Keperluan undang-undang nafkah

Oleh Abdurrahman Haqqi

Persaudaraan sesama Islam, zakat berkesan wujud kesejahteraan sosial lebih adil

APABILA mendengar perkataan ‘nafkah’, minda kita akan tertumpu pada nafkah zahir dan batin; nafkah isteri; nafkah orang tua dan anak; dan nafkah binatang peliharaan dan tumbuh-tumbuhan seperti dibahas dalam fikah mazhab Shafie. (Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala al-Mazhab al-Imam al- Syafi’i, iv/169-188).

Bagaimana dengan nafkah jiran; nafkah orang tidak mampu; nafkah anak yatim? Padahal, pengertian nafkah secara amnya bukan saja untuk golongan pertama, bahkan golongan kedua juga mempunyai hak mendapatkan nafkah mereka. Dengan perkataan lain, jika kita mengabaikan nafkah golongan pertama, kita akan berdosa dan berdepan dengan penguatkuasaan undang-undang demikian pula sepatutnya jika kita mengabaikan nafkah golongan kedua.

Dari 15 pertanyaan sahabat kepada Rasulullah SAW yang dirakamkan al-Quran dengan ungkapan ‘yas’alunaka’ (Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), dua daripadanya berkaitan dengan nafkah. Pertama firman Allah bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapa)? Katakanlah: “Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: kedua-dua ibu bapa, dan kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang terlantar dalam perjalanan.” Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahuinya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya).” (Surah al-Baqarah: 215)

Kedua, al-Quran menjelaskan maksudnya: “Dan mereka bertanya pula kepadamu: apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: “(Dermakanlah – apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu)”. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.” (Surah al-Baqarah: 219)

Ada puluhan ayat al-Quran membincangkan masalah nafkah dan begitu pula hadis Nabi yang kebanyakannya membicarakan masalah nafkah, perbelanjaan secara am, bukan untuk persekitaran keluarga.

Banyak ayat daripada puluhan ayat membincangkan masalah nafkah itu menggunakan kata kerja perintah (fi’il al-amr) seperti ayat bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Sebarkanlah sebahagian daripada apa yang Kami berikan kepada kamu, sebelum tibanya hari (kiamat) yang tidak ada jual beli padanya, dan tidak ada kawan teman (yang memberi manfaat), serta tidak ada pula syafaat. Dan orang kafir, mereka itulah orang zalim.” (Surah al-Baqarah: 254)

Ada perbincangan sengit di kalangan ulama dan pemikir Islam berkaitan dengan adakah kewajipan selain pengeluaran zakat pada harta seorang Muslim. Kelompok yang mengatakan bahawa hanya ada kewajipan zakat dalam harta seorang Muslim mempunyai dalil dan hujahnya. Dengan perkataan lain, apabila seorang Muslim mempunyai harta yang banyak, maka tidak ada kewajipan ke atas hartanya itu selain zakat. Yang lain seperti nafkah tidak wajib. Begitu pula kelompok yang berpendapat bahawa ada kewajipan selain pengeluaran zakat juga mempunyai dalil dan hujahnya tersendiri.

Berdasar pandangan kelompok ini, umat Islam yang memiliki harta lebih diwajibkan memberikan sebahagian hartanya, di samping kewajipan zakat, untuk keperluan umat secara amnya.

Apabila kita perhatikan dengan saksama, maka pendapat golongan kedua yang bertepatan dan sesuai dengan matlamat agama Islam yang bertujuan membina dan menubuhkan masyarakat sejahtera dan makmur. Dengan mewajibkan nafkah, bukan hanya zakat yang 2.5 peratus itu, umat Islam akan lebih selesa dan mendapat jamin sosial yang sewajarnya.

Seorang ulama semasa, Dr Muhammad Baqir al-Sadr menyatakan: “Islam mewajibkan negara untuk menjamin penghidupan setiap individu masyarakat Islam dengan jaminan yang lengkap. Pada kebiasaannya negara melaksanakan kewajipannya itu melalui dua peringkat. Peringkat pertama ia menyediakan peluang pekerjaan dan penyertaan secara terhormat dalam aktiviti ekonomi yang membawa keuntungan, supaya setiap individu mampu hidup berdasarkan pekerjaan dan usaha sendiri. Apabila individu itu tidak berupaya bekerja dan menyara kehidupannya sendiri dengan sepenuhnya, atau negara sedang dalam keadaan yang meleset dan tidak mampu memberikan peluang pekerjaan kepada individu, maka tibalah pula peranan peringkat kedua. Pada peringkat ini negara mesti melaksanakan prinsip jaminan sosial dengan cara menyediakan perbelanjaan yang mencukupi memenuhi keperluan setiap individu dan memberikan saranan atau elaun khas kepadanya.” (Dalam Ensiklopedia Ekonomi Islam, i/42)

Islam menghubungkan antara jaminan sosial dengan prinsip ‘persaudaraan’ umum di kalangan umat Islam dengan tujuan memperlihatkan bahawa jaminan sosial itu bukanlah sejenis cukai ke atas lebihan pendapatan saja, malah sebenarnya ia untuk menyatakan secara praktikal mengenai ‘persaudaraan’ umum dalam jaminan diberikan orang lain kepadanya, dengan mencedok fahaman Islam dan daripada sikap persaudaraan mereka ikut serta bersamanya dalam membentuk keluarga yang salih dan bercorak kemanusiaan.

Menurut Dr Al-Jammal dalam Ensiklopedia Ekonomi Islam, Islam telah memberikan peranan yang sangat penting kepada negara untuk melaksanakan ‘keseimbangan yang sihat’. Walaupun begitu ia tidak memberikan kebebasan penuh kepada negara untuk bertindak sesuka hati saja. Malah telah diberikannya garis panduan mengenai sumber-sumber pendapatan seperti juga garis panduan mengenai cara membelanjakan wang negara.

Dalam usaha ini Islam tidak hanya mengenakan pungutan zakat, malah telah menetapkan beberapa kewajipan lain yang berbentuk harta benda, di samping memberi kuasa kepada pihak pemerintah untuk mengenakan beberapa kewajipan lain ke atas orang kaya untuk melaksanakan ‘keseimbangan’ itu, dengan syarat tidak melebihi daripada keperluan asas mereka.

Demikianlah kewajipan yang telah diberikan oleh Islam kepada negara. Untuk orang kaya pula, Islam telah memberi arahan kepada mereka supaya tidak berasa cukup setakat membayar kadar diwajibkan saja. Malah Islam mengarahkan kepada setiap individu sama ada kaya atau miskin dalam pelbagai bentuk galakan dan amaran berdasarkan prinsip ‘persaudaraan’ yang menjadi tali pengikat sesama mereka, supaya setiap individu itu bersikap tidak mempedulikan keperluan saudaranya, kerana mengharapkan negara untuk menunaikannya malah dia mesti berusaha menolong dan membantu saudaranya dengan mengorbankan wang, jiwa dan pangkat kedudukan tanpa sebarang ungkitan atau sikap yang menyakitkan. (i/4cc 4-45)

Oleh itu, tidaklah hairan jika kita membaca kesaksian-kesaksian cendekiawan Barat mengenai keberhasilan Islam, negara dan umatnya, dalam melaksanakan sistem ‘keseimbangan yang sihat’ ini. Leodorush, seperti dikutip Al-Jammal, mengatakan: “Sesungguhnya saya telah temui dalam Islam itu satu penyelesaian dua masalah yang sentiasa menyusahkan seluruh dunia, iaitu penyelesaian pertamanya terletak dalam panduan al-Quran maksudnya: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara..” (Surah al-Hujarat: 10) Ini ialah bentuk kerjasama yang paling unggul. Penyelesaian yang kedua pula terletak kepada kewajipan mengeluarkan zakat yang dikenakan ke atas setiap orang yang mempunyai harta.”

HJ Wales pula berkata: “Sesungguhnya Islam telah membentuk sebuah masyarakat yang begitu bebas daripada kekerasan dan kezaliman sosial, melebihi mana-mana jua masyarakat…”

Dan Dr Lura Fishie Faghlei mengatakan: “Sesungguhnya telah lenyaplah dua tamadun dan bergoyang dua agama, dan datanglah suatu agama baru yang mudah dan mengetuk pintu hati dan fikiran; sekali gus berhasil menegakkan bentuk baru bagi pemerintahan, yang bercorak politik dalam ciri-cirinya dan juga dalam prinsip-prinsip akhlaknya. Dengan kelahiran agama baru itu maka muncullah demokrasi yang sihat…”

Islam mengajar umat manusia supaya menghadapi semua kesukaran dan menanggung ikatan hidup tanpa keluhan. Dengan demikian tamadun Islam dalam bentuknya yang saling berkaitan dan lengkap melengkapi itu mempunyai pengaruh positif lagi berkesan dalam mengubah bentuk kehidupan umat manusia serta memandunya ke arah suatu keadaan yang lebih mulia dan terhormat dari segi kebendaan, semangat dan kerohanian.

Di sebalik mengenakan kewajipan membayar zakat, Islam mempunyai suatu matlamat yang murni, iaitu matlamat memberi bantuan kepada orang yang perlu kepada bantuan. Dengan matlamat seperti ini, Islam telah memberikan contoh utama kepada seluruh dunia mengenai jaminan sosial, iaitu suatu prinsip yang belum mampu dijangkau oleh pemikiran orang Barat melainkan pada pertengahan abad 20. Pada 1941, prinsip jaminan sosial baru muncul di United Kingdom dan ia diperkukuhkan lagi dengan adanya Piagam Atlantik yang dimeterai bersama Amerika Syarikat.

Ibnu Hazm, seorang daripada ulama terbilang dari Andalusia, telah melihat peri pentingnya nafkah am ketika beliau menegaskan: “Sesungguhnya Allah telah meletakkan kewajipan ke atas orang kaya dalam setiap buah negeri untuk memberi bantuan dan pertolongan kepada orang fakir dan miskin dan pihak yang berkuasa hendaklah memaksa orang kaya berbuat demikian jika hasil bayaran zakat tidak cukup untuk memberi bantuan kepada mereka (orang miskin) dan juga jika harta benda semua orang Islam yang ada dalam negeri itu masih belum cukup untuk memberi pertolongan (maka bolehlah diambil daripada harta orang bukan Islam). Hasil kutipan itu hendaklah diberikan kepada orang miskin dalam bentuk bahan-bahan keperluan utama seperti bahan makanan, pakaian musim sejuk dan musim panas secukupnya dan juga bantuan tempat kediaman yang dapat memberi perlindungan kepada mereka daripada hujan dan panas terik matahari serta daripada terdedah kepada pandangan orang yang lalu lalang..” (Dalam Ensiklopedia…, i/344)

Untuk itu, agar pelaksanaan nafkah am lancar dan sesuai dengan matlamat Islam dalam menjunjung prinsip jaminan sosial untuk seluruh warganya diperlukan satu undang-undang nafkah yang bukan saja mengatur nafkah keluarga seperti yang sudah ada dalam Undang-Undang Keluarga Islam, tapi juga mengatur nafkah jiran dan masyarakat di sekitarnya. Langkah ini dianggap perlu kerana boleh meringankan beban kerajaan dan rakyat khasnya apabila kita berdepan dengan semacam krisis global yang sedang kita hadapi Wallahu a’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s