Gejala Lepak Wajar Ditangani Dengan Bijak

Oleh SAMIR MUHAZZAB AMIN

PELBAGAI bentuk gejala sosial yang melanda masyarakat dewasa ini menuntut cabaran untuk mengatasinya. Lepak umpamanya merupakan salah satu masalah sosial yang menjadi pemangkin kepada pelbagai masalah sosial yang lain. Ini bermakna masalah lepak tidak boleh dipandang enteng.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Jika engkau berada pada waktu petang, maka janganlah engkau menunggu waktu pagi, dan apabila engkau berada pada waktu pagi maka janganlah engkau menunggu waktu petang. Dan gunakanlah masa sihat engkau untuk masa sakit dan masa hidup untuk masa mati mu.

Ini bermakna keinginan untuk mengecapi kebahagiaan hidup yang sejahtera di dunia dan kebahagiaan abadi di akhirat adalah perlu kepada pengisian kehidupan dengan sesuatu yang wajar. Maka hendaklah ia sentiasa seiring dengan syariat Islam. Hakikat menunjukkan bahawa dunia ini tempat beramal untuk sekian waktu yang telah ditetapkan bagi seseorang dan ia bukanlah tempat untuk bersenang lenang semata-mata tanpa menghiraukan langsung hari perhitungan.

Kehidupan di dunia ibarat seorang pedagang yang sentiasa merindui kampung halaman. Namun kerinduan itu tiada erti sekiranya sekembali ke kampung halaman dengan tiada apa-apa bekalan yang dibawa bersama. Waktu di dunia sangat singkat dan perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk beramal dan melakukan pekerjaan berguna.

Budaya lepak amat ditakuti kerana boleh memusnahkan masa depan negara. Kebanyakan yang terlibat dalam gejala ini terdiri daripada generasi belia atau golongan muda remaja yang sepatutnya menjadi teras kepada kepimpinan negara. Tanpa tujuan, masa generasi muda belia dibazirkan dengan aktiviti melepak.

Pembelajaran

Perkara tersebut seolah-olah tidak mempunyai tujuan di dalam memandu arah pembelajaran hidup yang patut ditempuhi. Adakah mungkin generasi muda hari ini merasakan lepak itu penting kerana mencontohi generasi yang lebih tua atau warga emas yang lebih sinonim membazirkan masa di kedai kopi? Apakah mereka menyedari laluan hidup yang sepatutnya mereka tempuhi adalah berbeza dengan laluan hidup yang akan ditempuhi oleh warga emas? Apakah sebenarnya yang menyebabkan generasi muda gemar melepak? Apakah nilai masa bagi generasi muda?

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-A’as, ayat 1 hingga 5: Demi masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan yang beramal soleh. Dan berpesan-pesanlah kepada kebenaran. Dan berpesan-pesanlah kepada kesabaran.

Pepatah Melayu, “Masa itu emas.” Bertepatan dengan makna pepatah di atas, masa tidak akan kembali berulang dan akan terus berlalu walaupun sedetik. Oleh itu, pembaziran masa amat merugikan kerana banyak pembelajaran sosial dan kemahiran boleh diperoleh sekiranya dimanfaatkan dengan perkara berfaedah misalnya menimba ilmu dan meningkatkan kemahiran.

Dalam usia remaja, mereka bersikap ingin tahu serta mencuba sesuatu yang baru. Jika tanpa bimbingan dan tunjuk ajar, mereka mudah terjebak dengan aktiviti-aktiviti yang tidak bermoral. Di sini faktor penyebab remaja melepak dapat dikesan melalui naluri keinginan yang mahukan kebebasan, keprihatinan dan kasih sayang.

Bimbingan dan pengetahuan agama yang sedikit di samping kurangnya suasana hidup rukun damai dalam keluarga ataupun pengaruh keadaan di sekeliling yang negatif dan pergaulan yang tidak dikawal merupakan beberapa faktor remaja melibatkan diri dalam aktiviti melepak.

Hari ini aktiviti lepak telah melalui transisi lokasi. Kalau dahulu tempat-tempat awam seperti taman-taman permainan, stesen bas dan kawasan pejalan kaki sering menjadi lokasi utama. Aktiviti sekarang tidak terhad lagi kepada tempat-tempat sedemikian tetapi menular ke lokasi yang lebih ‘eksklusif’ umpamanya seperti pusat hiburan dan cafe bertaraf antarabangsa. Walaupun berlaku transisi, ia masih mengundang pelbagai masalah sosial.

Adalah wajar sekiranya semua pihak terus cuba mencari resipi untuk mengatasi budaya yang tidak sihat ini. Dalam gerakan ini, program dan aktiviti seperti ceramah, motivasi, bengkel, program Rakan Muda, sukan dan rekreasi, dapat menghindarkan diri daripada terlibat dalam gejala sosial. Aktiviti-aktiviti komuniti yang boleh menarik pelbagai peringkat golongan perlu dikemaskini bagi menarik penyertaan dan penglibatan aktif di dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan. Disarankan, pendidikan yang berteraskan agama disemaikan dengan keimanan, akhlak, nilai-nilai murni serta tatasusila ketimuran dari peringkat rendah lagi.

Panduan

Media cetak dan elektronik wajar memainkan peranan dalam usaha mendidik golongan ibu bapa ke atas cara gaya keibubapaan. Program dan risalah yang dapat memberi panduan kepada ibu bapa akan kepentingan hubungan kekeluargaan untuk mengatasi masalah kekurangan kasih-sayang dan keprihatinan terhadap anak-anak perlu disebarkan di setiap pelosok tempat. Program dan risalah tersebut perlu dibuat secara istiqamah atau berterusan dan tidak berkala.

Seperti mana firman Allah s.w.t. dalam surah al-Hujurat, ayat 13: Wahai manusia, sesungguhnya kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu dapat saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah s.w.t. ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenali.

Saling mengenali merupakan tuntutan Allah s.w.t. kepada umat manusia. Tuhan yang menciptakan manusia, sudah pasti lebih mengetahui bahawa manusia tidak sempurna hidupnya tanpa mendapat bantuan dan kerjasama orang lain bagi memenuhi keperluan hidup. Naluri manusia secara fitrah berpaksikan kepada kemajuan, tidak mahu tinggal dalam kemunduran dan kemelaratan.

Hal ini sangat penting diperjuangkan bukan sahaja oleh individu dan keluarga malahan bagi suatu bangsa dan sebuah negara merdeka supaya lebih bermaruah, berdaulat dan bermartabat. Oleh sebab itu, keutuhan budaya dan moral yang menjadi prinsip kelapan dalam Islam hadhari amat penting dalam merealisasikan wawasan 2020.

Secara keseluruhannya, fenomena budaya lepak yang menjadi tunjang kepada gejala sosial wajar diberi perhatian oleh semua pihak. Ia penting untuk mendapatkan kesejahteraan hidup yang harmoni dan aman damai seiring dengan kemajuan negara. Setiap peringkat umur perlu menghindari amalan melepak tanpa arah tujuan agar masa yang ada dapat dimanfaat dengan sebaik-baiknya.

– SAMIR MUHAZZAB AMIN ialah Pensyarah di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia

6 thoughts on “Gejala Lepak Wajar Ditangani Dengan Bijak

  1. Lepak??? Aku pun lepak juga dulu2. Aku lepak dikampung. Pekan kecil dikampung. Dijambatan2. Di tepi-tepi jalan, di kedai-kedai kopi. Aku ada sebab mengapa aku lepak.
    1. Kerana aku tak nak duduk dirumah
    2. Kerana dirumah boring dengar leteran ibu
    3. Kerana dirumah selalu sahaja kena maki
    4. Kerana dirumah tidak ada kawan.
    5. Kerana dirumah tidak ada suasana yang ceria untuk aku berkomunikasi
    6. Kerana rumah tu hanya sebagai tempat tidur
    7. Diluar sana kawan2 menunggu dengan macam2 aktiviti
    8. Kerana diluar rumah lebih tenang dari dalam rumah.
    9. Kemudian nak tunggu masa tidur, jadi balik lewat emak dan ayah dah tidur lalu tak lagi dengar dorang menggomel.

    Banyak lagi punca-punca yang boleh dikaitkan dengan melepak. Budaya lepak ini tak sangat dipedulikan oleh pemimpin tertinggi kita kerana mereka yang lepak tidak mengganggu kedudukan politik. Kalau ada pun pemimpin nak mengelakkan orang dari melepak maka diadakanlah aktiviti sureheboh, pesta funfair, dan expo itu ini.

    Maka jadilah lebih dahsyat lepak itu dari muda mudi, anak2 kecil dan mak bapa sama sekali duduk melepak secara formal di expo2 dan sure2 heboh sampai tengah malam. Rakyat gembira, pemimpin senang hati, rakyat lupa semua kenaikan harga barang, lupa semua tribulasi, lupa semua kepincangan. pemimpin senang memimpin macam tu.

    Jadi, siapa kata lepak tu merugikan??? haha..apa pulak SAMIR MUHAZZAB AMIN nak cerita pasal takwa2…

  2. Arjuna…aku kat kampung pun ada lepak gak..mainly nak main gitar dgn member2 kampung…tapi aku kuat in principal…satu bende pun aku tak sentuh…rokok pun sampai sekarang aku tak sentuh…..tapi still aku bleh berkawan dgn sapa pun…

    kalau ikut…mak bapak aku pun bukan lam pak imam…tapi aku tak pernah rasa yang
    dia org tu tak betul…pasal aku tau…kalau kita buat salah…kita nye account bukan
    dia org….

    aku rasa…lepak..kalau kat rumah boring..bleh lah lepak…tapi…masalahnya…keadaan
    sekeliling sekarang terlalu banyak negative…..dulu mana ada internet ..tengok gambar
    blue….contoh lah kan…pastu ingat tak dulu…salah satu cara kita nak lepak dgn kawan2 kita gi masjid sembahyang terawih di bulan posa….pastu main bola
    petang2…volleyball lah apa lah…

    tapi kat bandar ni…nauzubillah….so …apa aku buat sekarang ni…aku ada kan sume
    bende yang ada kat luar tu kat umah aku…so budak2 tak leh kata nak kuar pasal itu ini..i.e. game…PS..Movie..atat Music…PC/internet…tapi dah jadi masalah lak sekarang
    ni aku…he he…nak ajak budak2 kuar bersiar2 jalan2 tak nak lak dia org..asik nak melekat kat umah aje…he he….susah tul zaman sekarang ni

  3. pada pendapat saya, gejala lepak ni tak sepatutnya berlaku di kalangan remaja. kan ke bagus kalau duduk rumah buat keja rumah. lepak tu buang masa je!

  4. Ye la pun.. bagi aku orang yg suka melepak ini, mereka tidak tahu peranan yang perlu mereka lakukan.. dengan erti kata lain, mereka tidak tahu tanggungjawab mereka, tidak kenal diri sendiri, ego/sombong, tak masuk ajar, dan tidak mengenang jasa ibu bapa dia..

    Memang ada yang nak mencari ketenangan dgn aktiviti ini, tapi kalau setiap hari, itu bukan nak cari ketenangan, tapi nak cari kesenangan dgn cara bodoh.. ekeke..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s