Memahami sikap si kecil

ANDA mungkin selalu menghadapi situasi apabila anak enggan makan malam bersama. Dia berdiam diri apabila diminta mengemas barang mainannya. Membuat bising apabila adik tidur dan lari ketika disuruh mandi. Dia degil, tetapi mengapa ia berlaku?

Percaya atau tidak, anak yang berusia tiga tahun ke atas berasa kurang bergantung pada anda. Itu tanda dia sudah membina identitinya sendiri dan berasa lebih selamat tetapi bukan bermakna dia menjadi pemberontak.

Berdegil cara menunjukkan ketegasannya justeru, apabila dia menolak untuk bekerjasama dengan anda, dia sebenarnya cuba memberitahu anda; “Saya tidak sukakan peraturan mama.” Oleh itu, apa yang harus anda lakukan?

Cuba memahaminya

Jika anda meminta dia makan dan dia menjerit tidak mahu, paksaan hanya akan membuatkan dia menangis. Cuba letakkan diri anda di tempatnya.

Jika dia sibuk bermain, datang padanya, dakap dan beritahu alasan dia perlu makan. Secara psikologi, anda sebenarnya mengambil berat dan ingin tahu keengganannya makan.

Jangan marah padanya tetapi pastikan dia makan apa yang sepatutnya.

Tetapkan hadnya

Apapun yang dilakukan, pastikan dia tahu semua itu ada hadnya. Beritahu bahawa anda menyayanginya dan apa yang anda lakukan untuk kebaikannya.

Jika dia ada masalah mematuhinya, fikirkan cara terbaik menyelesaikan keadaan itu. Contohnya, jika dia tidak mahu tidur dalam gelap, berikannya lampu suluh atau pasangkan lampu bercahaya suram.

Tunjukkan sikap baik

Selain memberi perhatian padanya ketika dia nakal dan degil, cuba dekati dirinya ketika ‘anginnya’ baik.

Beritahu apa yang betul dan sebaliknya. Lazimnya, bila anak membuat kesalahan, dia akan rasa bersalah. Oleh itu, jangan cepat mengamuk, sebaliknya berbicara dengan baik dan beritahu punca anda marah padanya.

Jika ibu bapa atau pengasuh sendiri bersikap buruk, bagaimana si kecil itu akan membesar dengan mengamalkan sikap yang baik? Contohnya, jika suami isteri bergaduh di hadapan anak dengan suara tinggi dan sepak terajang, bukankah logik anak akan membesar dengan sikap serupa?

Anda tentu malu kalau si kecil berkata, “Mengapa abang tak boleh menjerit-jerit tetapi mama boleh menjerit-jerit pada ayah?”

Perlu diingat, mendisiplinkan anak bukan bermaksud mengawalnya sebaliknya, ia bermaksud mengajar anak mengawal dirinya sendiri.

Hukuman mungkin akan membuat dia lebih berdisiplin tetapi jika hukuman itu tidak ‘menakutkan’ anak, dia akan berasa lebih selesa berbuat baik atas kesedarannya sendiri bukan kerana takut dirotan ibu bapa.

Jika kedegilannya benar-benar mencabar, cuba bertenang dan buat dia selesa. Jika berasa marah anda membuak, jauhkan diri daripadanya. Apabila anda rasa tenang semula, beritahu dia apa yang patut dan tidak patut dilakukan.

Beri dia peluang untuk membuat pilihan

Mulakan dengan benda yang mudah contohnya beri dia pilihan memilih pakaian sendiri. Cara lain untuk membuatkan dia berasa punya hak mengawal dirinya ialah dengan memberitahunya apa yang boleh dilakukannya.

Jika dia bermain badminton di dalam rumah, daripada berkata “Jangan bermain badminton dalam rumah”, ajaklah si kecil itu bermain di luar.

Jika dia mahukan aiskrim pada waktu malam, alihkan perhatiannya dengan memberinya pilihan makanan lain seperti epal atau anggur.

Jauhkan situasi yang mungkin membuatkan anda malu dengan kedegilannya

Misalnya, jika berjalan-jalan di kompleks beli-belah dan anda tahu dia sukakan aiskrim tetapi tidak mahu membelikannya, jauhkan si kecil itu daripada kedai berkenaan.

Hormati dunia unik anak anda

Mungkin dia sedang leka bermain waktu anda hendak keluar oleh itu, dia tidak punya masa untuk memakai kasut dan anda sudah berada dalam kereta.

Dia tentu akan membuat perangai kerana takut anda meninggalkannya. Anda boleh memberitahunya lima minit sebelum keluar, “Mama hendak keluar, kalau abang nak ikut, cepat pakai kasut.”

Memang semua ini bukan jaminan untuk dia tidak lagi berdegil atau merungut tetapi dengan kesabaran anda, si kecil itu sebenarnya secara perlahan-lahan akan belajar bahawa berdegil bukan cara terbaik untuk mendapatkan apa yang dia mahukan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s