Mendidik anak terbilang

ANAK adalah anugerah Allah s.w.t kepada ibu bapa yang dipertanggungjawabkan mendidik mereka agar menjadi manusia yang terbilang di dunia dan juga di akhirat.

Anak merupakan pewaris zuriat dan mesti diberi didikan dengan sempurna.

Lantaran itu, tanggungjawab memberi nafkah telah dipertanggungjawab kepada bapa. Sementara ibu, diberi tanggungjawab untuk mendidik anak. Sabda Rasulullah s.a.w: ‘Muliakanlah anak-anak kamu dan pereloklah budi pekerti mereka.’- Hadis riwayat Ibnu Majah.

Anak perlu diberi kasih sayang selain daripada pendidikan yang sempurna. Tanggungjawab ibu bapa memberi kasih sayang dengan penuh lemah lembut berdasarkan tahap dan peringkat umur anak.

Senda gurau dengan anak merupakan lumrah yang dapat merapatkan hubungan baik dalam keluarga. Sebuah hadis yang diriwayat oleh Anas r.a : ‘Sesungguhnya aku berjalan bersama Rasulllah dan menghampiri kanak-kanak, baginda memberi salam kepada mereka.’- Hadis riwayat Muslim. Rasullullah s.a.w satu ketika bila mana anaknya Siti Fatimah menemui baginda, baginda berdiri meyapa dan mencium dan meletakan anaknya di tempat duduknya.

Apa pun ibu bapa perlu mencurahkan kasih sayang dan memberi layanan yang adil kepada anak-anak. Sabda Rasulullah s.a.w: ‘Berlaku adillah kamu di antara anak-anak kamu dalam memberi hadiah sebagaimana kamu suka mereka berlaku adil di antara kamu dalam kasih sayang.’- Hadis riwayat at-Tabrani. Jauhi sifat yang membawa kepada wujudnya rasa berbeza dan tidak adil kepada anak.

Anak akan berasa kecil hati dan boleh membuahkan sifat dendam yang mendalam. Sementara itu, jika anak dimanjakan dengan berlebihan, ini akan mewujudkan sifat sombong dan bangga diri. Rasulullah s.a.w menegaskan dalam sabdanya: ‘Eratkanlah anak-anak kamu dengan sama rata antara mereka.’ – Hadis riwayat Ahmad.

Anak-anak perlu dididik dan disemai dengan sifat sentiasa yakin diri, mulia diri, mempunyai harga diri yang tinggi, baik sangka terhadap orang lain, bersifat benar, berani dan tenang.

Mendidik anak supaya sentiasa memberi pendapat dan menyokong pendapat yang baik. Terus menerus menghukum apabila anak melakukan kesalahan tanpa memberi peluang menyebabkan anak-anak membesar dalam suasana bersalah. Akhirnya anak-anak takut untuk memberi pendapat kerana takut nanti tersilap.

Mencurah kasih sayang kepada anak secara tidak bertempat sehingga anak tidak diberi peluang untuk belajar melakukan sesuatu untuk mengurus dirinya menyebabkan anak merasakan tidak yakin dengan kebolehannya.

Mengkritik anak secara berlebihan juga boleh menyebabkan anak-anak tidak mempunyai keyakinan diri untuk melakukan sesuatu yang sepatutnya dilakukan.

Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab dan sentiasa mengharapkan anak menjadi seorang yang terbilang, usaha secara berterusan perlu dilakukan. Sentiasalah berdoa agar anak sentiasa dirahmati dan dilindungi Allah s.w.t dari bala bencana. Doa ibu bapa sentiasa diberkati Allah. Jauhi dan berhati-hati daripada menggunakan kata-kata buruk yang juga merupakan doa daripada ibu bapa. Banyak ayat-ayat al-Quran yang boleh diamalkan sebagai doa harian.

Antaranya dalam surah al-Furqan ayat 74 yang bermaksud: ‘Wahai Tuhan Kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami perkara-perkara yang boleh menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertaqwa.’ Rasulullah s.a.w pernah membaca doa berikut untuk Hassan dan Hussin yang bermaksud: ‘Aku memohon perlindungan dengan kalimah Allah yang sempurna untuk kamu berdua daripada gangguan syaitan, daripada binatang dan daripada mata-mata yang berniat jahat.’

Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak yang merangkumi pendidikan jasmaniah dan rohaniah secara seimbang dan sempurna. Anak adalah nikmat dan penyeri hidup. Firman Allah: ‘Harta dan anak pinak itu adalah perhiasan hidup dunia.’- Surah al-Kahf:46. Wallahualam.

 

Oleh: Dr Jamaludin (Kosmo!)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s