Tanya Pakar: Lelaki dan RM – Tip bijak berbelanja

Oleh Shamshul Azree Samshir
sazree@bharian.com.my

DULU segelas teh tarik boleh dibeli pada harga serendah 80 sen atau 90 sen, namun sekarang harganya mencecah RM1.20. Begitulah senarionya apabila tekanan kenaikan harga barangan menyebabkan pengguna tidak mempunyai pilihan selain berjimat cermat dalam berbelanja. Kolum Kata Pakar mengundang Ahli Ekonomi Kanan Bank Islam Malaysia Bhd, Azrul Azwar Ahmad Tajudin berkongsi tips belanja berhemat bagi si bujang mahupun yang sudah berumahtangga.

XY : Andaikan situasi ini, seorang lelaki bujang berpendapatan kurang RM2,000 mula merasa terhimpit dengan kenaikan harga barangan sekarang. Lelaki ini membayar sewa bilik RM350 tetapi beliau tidak memiliki kenderaan. Bagaimana sepatutnya lelaki ini berbelanja?

Cara berbelanja berhemat bagi lelaki bujang ini bergantung kepada di mana beliau tinggal dan jika beliau masih menetap di kediaman ibu-bapa atau menumpang di rumah adik-beradik mahupun saudara-mara.

Jika lelaki bujang ini tinggal di bandar dan berkongsi rumah dengan teman-teman, pendapatan bulanan sebanyak itu berkemungkinan besar tidak mencukupi untuk menampung kehidupan seharian. Ini berikutan faktor kenaikan harga barangan dan perkhidmatan sejak akhir-akhir ini, terutamanya bahan makanan dan bahan bakar (dengan andaian pendapatan tersebut tidak berubah). Tambahan pula, kos sara hidup adalah lebih tinggi di bandar berbanding di luar bandar.

Nasihat saya jangan beli kenderaan bermotor persendirian buat masa ini terutamanya kereta. Ramai yang sedia maklum bahawa kos keseluruhan memiliki sebuah kereta di Malaysia adalah agak tinggi jika dibandingkan dengan beberapa negara lain. Sebaliknya, untuk perjalanan pergi dan pulang dari tempat kerja, cuba ikhtiarkan ‘car-pool’ bersama teman serumah atau jiran lain, atau gunalah pengangkutan awam (bukan teksi). Jika rumah lelaki bujang ini terlalu jauh daripada laluan pengangkutan awam atau tempat kerja teman serumah atau jiran berada pada arah bertentangan dengan di mana beliau bekerja, maka terpaksalah beliau berusaha membeli motorsikal.

Bagaimanapun, lelaki ini dinasihatkan kita tidak berbelanja besar untuk memiliki kenderaan persendirian kerana ia akan mengalami kemerosotan nilai hanya selepas beberapa tahun. Sebaliknya, berusahalah menabung ke arah memiliki rumah sendiri kerana secara umumnya, nilai hartanah lambat-laun akan pasti meningkat. Malah, dengan memiliki rumah sendiri, kita tidak perlu lagi membayar sewa setiap bulan.

XY : Bagaimana pula seorang bapa yang memiliki tiga anak yang masih bersekolah serta isteri yang tidak bekerja? Apakah keutamaan yang perlu diberi jika lelaki ini berpendapatan RM2,500 sebulan serta perlu melangsai pinjaman kereta dan rumah sebanyak RM1,000 setiap bulan?

Andaikan RM2,500 adalah pendapatan bulanan bawa pulang (monthly take-home pay) bagi lelaki yang sudah berkeluarga ini. Selepas ditolak RM1,000 bagi melunaskan hutang untuk memiliki barang keperluan asas seperti rumah dan kenderaan, beliau hanya ada RM1,500 setiap bulan yang diperuntukkan untuk:

  • makan-minum sekeluarga
  • belanja persekolahan anak-anak termasuklah sebarang yuran, buku teks/latihan, bayaran kenderaan pergi-balik sekolah, wang saku dan sebagainya 

     

  • segala jenis pakaian termasuklah pakaian sekolah dan persatuan beruniform anak-anak, pakaian harian, pakaian untuk musim perayaan dan sebagainya
  • rawatan perubatan
  • sedikit wang simpanan yang boleh digunakan pada waktu kecemasan atau ketika ditimpa kemalangan
  • susu formula, lampin dan sebagainya (jika ada bayi/anak kecil)

    · bayaran gaji bulanan pembantu rumah (jika ada)

    Berbekalkan baki hanya RM1,500 ini setiap bulan, saya rasa agak sukar bagi lelaki berkeluarga ini menampung kesemua perbelanjaan yang disenaraikan. Bagi mengatasi kemelut kesempitan wang ini, terpaksalah beliau meminta jasa baik si isteri untuk memberi sumbangan, itupun jika isteri beliau bekerja.

    Bagaimanapun, sebagai ketua keluarga, perlu diingatkan bahawa adalah menjadi tanggungjawab lelaki ini untuk menyediakan nafkah yang secukupnya bagi seisi keluarga. Untuk tidak membebankan si isteri, mungkin bapa ini perlu membuat dua pekerjaan atau mencari pekerjaan lain yang menawarkan gaji yang lebih tinggi bagi memenuhi tuntutan perbelanjaan.

    Bagaimanapun, sebahagian daripada item yang tersenarai di atas tidak perlu dibeli atau dibelanjakan setiap bulan. Peruntukan yang tidak digunakan boleh terus disimpan sebagai persiapan untuk perbelanjaan di waktu perayaan atau ‘special occasions’.

    Pada pandangan saya, tiada apa yang lebih penting bagi seorang bapa yang mempunyai tiga anak melainkan memberi keutamaan kepada perbelanjaan membesarkan mereka dan menyediakan pendidikan yang sewajarnya.

    Apa yang saya ingin tegaskan adalah mulai hari ini, kita perlu menjadi pengguna yang bijak dengan berjimat-cermat semasa berbelanja dan dalam penggunaan bahan bakar, elektrik, air dan sumber-sumber semulajadi yang lain, mempunyai belanjawan peribadi dan pengurusan kewangan yang tersusun (termasuklah penggunaan kad kredit), memberi pertimbangan yang sewajarnya terhadap jenama generik sebagai alternatif kepada jenama terkenal yang lebih mahal, bercucuk-tanam atau berkebun di rumah (jika keadaan mengizinkan) dan sebagainya.

    XY : Wajarkah seorang lelaki yang terdesak mendapatkan pinjaman peribadi ketika ini? Adakah ini dapat membantu meredakan masalah kewangannya? Apa yang perlu dipertimbangkan jika langkah memohon pinjaman peribadi terpaksa dilakukan?

    Sebelum mendapatkan pinjaman peribadi, saya menggalakkan beliau menghalusi terlebih dulu niat sama ada ia betul-betul diperlukan dan menilai pro dan kontra dengan lebih mendalam. Jika tanpa pinjaman peribadi itu peluangnya untuk memperbaiki taraf hidup terjejas teruk atau ia menjadi persoalan antara hidup atau mati, maka beliau mungkin terpaksa mempertimbangkan pinjaman peribadi sebagai jalan terakhir. Seboleh-bolehnya, saya ingin menyarankan agar beliau meneliti dan mengkaji semua langkah-langkah munasabah yang lain.

    XY : Bagaimana jika meminjam dari along atau ceti?

    Pada pandangan saya, meminjam daripada along atau ceti adalah sesuatu yang wajib dielak dalam apa jua keadaan sekalipun memandangkan risikonya adalah terlalu tinggi.

    XY : Apakah amalan atau hobi yang perlu dikorbankan dalam menyusun semula kewangan? Apakah amalan berkunjung ke cafe berjenama untuk mendapatkan secawan latte berharga lebih RM10 dianggap suatu pembaziran ketika ini?

    Dalam situasi mencabar sebegini, adalah wajar kita mengubah gaya hidup dan minda ke arah perbelanjaan yang lebih sihat dan mapan. Kita tidak dapat menolak hakikat bahawa zaman harga bahan makanan dan petrol yang murah sudah berlalu. Sementara menunggu apakah langkah-langkah kerajaan selanjutnya untuk meringankan beban rakyat, kita sendiri perlu bertindak segera dengan mengambil langkah berjimat-cermat dan mengekang nafsu agar tidak terpengaruh untuk berbelanja untuk sesuatu yang tidak mustahak dan mempunyai unsur pembaziran seperti makan-minum di restoran mahal, membeli barang kemas dan barangan berjenama, melancong ke luar negara dan sebagainya.

    XY : Mana lebih penting, mengisi petrol RM80 atau membeli sepasang kemeja-T berjenama yang diberi potongan diskaun 70 peratus?

    Sudah tentu mengisi tangki minyak kereta adalah lebih penting dan lebih berfaedah terutamanya jika satu-satunya kaedah pengangkutan yang munasabah untuk kita bergerak. Meskipun dengan diskaun sebanyak 70%, ada kemungkinan kemeja T berjenama itu masih mahal. Cuba elakkan pembaziran dengan membeli alternatif yang lebih murah tetapi tidak kurang keselesaannya.

    XY : Mana lebih jimat, pandu kereta ke pejabat atau menaiki pengangkutan awam?

    Secara umumnya, pengangkutan awam adalah lebih menjimatkan dan lebih mesra alam sekitar daripada menggunakan kenderaan persendirian. Namun, selain daripada faktor harga, ia banyak bergantung kepada tahap aksesibiliti, mutu perkhidmatan dan keselesaan sistem pengangkutan awam yang disediakan.

    XY : Apa petua pengurusan kewangan yang bijak? Wajarkah pengguna lelaki terus berbelanja bagi membolehkan ekonomi negara terus berkembang? Atau apakah rakyat kini panik hingga takut berbelanja?

    Pendapat saya, mengawal perbelanjaan ketika kos sara hidup naik secara mendadak adalah suatu tindak balas bijak, rasional dan bukannya disebabkan oleh panik. Ini adalah kerana pendapatan dijangka akan kekal di takuk lama atau hanya naik sedikit dan tidak selari dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan. Jika kita sendiri tidak mengambil tindakan untuk memastikan kelangsungan hidup, siapa lagi yang lebih arif tentang apa yang kita perlukan dan siapa pula yang boleh diharap untuk menjamin kesenangan hidup kita!

  • One thought on “Tanya Pakar: Lelaki dan RM – Tip bijak berbelanja

    Tinggalkan Jawapan

    Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

    WordPress.com Logo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

    Twitter picture

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

    Facebook photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

    Google+ photo

    Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

    Connecting to %s