Evolusi majlis kahwin glamor tanpa seri!

Oleh Kak Mala

Cuti sekolah telah berlalu. Banyak kenangan manis yang dikutip sepanjang menikmati percutian termasuk menghadiri majlis perkahwinan.

Seperti orang lain saya juga tidak terkecuali menghadiri beberapa majlis perkahwinan saudara mara dan rakan-rakan yang menerima menantu.

Biasalah kalau sudah ke rumah orang kahwin, banyak perkara yang dilihat. Dah nama pun penulis, pantang tengok yang pelik sikit, tentu hendak ditulis dan dikongsi bersama pembaca.

Bukan niat mengata jauh sekali mencerca, apa yang ingin saya sentuh sekadar pengalaman untuk dijadikan sempadan dalam mengekalkan budaya dan adat resam kita agar terus terpelihara.

Catatan ini bersandarkan pemerhatian dan perbualan dengan beberapa tetamu dan jiran yang turut sama merasakan perubahan dalam majlis perkahwinan masyarakat Melayu masa kini.

Jika diambil secara positif mungkin dapat membantu meringankan beban, jika tidak, biarkan ia masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan.

Tepuk dada tanya selera.

Lalu teringat saya ketika dalam perjalanan ke satu kenduri kahwin di Kangar, Perlis, hampir setiap jarak satu kilometer kelihatan petunjuk arah yang diletakkan dua atau tiga tangkai bunga manggar yang diselitkan pada sekeping papan bertulis nama pengantin dan alamat rumahnya. Papan itu di letakkan di kepala lorong atau simpang.

Ada pula yang turut meletakkan nama ibu bapa pengantin sebagai pemudah kepada tetamu mencari lokasi, menariknya lagi, turut terpampang gambar pasangan pengantin.

Tentu anda juga sependapat dengan saya, apa yang orang bandar buat orang kampung juga boleh.

Saya ambil contoh menu makanan. Kalau dulu gotong royong dan bayar derau (membalas budi) kata orang utara masih bertahan dan boleh dilaksanakan, sekarang sudah tidak lagi relevan. Sebab semua sudah diambilalih oleh katering.

Ertinya tuan rumah tidak perlu susah-susah nak fikir siapa nak masak, siang ayam, kupas kentang dan mencari penanggah atau bentara untuk bekerja termasuk menyusun kerusi meja.

Malah nasi pengantin yang dulunya tidak begitu diambil berat oleh orang-orang utara sekarang ini telah menjadi kemestian dalam majlis kahwin.

Suasana riuh memasak sehingga ke subuh tidak lagi praktikal kerana semuanya sudah tinggal sejarah.

Itu menjadi penyebab ahli keluarga yang pulang untuk menghadiri majlis kenduri kebanyakannya memilih untuk tinggal di hotel atau homestay yang kini bagaikan cendawan tumbuh sebab tidak ada apa yang hendak ditolong di rumah pengantin, kata mereka.

Fenomena terkini turut menyaksikan penggunaan DJ pada majlis perkahwinan serta lagu-lagu hiburan. Tidak meriah majlis tanpa ada celoteh DJ, usik mengusik pengantin, tuan rumah dan sesiapa sahaja yang terlintas pada pandangan mereka.

Pelengkap hiburan ini adalah karaoke.

Seperkara lagi yang ingin saya sentuh tentang warna tema. Ada yang kurang setuju dengan pemilihan warna tema pada majlis perkahwinan sebab menjadi Raja Sehari adalah satu hari eksklusif untuk pengantin.

“Sepatutnya pengantin perlu tampil dengan satu kelainan supaya tetamu yang datang terpukau. Tapi kalau semua tetamu yang berpakaian warna tema yang sama dengan pengantin, apa yang istimewanya lagi pengantin?’’ celah seorang teman.

Saya terus teringat majlis perkahwinan anak teman lama yang hidup mewah di Kuala Lumpur. Gemilang habis majlis tersebut kerana bakal menerima menantu anak seorang tokoh korporat.

Kadnya saya kira berharga puluh ringgit sekeping, hiasan bilik pengantin, dalam rumah, pelamin dan khemah tidak dapat saya nak cerita lebih, bimbang dianggap lain. Kiraan saya mengatakan kesemuanya juga mencecah ratusan ribu ringgit.

Tidak cukup dengan wajah pengantin terpampang di muka depan kad jemputan, sepanjang jalan menghala ke lokasi rumah mereka digantung bunting gambar pasangan pengantin dan sehelai sepanduk besar dipasang di simpang jalan sebagai tunjuk arah.

Terkejut juga saya pada mulanya tapi kemudian saya tersenyum sendiri.

Pada saya cara itu memang baik, nampak glamor tapi jika difikirkan kembali saya rasa majlis itu sudah tidak ada eksklusifnya lagi apabila wajah pengantin terpampang di merata-rata.

Tetamu yang datang pastinya teringin melihat pengantin lebih dekat. Kalau semua orang sudah tahu bagaimana rupa pasangan pengantin tentu hilang eksklusifnya!

Dulu-dulu orang kampung sanggup menunggu berjam-jam untuk melihat pengantin terutama pengantin perempuan. Berbeza dengan sekarang, belum sampai hari perkahwinan semua tetamu sudah tahu bagaimana rupa pengantin.

Lokasi strategik

Tidak cukup dengan itu, pada hari berlangsungnya majlis perkahwinan, kebanyakan tuan rumah sibuk bergambar atas pelamin bersama pengantin sehingga tetamu yang datang tidak sempat berjumpa dan meninggalkan majlis begitu sahaja. Tidak manis kan buat macam itu!

Seperkara lagi saya perhatikan, bunga telor semakin diketepikan. Peredaran masa menyaksikan bunga telur diganti dengan potpuri, kemudian tuala kecil dan sekarang beg kertas berisi kuih-muih tradisional dan moden. Apa pun, pada saya tanpa bunga telur, buah tangan walaupun nampak mewah tetap tidak sama!

Dalam pada bercerita tentang apa yang saya lihat dan fikirkan, seorang rakan turut mencelah melahirkan rasa terkilannya dengan sikap jiran sebelah rumahnya yang hanya meletakkan kad jemputan kahwin di dalam peti surat.

“Sepatah pun tidak diberitahunya kepada kita yang dia nak buat majlis kahwin. Apa salahnya buka mulut sikit, jemput. Ini tidak, hari-hari jumpa pun dia tidak beritahu,’’ keluhnya.

Saya tidak menjawab terutama apabila dia berkata, dua hari sebelum majlis berlangsung, mereka sekeluarga angkat beg dan terus keluar meninggalkan rumah balik kampung…

Seorang teman lagi merungut bagaimana dia dijemput ke majlis kahwin sepupunya hanya melalui kiriman khidmat pesanan ringkas (SMS) sahaja.

“Macam tidak boleh telefon dan cakap sendiri, itulah manusia sudah berjaya sikit dah lupa adat resam, saudara mara,’’ keluhnya.

Saya tersenyum lagi. Macam-macam hal. Itulah tabiat manusia. Mudah terpengaruh dengan segala yang glamor. Kalau ditegur tentunya dianggap kita tidak profesional dan masih kolot. Pada saya, kemodenan boleh diikut tetapi biarlah patut padan.

Pun begitu saya kagum dengan evolusi majlis perkahwinan masa kini. Seperti yang saya katakan di awal catatan ini, segala yang tercatat adalah sekadar pengalaman yang ingin dikongsi bersama pembaca. Tidak ada niat lain. Yang penting, ukur baju di badan sendiri.

Fikir-fikirlah tentang adat resam dan budaya masyarakat Melayu yang telah berkurun-kurun kita junjung.

Memang mudah menerima perubahan tetapi kita perlu juga berfikir tentang hubungan keluarga dan semangat kejiranan serta berhemah yang semakin tidak dipraktikkan.

Sanggupkah kita melihat ia berterusan diketepikan? Wang bukanlah segala-galanya dan ia pastinya tidak sama nilai dengan hubungan keluarga, sikap berhemah dan budaya serta sopan santun yang diwarisi daripada nenek moyang kita.

Biarpun sekadar majlis kahwin, ia adalah lokasi strategik untuk menjana kasih sayang dan keikhlasan dalam sebuah kehidupan bermasyarakat.

Pada kesempatan ini saya mengucapkan Selamat Pengantin Baru kepada mereka yang baru ke jenjang pelamin, semoga kekal bahagia ke akhir hayat.

Juga salam Hari Bapa kepada kaum bapa di Malaysia. Terima kasih kerana mengerti perasaan isteri-isteri dan ibu kepada zuriat anda.

Menutup catatan, pesanan telus saya, sesungguhnya Dia yang mencukupkan segala keperluan manusia pada hari kelmarin dan Dia juga yang akan mencukupkan keperluan manusia untuk hari esok dan seterusnya!

Salam

Utusan Malaysia (ARKIB : 16/06/2008)

One thought on “Evolusi majlis kahwin glamor tanpa seri!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s