Betulkan tabiat pemakanan kanak-kanak

TABIAT pemakanan antara faktor yang menentukan tumbesaran yang sihat dan sempurna di kalangan kana-kanak.

Ibu bapa sebagai individu yang paling hampir dengan kanak-kanak, berpengaruh besar dalam mencorakkan tabiat pemakanan mereka.

Begitupun, mencorakkan tabiat pemakanan di kalangan anak-anak boleh menjadi cabaran yang besar pada ibu bapa, lebih-lebih lagi dengan pengaruh daripada media yang begitu meluas.

Cabaran itu bertambah sukar dengan kekangan waktu di mana kesibukan berkerja membuatkan tumpuan kepada tanggungjawab menyediakan makanan berkhasiat dan seimbang kepada anak-anak gagal dilakukan.

Makanan segera

Justeru, kita melihat hari ini kanak-kanak lebih cenderung memilih makanan segera, berbanding makanan berkhasiat yang sepatutnya diambil sesuai perkembangan usia mereka.

Situasi ini turut diakui oleh Pengurus Kanan Dietetik dan Perkhidmatan Makanan, di Institut Jantung Negara (IJN), Mary Easaw-John, yang berpendapat ibu bapa perlu bertanggungjawab menghidangkan makanan berkhasiat dan seimbang bagi memastikan generasi pelapis membesar sihat dan pintar.

Katanya, ibu bapa perlu lebih tegas dalam mengawal tabiat pemakanan anak masing-masing yang gemarkan makanan ringan sekiranya tidak mahu anak mereka menderita akibat masalah obesiti di peringkat kanak-kanak lagi.

Sebagai ibu bapa mereka perlu menetapkan garis panduan kepada anak-anak, makanan yang boleh diambil dengan kerap dan makanan yang perlu diambil sekali-sekala sahaja.

‘‘Jika sayangkan anak, kita harus meletakkan aspek disiplin sebagai perkara penting. Sebaiknya sentiasa jadikan diri sebagai contoh,’’ ujarnya. ketika ditemui Mega, baru-baru ini.

Mary berkata, kunci pemakanan baik sebenarnya bermula daripada perancangan teratur ketika membeli makanan untuk keluarga.

Oleh kerana itu, ibu bapa digalakkan agar membawa bersama anak mereka ke pasar atau pasar raya bagi mendidik mereka bagaimana memilih makanan yang berkhasiat.

Dalam usaha mendisiplinkan anak-anak juga, Mary berkata, ibu bapa juga perlu mempelbagaikan jenis masakan supaya anak-anak boleh membuat pilihan sekali gus membuka selera untuk mencuba.

Katanya juga, sentiasa jadikan hidangan yang disediakan itu menarik dengan mempelbagai jenis pilihan hidangan dan cara masakan.

Beliau tidak menafikan penyediaan makanan yang tidak bersih selain pilihan makanan yang tidak sesuai, menjadi penyebab utama kepada kejadian keracunan makanan kalangan kanak-kanak sekolah boleh berlaku.

Ini kerana katanya, berbanding dewasa, perut kanak-kanak lebih kecil dan sensitif. Jika kanak-kanak ini tersalah makan, impak lebih besar mungkin berlaku sehingga boleh menyebabkan keracunan makanan yang teruk dan perlu dimasukkan ke hospital.

Oleh kerana itu, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak membawa bekal ke sekolah sekurang-kurangnya dua atau tiga kali sepanjang lima hari persekolahan. Pastikan mereka mencuci tangan sebelum makan, selepas makan, selepas mengunakan tandas dan selepas pendidikan jasmani.

Selain itu juga ibu bapa boleh mencorakkan amalan pemakanan yang baik kepada anak-anak apabila melibatkan perjalanan jauh seperti balik kampung atau makan angin.

Mary berkata sikap ibu bapa yang ‘tidak kisah’ atau ‘terlalu memanjakan anak’ menyebabkan usaha mendisiplinkan anak-anak dengan corak pemakanan yang baik tidak berhasil.

2 thoughts on “Betulkan tabiat pemakanan kanak-kanak

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s