Pengguna perlu peka status halal

KAJIAN semasa menunjukkan Islam adalah agama dianuti paling ramai penduduk dunia, anggarannya mencecah dua bilion pada 2010. Oleh itu, industri halal kini semakin berkembang kerana permintaan barangan halal semakin meningkat.

Mengikut HalalJournal.com, industri halal dijangka mencecah AS$580 bilion dan meningkat pada kadar tujuh peratus setiap tahun.

Menyentuh soal halal, negara kita memang sudah lama menetapkan penggunaan barangan halal sama ada yang dihasilkan di dalam atau luar negara. Namun, adakah produk yang disahkan halal ini benar-benar halal dan sejauh manakah pemantauan yang dilaksanakan pihak bertanggungjawab?

Ini yang menimbulkan polemik di kalangan masyarakat Islam sehingga berasa was-was setiap kali membeli sesuatu barangan. Misalnya, baru-baru ini ada yang mempersoalkan proses pembuatan tauhu yang dikatakan kotor dengan anjing berkeliaran di kawasan sekitarnya.

Sebagai seorang pengguna Islam bagaimanakah mereka boleh mendapatkan maklumat mengenai barangan yang dibeli itu benar-benar halal dan bagaimanakah cara memprosesnya?

Justeru, Keluarga Di 9 (KD9) menerusi slot Isnin, Siapa Kata bersama pengacaranya, Aziz Desa mengundang dua tetamu iaitu Pengarah Hub-Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zainal Abidin Jaffar dan Pegawai Penyelidik Program Pemprosesan dan Pembangunan Mardi, Dr Mohamed Shafit Hussain, bagi mengupas lebih lanjut isu halal haram ini.

Zainal Abidin berkata, apabila perkataan halal digunakan dalam apa jua bentuk perdagangan atau perniagaan maka ia tiada mengandungi bahagian atau benda daripada binatang yang dilarang hukum syarak atau yang tidak disembelih mengikut hukum syarak.

Selain itu, katanya penyediaan, pemprosesan dan penyimpanannya tidak bersentuhan atau berdekatan dengan sebarang makanan yang tidak mengikut hukum syarak.

“Status halal dan logo halal diperkenalkan Jakim pada 1971. Malaysia menjadi negara pertama memperkenalkan logo halal. Malah, sejak 2004, negara ini memperkenalkan piawaian halalnya sendiri, MS 1500, yang kini menjadi ikutan seluruh dunia.

“Bagi memastikan piawaian sijil halal ini benar-benar sah, Jakim melantik 44 organisasi Islam luar negara menjadi wakil yang mengesahkan sesuatu produk itu halal atau tidak. Tempoh logo halal pula hanya dua tahun dan ia perlu diperbaharui,” katanya.

Zainal Abidin turut menyenaraikan pemohon yang layak memohon sijil halal di mana ia hanya terbuka kepada pengeluar/pengilang produk, pengedar barangan, pengeluar sub kontrak, pembungkusan semula, pengusaha premis makanan dan rumah sembelihan.

Jika permohonan mereka agak meragukan, Jakim tidak teragak-agak menolak permohonan mereka, misalnya;

  • Syarikat mengeluar dan mengedar produk halal dan tidak halal.
  • Produk yang tidak halal.
  • Bahan semula jadi yang tidak membabitkan sebarang pemprosesan.
  • Ubat-ubatan atau produk yang dikategorikan sebagai keluaran farmaseutikal oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
  • Produk siap diproses yang dikeluarkan di luar negara.
  • Produk yang menggunakan nama sinonim dengan istilah yang mengelirukan seperti bak kut teh.
  • Baja dan makanan binatang.

    Bagi memastikan setiap pemegang sijil halal mematuhi setiap syarat ditetapkan, enam bulan pertama selepas mendapat sijil pengesahan halal, Jakim akan mengadakan pemeriksaan mengejut. Pemantauan juga dilakukan secara tiga peringkat iaitu secara berkala, aduan dan pemeriksaan mengejut.

    Jika pengusaha atau pemilik premis didapati bersalah mereka boleh didenda RM100,000 dan penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Justeru, jika ada yang berasa ragu atau was-was dengan sesuatu barangan, mereka perlu membuat aduan segera kerana Jakim tidak berkompromi hal halal haram ini.

    Selain Jakim, jawatankuasa yang menilai halal haramnya sesuatu produk itu terdiri daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kesihatan, Mardi dan universiti tempatan.

    Dari segi teknikal atau ujian, kebanyakannya dilakukan Mardi.

    Dr Mohamed Shafit berkata, Mardi sentiasa memantau bahan digunakan dalam produk yang berada di pasaran. Sebenarnya banyak bahan tambahan dalam makanan yang meragukan misalnya gelatin (dihasilkan daripada lemak binatang) yang banyak digunakan di dalam makanan tetapi kini ramai mendakwa mereka menggunakan gelatin diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan.

    Selain gelatin, antara senarai bahan tambahan yang meragukan termasuk enzim, keju, kolagen, lecitin, emulsi, tallow (lemak binatang) dan dadih.

    Tidak dinafikan peranan Jakim dan badan bertanggungjawab lain di dalam memastikan produk halal benar-benar halal cukup penting, Namun, tindakan bersepadu perlu supaya hal halal haram ini tidak diambil mudah. Sebagai pengguna, kita mengharapkan soal halal haram diberi keutamaan. Kita juga mengharapkan agar penyelesaian yang menyeluruh, bukan sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’.

    Sebagai pengguna, kita perlu bersikap berani dan tegas. Sentiasa mengambil tahu dan peka pada setiap barangan yang kita beli supaya status halalnya sentiasa terjamin.

  • Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s