Jangan bangga berpoligami

Kebenaran berpoligami bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan lelaki. Sebaliknya, poligami adalah satu tanggungjawab yang amat berat dan besar.

PADA saat ini, poligami semakin terbuka diamalkan oleh lelaki. Ini dibuktikan apabila kebelakangan ini, pihak media tempatan kerap melaporkan soal perkahwinan yang melibatkan poligami. Bukan itu sahaja, gambar pengamal poligami bersama isteri-isterinya turut dipaparkan di media. Tampak jelas kebahagiaan terpancar pada wajah setiap isteri yang terlibat. Lebih-lebih lagi, wajah sang suami yang tentunya tersenyum lebar kerana berjaya mengurus kesemua isteri dengan baik.

Namun, tidak semua poligami berakhir dengan gembira dan bahagia. Hanya beberapa individu tertentu sahaja yang bertuah dapat menikmatinya.

Ini kerana apabila membincangkan soal poligami, ramai yang menuding jari ke arah pasangan masing-masing untuk saling tuduh menuduh terhadap punca masalah. Kata-kata seperti tidak sehaluan, perlukan kasih sayang yang lebih, layanan tidak semesra dahulu atau mempunyai kewangan kukuh menjadi antara faktor pendorong suami berkahwin lagi.

Namun, apakah perlu suami mencanangkan hal ini kepada umum semata-mata mahu berkahwin kali kedua, ketiga atau keempat?

“Perkahwinan sememangnya perlu dihebahkan dan diuar-uarkan kepada orang ramai. Namun, tidak perlulah ia disebarkan ke seluruh pelosok negara atau dunia. Memadai, berita gembira ini diumumkan kepada masyarakat umum yang berhampiran.”

“Tujuan hebahan adalah bagi mengelakkan fitnah dan agar masyarakat setempat tahu pasangan tersebut telah berkahwin secara sah”.

Begitulah penjelasan seorang Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali apabila mengulas hal berkaitan poligami.

Menurutnya, berkahwin lebih daripada satu atau poligami menjadi bukti kesempurnaan hukum Islam kerana dapat mengelakkan manusia daripada melakukan zina atau memiliki perempuan simpanan yang pastinya hanya menzalimi diri dan wanita.

“Namun begitu, poligami diharuskan untuk dinikmati dan digunakan dengan penuh tanggungjawab.

“Dalam kes perkahwinan poligami, keadaan juga adalah serupa. Tetapi hasrat dan keinginan untuk berpoligami (masih dalam perancangan) sewajarnya tidak didedahkan kepada umum kerana hasrat tersebut masih belum mempunyai keputusan yang muktamad.

“Permohonan untuk berpoligami boleh diterima dan boleh juga ditolak di pejabat agama. Bagi permohonan yang diterima, alhamdulillah…Tetapi jika ditolak, ia boleh menimbulkan kesan buruk terutama kepada pemohon dan bakal pasangannya,” jelas Suzana.

Walaupun kemungkinan besar permohonan poligami akan diterima, namun kata Suzana, hasrat dan keinginan tersebut tetap tidak wajar dihebahkan di seluruh negara berdasarkan alasan berikut:

*** Kebenaran berpoligami bukanlah satu perkara yang boleh dibanggakan oleh lelaki. Sebaliknya, poligami adalah satu tanggungjawab yang amat besar. Kegagalan melaksanakan poligami seperti yang disarankan oleh syarak boleh meletakkan seorang lelaki itu berdosa besar.

*** Menurut Doktor Muhammad al-Bahi dalam bukunya yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Fathurrahman (1988), poligami adalah perkara harus dan satu rukhsah (keringanan) dalam keadaan darurat.

Katanya, ia bukanlah satu perkara yang wajib dilaksanakan. Bahkan jika diamati, ia boleh membawa kepada suatu tegahan dan haram hukumnya jika suami yang berpoligami tidak berupaya berlaku adil sehingga mengakibatkan penganiayaan terhadap isteri-isteri yang dikahwini.

Menimbulkan hasrat yang serupa kepada lelaki lain

*** Hebahan hasrat seseorang lelaki untuk berpoligami boleh menimbulkan atau menyemarakkan hasrat yang sama kepada lelaki lain. Fitrah seorang lelaki pasti mempunyai kehendak untuk berpoligami sama ada pernah diluahkan atau terpendam. Bezanya, tidak semua lelaki layak untuk berpoligami.

*** Seorang lelaki yang ingin berpoligami perlulah memenuhi syarat-syarat berikut:

*Mampu menanggung nafkah isteri-isteri: Suami wajip menanggung nafkah isteri zahir dan batin, tidak kira sama ada dia mempunyai seorang isteri atau lebih. Nafkah zahir yang dimaksudkan di sini ialah dari aspek makan, minum, pakaian, kediaman dan perubatan. Nafkah batin pula ialah suami berkeupayaan dalam memberi layanan seks yang adil kepada semua isteri-isterinya.

*Berlaku adil kepada isteri-isteri. Menurut Abu al-‘Aynayn, keadilan bermaksud penyamarataan terhadap semua isteri tanpa wujud pilih kasih di antara mereka. Ia termasuk interaksi yang baik di antara suami isteri yang meliputi perbuatan, tutur kata dan akhlak. Keadilan ini wajib dijelmakan di dalam beberapa aspek iaitu nafkah, pakaian, penempatan, giliran bermalam dan musafir.

Adil dalam menyediakan kediaman

Sebagaimana pemberian nafkah, suami juga perlu menyediakan tempat tinggal isteri baik dalam keadaan monogami atau poligami. Apabila berpoligami, kediaman isteri seboleh-bolehnya diasingkan sebagai suatu inisiatif untuk mengelakkan perselisihan keluarga dan perasaan cemburu isteri.

Pengasingan bergantung kepada kemampuan seseorang suami yang tidak semestinya menyediakan sebuah rumah untuk setiap isteri, bahkan dibolehkan juga disediakan bilik-bilik berasingan dalam satu rumah yang sama.

Dari segi psikologi, menempatkan isteri-isteri dalam rumah yang sama akan memudahkan mereka berselisih faham yang boleh melukakan perasaan.

Adil dalam giliran bermalam

Suami wajib menentukan kadar giliran bermalam yang adil di antara isteri-isterinya tanpa mengira sama ada isterinya itu isteri muda, isteri tua dan sebagainya. Suami berdosa jika memberikan giliran lebih banyak kepada salah seorang isteri berbanding dengan isterinya yang lain.

Di samping itu, keadilan dalam giliran malam ini masih juga relatif sifatnya dan perlu dinilai mengikut situasi seseorang isteri. Ia boleh dilonggarkan apabila ada kerelaan daripada mana-mana isteri tersebut.

Adil dalam musafir

Menurut pendapat Imam Syafie, suami wajib membuat undian di antara isteri-isteri sekiranya beliau menginginkan salah seorang daripada mereka menemaninya bermusafir.

Dengan ini, suami tidak wajib menggantikan giliran bermalam kepada isteri yang sepatutnya mendapat hak pada masa musafirnya. Berbeza keadaannya, jika undian tidak dibuat dan tiada kerelaan mana-mana isteri.

Bagaimanapun, mazhab Hanafi berbeza pandangan dalam hal ini dengan mengatakan suami tidak wajib membuat undian untuk memilih isteri yang menemaninya ketika musafir.

*** Menurut peruntukan Undang-undang Keluarga Islam, seseorang hanya dibenarkan untuk berpoligami sekiranya:

*Perkahwinan yang dicadangkan ini adalah patut dan perlu memandangkan keadaan isteri dari segi kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila.

*Pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menanggung semua isteri dan tanggungannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan perkahwinan yang baru.

*Pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak hukum syarak.

*Perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syar’ie kepada isteri.

Boleh menyebabkan pergaduhan

*Fitrah wanita ialah tidak dapat menerima perkongsian suami walaupun sejak kebelakangan ini terdapat beberapa kes yang mengenengahkan kepada umum isteri-isteri sedia ada menyokong permohonan suami berpoligami. Sokongan bukan bererti kerelaan penuh kerana sudah pasti, ada sedikit rasa terluka apabila suami berhasrat ingin berpoligami.

*Dengan perasaan enggan berkongsi itulah, boleh menimbulkan pergaduhan dan memberikan tekanan kepada kedua-dua pihak.

*Masyarakat sekeliling juga akan berpandangan serong terhadap pemohon.

Berdasarkan alasan-alasan dan fakta-fakta yang diberikan ini maka tidak wajar seorang lelaki menghebahkan kepada umum tentang hasratnya untuk berpoligami. Dalam perkara ini, pihak media perlu memainkan peranan penting.

~ Kosmo!

3 thoughts on “Jangan bangga berpoligami

  1. …..KITA BOLEH BERPOLIGAMI JIKA BERKEMAMPUAN ZAHIR BATIN,kalau taraf kehidupan kedudukan Ekonomi biasa tu ..lupa ajae la,kalau makan pakai tak lepas,benda pula kecik ajo-cepat terkeluak- nak melepas dulu ajo..lupa aje le.nanti bini sedia ada-tambahan -menaggih kasih kat bangla or Indon.

    …tetapi kalau loaded wang …berharta..berkemampuan tak pa lah,bini bergembira dgn kesenangan,tak dapat pun tak pa,ini benda… tak dapat, duit tak do..rentikan lah,,,jgn menderitakan anak orang dan menambah dosa je.

    …tetapi “berkemungkinan” jika ada yg sanggup menerima dan membiayaii kehidupan tak pa la,dapat juga tempat berteduh untok merehatkan diri, masa “gerhana” rumah tangga,dapet jugo menaggih simpati kesakitan-kesenangan.

    Kahwin banyak ni,memang ” Gah ” bagi setengah orang lelaki walau pun kurang terdaya-berkemampuan….tetapi kita harus fikirkan masa tua kita bila dah hilang “power”,(tak kan nak minum kopi ada power aja..berguru dgn jin kepala botak tersenyum lebar tu-TV) ibarat sama aja dgn anak dan ibu ayam yg berkeliaran tampa haluan atau di iringi BAPAK AYAM, sentiasa ditenggek dek ayam lain-sesuka ati atau di baham boya kelaparan…….atau anak kita sendiri menenggek (darah daging sendiri)adik bau2 bacang..nyo sendiri

    Kalau kita tidak berkemampuan dari segi Jasmani_Rohani ,tlg lah jangan kawin atau cucuk mencucuk sana sini….nanti tercucuk anak sendiri….(((ado dogar)) menyesal tak sudah…gantung diri….wallahuallam

  2. Assalamu’alaykum,

    Saya ada membincangkan isu poligami dalam Islam di dalam blog saya. Ada satu buku yang ditulis oleh Professor Dr. Yusof Al-Qaradawy yang bertajuk “The Status of Women In Islam” mengupas secara terperinci tentang kedudukan wanita dalam Islam termasuk isu poligami.

    http://milkyway27.wordpress.com/

  3. Kalau suami tidak mampu berpoligami,lebih baik ceraikan isteri pertama dan biarkan anak dengan isteri itu. Barulah mampu menyara isteri kedua yang seorang sahaja.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s