Taksub ubat kuat

Oleh Hafizah Iszahanid

SEJAK berzaman sesetengah lelaki percaya organ dalaman haiwan tertentu mampu meningkatkan kekuatan seksual selain menjadi tangkal memikat wanita.

Justeru, permintaan terhadap organ dalaman selain daging dan tulang haiwan seperti harimau, beruang, serigala tidak pernah berkurangan. Walaupun ada undang-undang menghalang pemilikan, penyimpanan atau penyeludupan haiwan itu, saban tahun pasti ada rampasan dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan, Dr Sivananthan Elagupillay, berkata antara organ dalaman haiwan yang popular termasuk kemaluan harimau dan buaya; hempedu beruang, ular dan kongkang.

“Kebelakangan ini haiwan yang kerap dirampas adalah tenggiling dan biawak tikus yang dipercayai digunakan sebagai bahan meningkatkan kekuatan tenaga batin,” katanya.

Perubahan ini kata Dr Sivananthan, dikaitkan dengan permintaan dan ‘musim’ haiwan. Bergantung pada permintaan dan musim juga, harga untuk sekilogram daging atau organ dalaman boleh mencecah ratusan ringgit.

Bukan saja di Malaysia, perdagangan tenggiling kini sangat popular dan mengambil alih pasaran haiwan yang kini jarang ditemui misalnya tapak kaki harimau, tanduk badak dan zakar beruang.

Justeru, tidak hairan apabila hampir semua 57 kes yang dibawa ke mahkamah sepanjang tahun lalu membabitkan penyeludupan dan pemilikan tenggiling.

Daging haiwan itu, didakwa bukan saja bagus untuk menangani masalah tenaga batin tetapi cukup berkhasiat untuk dimakan ibu hamil, mereka yang menghidap arthritis dan lelah. Ia juga dikatakan bagus untuk menangani barah prostat dan hemofilia.

Perdagangan haram makanan eksotik yang dikaitkan dengan kekuatan tenaga batin ini sebenarnya bukan berlaku di Malaysia saja. Di China, Jepun, Singapura, Taiwan dan Thailand keadaannya hampir sama.

Bezanya di China dan Thailand ia dijual secara terbuka, Kedai menjual makanan eksotik ini mempamerkan organ haiwan sebagai sebahagian promosi.

Kebanyakan kepercayaan tradisional, memakan makanan eksotik menjadikan orang itu berani, panjang umur dan kekuatan seksual bertambah. Tidak kiralah lemak, kulit, tapak kaki, tulang beruang liar memang terkenal dalam menu makanan untuk menjadi ‘kuat’.

Kuda laut misalnya, dipercayai boleh menangani masalah mati pucuk dan jantung manakala tapak kaki beruang kononnya boleh menyembuhkan masalah tenaga batin selain arthritis.

Berdasarkan laporan rampasan oleh Perhilitan sebelum ini, harga seekor kongkang boleh mencecah hingga RM5,000, harimau antara RM100,000 hingga RM200,000 manakala sekilogram tenggiling boleh mencecah RM100.

Di Shanghai, sebelah tapak kaki beruang boleh mencapai harga hingga RM2,345. Daging tenggiling pula mencecah harga RM938 sekilogram.

Dr Sivanathan berkata, tenggiling dan biawak tikus memang banyak diperoleh di hutan Malaysia, Thailand, Indonesia dan Vietnam. Justeru, tidak hairan Perhilitan kerap membuat rampasan tenggiling yang cuba dibawa keluar dari Malaysia.

“Trend makanan eksotik sudah banyak berubah. Faktor kepupusan sesetengah haiwan menyebabkan, permintaan beralih kepada haiwan lain. Misalnya 30 tahun lalu, permintaan untuk makanan eksotik tertumpu pada harimau, beruang dan otak kera tetapi kini sudah tidak ada lagi,” katanya

Walaupun tidak dapat dipastikan kesan sebenar makanan sebegini terhadap kekuatan seksual tetapi ia kerap dicanang dan menjadi daya penarik untuk dibeli. Walaupun susah untuk mempercayai dakwaan ini, susah juga untuk menghapuskannya.

Tabiat buruk manusia juga dikatakan punca kepupusan sesetengah binatang. Banyak binatang yang diburu untuk tabiat pemakanan begini hampir pupus dan ada yang hanya tinggal tidak sampai 100 ekor di hutan Malaysia.

Berikutan itu kata Dr Sivananthan, Perhilitan kini banyak membuat eksperimen untuk menternak sesetengah haiwan secara komersial seperti projek menternak landak dan pelanduk.

Ada 292 jenis haiwan dilindungi sepenuhnya antaranya badak raga (Javan Rhinoceros), badak kerbau (Sumatran Rhinoceros), tenggiling, kongkang dan biawak tikus. Haiwan ini tidak boleh dimiliki dan disimpan kecuali untuk tujuan pendidikan seperti di zoo.

Menyimpan atau memiliki organ atau bahagian tertentu hidupan liar yang dilindungi boleh dikenakan tindakan Seksyen 68, Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 denda RM6,000, penjara enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala 491 haiwan tertakluk sebagai haiwan dilindungi. Maksudnya ia boleh diburu jika lesen diperoleh dan diburu pada musim dan lokasi tertentu. Antaranya rusa, kijang, babi hutan, babi bodoh (bearded pig), lotong kelabu dan landak raya.

“Babi hutan misalnya boleh diburu sepanjang tahun, rusa sepanjang November manakala pelanduk dan napuh antara Mei hingga Ogos. Keluang boleh diburu setiap malam bermula jam tujuh malam hingga 12 malam,” katanya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s