahoo.com.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s