Anak remaja juga perlu dibelai

 

TIDAK kurang 5.2 juta daripada 26 juta rakyat Malaysia kini adalah kanak-kanak dan jumlah itu berdasarkan rekod pendaftaran di 10,000 sekolah di seluruh negara.

Jumlah mereka ini adalah hasil produk daripada kira-kira 4 juta keluarga yang bernaung di bawah institusi kekeluargaan.

Persoalannya, adakah kanak-kanak ini benar-benar ke sekolah dan berada dalam kelas serta pulang dan berada di rumah bersama keluarga pada masa-masa yang sepatutnya?

Rumah, ibu bapa, sekolah dan guru-guru sebenarnya tidak lagi menjadi tempat yang selesa dan menyeronokkan serta selamat lagi terkawal bagi kebanyakan kanak-kanak.

Buktinya, seramai 250 kanak-kanak di sekitar Kuala Lumpur berada dalam tahanan polis kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah sepanjang Januari hingga Mei 2008.

Malah kadar indeks jenayah polis Kuala Lumpur merekodkan 15 kanak-kanak berumur 13 hingga 18 tahun yang ditangkap terlibat dalam 11 kes samun tanpa senjata dalam tempoh tersebut.

Sebanyak 50 peratus tangkapan pula adalah kanak-kanak mangsa rogol yang sebahagian besarnya berlaku secara sukarela.

Inilah situasi masalah kanak-kanak yang dilahirkan dalam institusi kekeluargaan masyarakat di negara kita sekarang.

Jadi, di manakah sebenarnya anak-anak anda? Adakah mereka melepak di kafe siber, kelab-kelab sosial atau sedang bergelendangan di jalanan tanpa hala tujuan.

Adakah ibu dan bapa mahupun ahli keluarga, jiran dan masyarakat pernah ambil tahu dan prihatin dengan masalah dan budaya hidup kanak-kanak hari ini?

Bagi ibu bapa dan ahli keluarga, peluk, cium, belai dan memanjakan anak-anak hanya melimpah ruah pada usia bayi hingga awal peringkat kanak-kanak sahaja (peringkat sekolah rendah).

Namun, apabila mencapai usia remaja (sembilan atau 13 tahun ke atas) dan sudah akil baligh, belaian manja dan perhatian itu hilang kerana dianggap sudah ‘matang’, walaupun mereka dalam kategori kanak-kanak.

“Keluarga khususnya bapa, tidak peduli dan tidak ambil tahu lagi emosi anak-anak apabila mencapai usia baligh.

“Sedangkan pada usia beginilah sebenarnya kanak-kanak memerlukan lebih perhatian, kasih sayang dan bimbingan khususnya daripada ibu bapa,” kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Anuar Ibrahim.

Malah kata beliau, adalah kesilapan besar jika sekolah dan guru yang diharap oleh ibu bapa untuk mengambil alih peranan dan tanggungjawab dalam memberi kasih sayang serta perhatian dalam pembesaran kanak-kanak.

Sebaliknya tegas beliau, kanak-kanak yang bermasalah di alam persekolahan adalah berpunca daripada ibu bapa dan keluarga yang bermasalah.

Ini kerana tegas beliau, kebanyakan keluarga terutama bapa mengabaikan tugas dan tanggungjawab hakiki mereka untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan anak di usia kanak-kanak.

Punca kegawatan emosi, moral, akhlak dan jati diri di kalangan kanak-kanak sekarang bagaimanapun kata Anuar, berpunca daripada kepelbagaian fokus oleh setiap pihak terbabit.

“Masalahnya apabila ibu bapa, sekolah, guru-guru dan kerajaan masing-masing mempunyai fokus dan agenda masing-masing ke atas kanak-kanak yang sama,” katanya.

Menurut beliau, mana mungkin kanak-kanak yang sama mampu memenuhi fokus dan agenda ibu bapa, sekolah, guru dan kerajaan dalam satu masa.

“Ini telah memberi beban tekanan dan penderaan emosi serta fizikal yang berat ke atas seseorang kanak-kanak,” katanya.

Dalam masa yang sama pula tambah Anuar, golongan kanak-kanak ini bukan sahaja disekat malah tidak diberi pembelaan sewajarnya ke atas hak-hak mereka.

Beliau berkata demikian dalam forum umum ‘Keselamatan Kanak-kanak: Tanggungjawab Siapa’ anjuran Pusat Perundingan dan Latihan Institut Kefahaman Islam Malaysia (PPL IKIM), Kuala Lumpur.

Forum lebih dua jam itu diadakan sempena Bengkel Hak Perlindungan dan Keselamatan Diri Kanak-Kanak yang berlangsung di dewan besar IKIM pada Selasa dan Rabu lalu. Ia dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Ng Yen Yen.

Anuar juga menyifatkan dasar dan budaya pendidikan yang menjadikan pencapaian peperiksaan sebagai matlamat pembelajaran punca berlaku kegawatan emosi, akhlak, jati diri dan moral kanak-kanak sekarang.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-Guru (PIBG) Nasional, Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hasan pula memberitahu, situasi sekolah dan guru-guru yang ada di negara kita sekarang tidak lagi berkonsep sejahtera dan menyeronokkan emosi dan jasmani kanak-kanak.

Dasar dalam sistem pendidikan yang ada sekarang sebaliknya kata beliau, lebih berkonsep penderaan emosi dan fizikal.

Sekolah sepatutnya, kata Mohd. Ali, perlu menjadi kesinambungan pada institusi kekeluargaan dalam membentuk dan mencorak fizikal, emosi dan akhlak dan akidah kanak-kanak.

“Dasar pendidikan dan strategi pembangunan sekolah-sekolah yang ada sekarang tidak lagi berkonsep kesejahteraan dan pusat bimbingan yang menyeronokkan pelajar dan guru.

“Sebaliknya ia bersifat material dan fizikal yang terlalu menekan dan membebankan. Begitu juga dalam institusi kekeluargaan,” katanya.

Akibatnya tambah beliau, timbul pelbagai masalah moral dan budaya negatif ke atas kanak-kanak di dalam kedua-dua buah institusi berkenaan.

Sebab itu Mufti Negeri Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, kerajaan perlu ambil tindakan serius ke atas mana-mana sekolah agama dan tahfiz khususnya serta pusat penempatan anak-anak yatim yang menjadikan kanak-kanak sebagai ‘pengemis’ untuk mengutip derma dan menjaja barangan.

“Amalan dan perbuatan sedemikian bukan sahaja merosakkan imej Islam tetapi telah menyanggah hak kebebasan, perlindungan dan keselamatan ke atas kanak-kanak,” katanya.

Hak kebebasan, keselamatan dan perlindungan ke atas kanak-kanak kata beliau, bukan hanya terdapat dalam Akta Perlindungan Kanak-Kanak Negara dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu tetapi telah termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah.

Bagaimanapun tambah Dr. Mohd Asri, dasar kerajaan dan institusi kekeluargaan sekarang terlalu berkonsep materialistik dengan masing-masing ‘bekerja’ untuk kepentingan sendiri bukan bagi kesejahteraan menyeluruh untuk ummah akan datang.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s