Allah Maha Pengampun

SOALAN:
Ayah saya adalah seorang penjawat awam dan bekerja sebagai seorang pegawai penguatkuasa di utara tanah air dan kini telah bersara. Kira-kira 20 tahun yang lepas, ayah saya melibatkan diri dengan kegiatan berjudi dengan membeli nombor ekor dan dengan hanya sekali mencuba beliau telah memenangi wang sejumlah RM30,000.

Menurut penceritaan beliau, kaedah yang digunakan untuk mendapatkan nombor tersebut adalah melalui pemujaan dengan menggunakan tali gantung dari salah seorang wanita yang membunuh diri yang dilakukan oleh seorang bomoh.

Soalan saya ustaz, apakah ada kaedah atau cara yang dapat kami sekeluarga lakukan untuk menebus kesilapan yang lalu dan menghentikan kesemua perbuatan itu?

JAWAPAN:

Satu-satu cara yang paling mujarab ialah bertaubat dengan penuh keikhlasan dan berazam tidak mengulanginya. Dalam persoalan taubat hamba kepada Allah SWT perlu ada kefahaman dan ilmu dalam hal ini. Apa sahaja yang dilakukan oleh manusia mesti berasaskan kepada ilmu pengetahuan, termasuklah taubat.

Perkara yang perlu diketahui ialah; hukum bertaubat, syarat bertaubat, sifat seorang yang bertaubat. Persoalan-persoalan ini perlu jelas pada seseorang hamba sebelum bertaubat.

Kalau tidak taubat seseorang akan menjadi ‘taubat sambal belacan’.

Ini kerana mungkin hari ini bila dia makan sambal belacan yang sangat pedas sehingga mengalir air mata kerana kepedasannya menyesal dan berazam kalau jumpa sambal belacan esok tidak tidak akan makan. Tetapi keadaannya menjadi sebaliknya apabila jumpa sambal belacan keesokan harinya kerana terus juga makan dan kemudiannya menyesal kembali.

Episod ini akan berulang, sebabnya keazaman tidak kuat. Begitulah keadaannya orang yang buat maksiat. Ketika dia buat maksiat dia tak nampak hukum Tuhan. Maruah dan akhlak, semuanya diketepikan. Yang penting matlamatnya tercapai dan maksiat yang kononnya menjanjikan keseronokan dikecapi.

Apabila teringat akan perbuatannya yang melanggar perintah Allah atau diingatkan oleh rakan, si pelaku maksiat menyesal dan menampakkan raut wajah yang menyesal. Tetapi, sampai bila?

Yang pastinya kalau esok terhidang di hadapannya peluang untuk buat maksiat, pasti dia terkam dan baham. Terima atau tidak taubat seseorang itu hak Allah SWT. Namun sifat Rahmat dan Pengampun lebih luas dari kemurkaan-NYa.

Berikut suka saya nyatakan petikan daripada kitab al-Taubat Ila Allah karangan Dr. Yusuf al-Qardawi.

Taubat

Allah SWT melalui al-Quran menyuruh hamba-hambanya bertaubat, sekali gus memperlihatkan keluasan rahmat-Nya yang tidak terbatas ke atas hamba-hamba sekalipun hamba itu melakukan dosa besar. Allah berjanji melalui ayat-ayat sucinya akan menerima taubat hambanya yang benar-benar bertaubat.

Taubat berasal daripada perkataan arab yang membawa maksud kembali iaitu kembali ke pangkal jalan. Allah menyeru manusia supaya tidak mencemarkan fitrah suci mereka dengan dosa. Supaya saat kembali mereka kepada Allah SWT tetap bersih.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri. (al-Baqarah: 222).

Dalam ayat ini Allah SWT mengakui bahawa orang yang bertaubat itu disukainya. Orang bertaubat kepada Allah SWT tergolong dalam golongan yang dicintai-Nya. Sedangkan para anbiya’ dan orang soleh sentiasa mendambakan kasih sayang Allah SWT.

Dalam memahami tentang keluasan keampunan Allah SWT dan rahmat-Nya bagi orang-orang yang bertaubat. Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah: Hai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-Zumar: 53)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika kalian melakukan kesalahan-kesalahan (dosa) hingga kesalahan kalian itu sampai ke langit, kemudian kalian bertaubat, nescaya Allah SWT akan memberikan taubat kepada kalian”. (riwayat Ibn Majah dari Abi Hurairah, dan ia menghukumkannya sebagai hadis hasan dalam kitab sahih Jami’ Shagir – 5235).

Fadilat

Di antara fadilat dan kelebihan yang diterima oleh mereka yang bertaubat adalah; Allah menugaskan para malaikat muqarrabin untuk beristighfar ke atas mereka serta berdoa kepada Allah SWT agar Allah menyelamatkan mereka dari azab neraka. Serta memasukkan mereka ke dalam syurga. Dan menyelamatkan mereka dari keburukan.

Mereka memikirkan urusan mereka di dunia, sedangkan para malaikat sibuk dengan mereka di langit. Allah SWT berfirman yang bermaksud: (Malaikat-malaikat) yang memikul arasy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): “Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari seksaan neraka yang meluap-luap, ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga ‘Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang yang soleh di antara bapa-bapa mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah Yang maha Perkasa lagi Maha Bijaksana, dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. Dan orang yang Engkau pelihara dari (pembalasan) kejahatan pada hari itu maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya dan itulah kemenangan yang besar. (Ghaafir: 7-9).

Dalam ayat yang lain firman-Nya yang bermaksud: Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan. (Al-Syuuraa: 25)

Allah memberi keampunan kepada yang melakukan dosa kerana kejahilannya. Firman Allah yang bermaksud: Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (mengampuni) bagi orang-orang yang mengerjakan kesalahan kerana kejahilannya, kemudian mereka bertaubat setelah itu, dan memperbaiki (dirinya) sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (al-Nahl: 119)

Puja-puji terhadap Allah SWT dengan nama-Nya at-Tawwab (Maha Penerima Taubat) terdapat dalam al-Quran sebanyak 11 tempat. Seperti dalam doa Ibrahim dan Ismail a.s.: “Dan terimalah taubat kami, sesungguhnya Engkaulah yang Maha penerima taubat lagi Maha Penyayang”. (al-Baqarah: 128).

Ulama telah menyebutkan syarat-syarat yang mesti ada bagi seseorang yang benar-benar ingin bertaubat seperti yang telah diambil dari al-Quran dan hadis, antaranya:

1) Bersegera meninggalkan perbuatan dosa dan maksiat tersebut.

2) Menyesal atas dosa-dosa yang telah dilakukan.

3) Berazam untuk tidak kembali bergelumang dalam dosa dan kemaksiatan.

4) Mengembalikan hak-hak orang yang dizalimi atau memohon kemaafan darinya.

Terdapat juga sebahagian ulama yang menggariskan syarat-syarat lain bagi mereka yang ingin bertaubat dengan taubat nasuha, antaranya:

1) Meninggalkan dosa-dosa tersebut (taubat nasuha) ikhlas kerana Allah dan bukan kerana perkara-pekara lain.

2) Merasa jijik dan benci dengan dosa yang yang dilakukan dan mengakui akan kemudaratannya.

3) Bersegera melakukan taubat nasuha.

4) Berasa takut dan risau ia akan kembali kepada dosa dan kemaksiatan.

5) Cuba Mendapatkan kembali hak-hak Allah (contoh: zakat dan solat) yang telah ditinggalkan sebelumnya (sekiranya boleh).

6) Mencari sahabat-sahabat yang soleh yang mampu membimbing dan membantu supaya dia sentiasa mengingati Allah dan tidak kembali kepada kemaksiatan.

Hilangnya keberkatan hidup seseorang itu adalah kerana dia tidak menyedari kesalahan yang dilakukannya dimurkai Allah atau berasa tidak bersalah atas keingkaran yang dilakukannya. Mungkin juga apa yang berlaku kepada keluarga anda sebagai satu pengajaran yang perlu diambil iktibar supaya perkara ini tidak berulang.

Yang keduanya, segala musibah yang menimpa mungkin juga kaffarah (penebus kesalahan ) daripada Allah SWT ke atas hambanya.

~ Utusan Malaysia

2 thoughts on “Allah Maha Pengampun

  1. Kasih sayang Allah tak sama dengan kasih sayang manusia. Sebab itu dgn kasih sayang Allah Dia sanggup ampunkan hambanya walau dosa sebesar gunung. Tapi manusia sahaja yang bongkak tidak mahu merendahkan diri memohon keampunan Allah. Dosa2 yang dibuat dirasakan kecil sahaja dan remeh temeh sahaja. Walau sekecilmana pun dosa ia tetap dosa dan memang Alah benci. Manusia sahaja yang sengaja meletakkan itu dosa kecil, ini dosa besar. Ugama meletakkan dosa kecil dan dosa besar bukan untuk kita meremehkan dosa kecil. Tetapi untuk kita bermuhasabah. Dosa kecil tidak memerlukan kita muhasabah banyak2 tetapi tetap kena bertaubat juga. Sebaliknya dosa besar muhasabah diri juga kena besar dan taubat juga kena besar. Dosa kecil kesannya tidak besar seperti dosa besar. Walaupun begitu kalau yang kecil2 di campur2 jadi besar juga. Itulah maksud dosa kecil dan dosa besar. Perlu diingat, dosa kecil pembalasan juga kecil, kecil pada pandangan Allah tapi tidak pada pandangan manusia. Sekecil2 dosa siksaan nya adalah api yang diletakkan di tapak kaki yang panasnya sampai menggelegak otak. Itulah yang paling kecil pada Allah. Pada manusia siksaan sebegitu teramat2 besar. Jadi bolehkan dikatakan dosa2 kecil itu remeh sahaja? Muhasabah dosa kecil tak patut sampai disitu sahaja sebaliknya kena lebih lagi dari melihat dosa balasannya siksa. kena pula kita melihat dari konsep ketaatan dan keredhaan kita kepada Allah. Taat bermaksud turut, ikut dan mengelakkan diri dari terjerumus kedalam ingkar. Kalau tuhan kata buat buatlah..apasal nak berdalih2 pulak. kalau tuhan kata jangan..janganlah, jangan pulanak mencari cari dimana ada kelonggaran.

    kalau sebagai ketua, arahan tak diendahkan pun ketua marah dan boleh menyebabkan dibuang kerja.. ni apatah lagi Tuhan Raja segala Raja… ishhh…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s