Berbohong untuk berpoligami

Soalan:
Suami saya telah membuat permohonan untuk berpoligami di mahkamah syariah. Pihak mahkamah juga memberikan satu tarikh kepada saya untuk hadir di mahkamah. Tujuannya untuk mendapatkan pandangan saya sama ada suami saya layak berpoligami atau tidak. Saya tahu bahawa suami saya tidak mampu berpoligami. Duit gajinya hanya cukup-cukup untuk kami sekeluarga. Malah, dia sebenarnya berbohong kepada mahkamah tentang pendapatannya. Saya berharap agar mendapat panduan tentang apa yang perlu saya ketengahkan kepada mahkamah. Saya hanya mahukan keadilan untuk semua pihak.

Amylea Sinderella,
Kuala Lumpur.

Jawapan:

POLIGAMI merupakan satu tanggungjawab, bukannya hak. Sebab itulah Allah berfirman bahawa keadilan merupakan faktor paling penting untuk berpoligami.

Kerajaan Malaysia amat mengambil berat persoalan keadilan ini. Undang-undang keluarga Islam tentang poligami telah dirangka supaya faktor keadilan dijadikan kayu pengukur bagi suami-suami yang berhasrat berpoligami. Justeru, dalam memberikan keizinan, mahkamah akan melihat pelbagai sudut.

Selain melihat kepada kemampuan kewangan, mahkamah tentunya ingin melihat kepada keupayaan suami memberi layanan sama rata kepada semua isterinya. Malah, mahkamah juga akan menyiasat perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie (bahaya yang menyentuh isteri mengenai agama, nyawa, tubuh badan, akal fikiran, akhlak atau harta benda mengikut kebiasaan yang diakui oleh hukum syara’) kepada isteri yang sedia ada. (Sila rujuk Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, seksyen 23(4) perenggan (a), (b), (c) dan (d)).

Tentunya mahkamah memerlukan keterangan daripada isteri sedia ada untuk mendapatkan maklumat-maklumat ini. Ini merupakan peluang bagi isteri-isteri menyuarakan pandangan mereka berkenaan perkahwinan poligami suami mereka, kerana sudah tentunya isteri-isteri sedia ada akan terbabit sama dalam senario poligami ini. Malah, aspek keadilan adalah selaras dengan firman Allah berkaitan poligami.

Ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan poligami ialah surah an-Nisa’ ayat 3: Dan jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil terhadap anak-anak yatim, maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi, dua, tiga atau empat, tetapi jika takut tidak dapat berlaku adil (terhadap isteri-isteri), maka kahwinilah seorang sahaja … yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.

Surah an-Nisa’ ayat 129: Dan kamu sekali-kali tidak dapat berlaku adil di antara isteri-isteri, walaupun kamu sangat ingin berbuat demikian.

 

Faktor kemampuan kewangan adalah antara perkara penting yang dilihat oleh mahkamah. Dalam kes Rajamah lwn. Abdul Wahab (1990) 7 JH 171, Jawatankuasa Ulang Bicara Syariah di Selangor telah membatalkan kelulusan permohonan poligami suaminya kerana mendapati suami tidak mampu dari segi kewangan.

 

Memberi keterangan palsu kepada mahkamah adalah satu kesalahan dan boleh dihukum. Tindakan suami puan berbohong mengenai pendapatannya akan mendatangkan masalah kepadanya. Ini juga menunjukkan peribadinya yang kurang elok dan kemungkinan besar tidak layak berpoligami.

2 thoughts on “Berbohong untuk berpoligami

  1. Apa lah salah nya bagi chance dekat dia,mungkin dah jemu naik kereta tu aje,kalau ada dua kereta dia mungkin betukar ganti,lagi pun tak rugi pickup dia sama aje,sebagai manusia kita kena pandang ‘kemahuan’ yg luar biasa sesaorng lelaki tu,kalau dia pakai satu kereta aje nanti berkechai hancur aje-sebelum masa,sekurang2 nya kalau – jika ada dua dapat lah bertukar ganti-satu pakai satu lagi rest service-jadi tak lah teruk sangat di lanyak aje,kalau satu rosak satu lagi dapat ganti-menolong.”maaf Zahir Bhatin”

  2. Drakula tu seronok lah tu… (aku pun sama). Sebenarnya Berpoligami tu cerita lain, berbohong tu cerita lain. Baiklah, cuba fikir..kalau sebelum berkahwin satu dulu, makan pakai siteruna tu kadang2 pun tak cukup juga, kadang2 makan nasilemak je berhari2. (Ni cerita akulah) tak sangka boleh berkahwin dan boleh beranak pinak. Makan pakai terjaga begitu juga anak2 semuanya alhamdulillah tak pernah anak2 kebuluran. Yang penting aku tak malas kerja dan kerja jangan kasi turun prestasi. Mak bapa kita pun sma juga.. ada bela anak sampai boleh buat pasukan bola.. anak2 hidup juga dan ada yang sampai berjaya kemenara gading dan boleh beli gading pun ada. Jadi kalaulah sampai seru dia nak berkahwin lagi.. suruh dia fikir sendiri cemana nak uruskan 2 keluarga. Kalau satu keluarga pun dia tak dapat uruskan cemana anak jadi pengurus. Kalau kerja di bawah aku, prestasi menurun sure tak boleh jadi manager aku paling tidak pun dah lama kena buang dia ni. Tu perumpamaan.

    Masalah menipu aku cakapmasalah lain kerana ini melibatkan personaliti. Itu dinamakan Personaliti menyimpang. Kerana dia sanggup menipu orang. Disebabkan dia menipu orang sedar tak sedar dia menipu diri sendiri. Dan dia dengan sendirinya merasa tidak tenteram dalam jiwa sebab dia tahu yang dia menipu. Orang yang tak tahu dia menipu takkan ada perasaan gundah gulana. Dia yang menipu tu akan terbawa2 dalam ingatan selagi dia siuman bahawa dia menipu, dia cakap bohong, tuhan tau, tuhan marah, kredibiliti dia dah goyang. Dia tak dapat berpijak dibumi yang nyata lagi. Dia terawang2 sebenarnya. Oleh itu, jika anda tak hendak didera oleh diri anda: JANGAN MENIPU. (Tipu kerana ada muslihat pun kena ada dalilnya TAU!!)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s