Kuasa sebagai ujian untuk disyukuri

Bersama Dr Juanda Jaya
juanda@kutpm.edu.my

SETIAP anak yang lahir akan menonjolkan kehebatan pertamanya iaitu tangisan memukau yang mengundang air mata kesyukuran ibu bapanya. Kemudian, timbul pula impian yang bermacam mengenai masa depan anak itu, dia mesti berjaya.

Jika boleh, jadi orang nombor satu di tadika, sekolah, kolej, Malaysia dan seluruh dunia. Akhirnya, menjadi barisan pertama yang masuk ke syurga Firdaus bersama Nabi dan Rasul, syuhada dan salihin.

Adakah impian itu akan menjadi kenyataan? Ramai ibu bapa yang takut bermimpi walaupun hanya sekadar merancang. Yang penting, apabila besar nanti anak itu tidak menyusahkan orang di sekelilingnya. Selamat, sejahtera sebagai Muslim beriman.

Setiap orang dilahirkan sebagai pemimpin. Lelaki dan wanita yang mengaku mukmin wajib menanamkan sifat kepemimpinan dalam diri mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan bertanggungjawab terhadap orang-orang yang dipimpinnya.”

Bahkan seorang wanita di rumah suaminya adalah ketua bagi urusan rumah tangga mereka. Mahu tidak mahu seseorang mesti bertanggungjawab terhadap amanah yang dipikulnya di dunia. Konsep kejayaan bagi pemimpin di dunia beragam mengikut kepercayaan, prinsip hidup dan latar belakang sejarah yang membentuk peribadi masing-masing.

Mungkin kita masih ingat sewaktu pertama kali didedahkan dengan tanggungjawab di sekolah. Memimpin kelas atau menjadi ketua kumpulan dalam projek yang diamanahkan guru. Ada rasa gementar kerana takut, malu dan bangga melalui pengalaman pertama sebagai manusia yang dipilih.

Seiring perjalanan masa yang berlalu dengan pantas, terbentuk jati diri yang dipengaruhi oleh persekitaran. Jiwa kepemimpinan itu lama kelamaan kian bergelora. Hingga Allah kurniakan pelbagai kenikmatan hidup di dunia yang menjadi pertaruhan terbesar dalam sejarah kehidupan kita.

Apa hendak dikata jika sudah menjadi suratan takdir bahawa manusia adalah khalifah di muka bumi. Wakil Allah dalam mentadbir urus dunia sebagai bekalan menuju ke negeri abadi.

Menjadi resam kehidupan seorang pemimpin, dipuji dan dihina, sesekali difitnah, ada kalanya menjadi mangsa dengki dan dendam manusia. Namun, itu semua berbaloi dengan upah yang diperoleh jika dia ikhlas semata-mata kerana Allah.

Ketika dia memberi bantuan kepada yang memerlukan, dia tidak akan meminta balasan kerana yang berhak diminta balasan atas kebaikan kita hanyalah Allah.

Jika orang yang ditolong itu menderhaka kepadanya itu tidak membuatnya berkecil hati kerana dia yakin bahawa orang itu tidak membawa apa-apa makna dalam kepemimpinannya. Hanya Allah boleh menjatuhkan atau meninggikan setiap pemimpin di muka bumi ini.

Al-Imam Ibnu al-Qayyim berkata: “Tahanlah dirimu daripada orang yang pujiannya tidak menambah kebaikan apapun pada dirimu dan orang yang hina tidak menjadikanmu terhina. Suka kepada pujian orang yang pujiannya dapat menjadikanmu mulia dan sukailah orang yang hinaannya menjadikanmu gelisah, semua itu tidak dapat diperoleh kecuali dengan sabar dan keyakinan.”

Firman Allah yang bermaksud: “Dan kami jadikan di antara mereka itu pemimpin yang memberi petunjuk dengan perintah kami ketika mereka sabar dan adalah mereka meyakini ayat kami.” (Surah Al-Sajdah, ayat 24)

Contoh kegelisahan positif seorang pemimpin mukmin ada dalam peribadi Umar bin Abdul Aziz yang memerintah selama 30 bulan saja. Suatu malam, ketika beliau bertugas mencatat dan mengamati perkembangan negara datanglah putera beliau menghadap.

Kemudian beliau bertanya: “Wahai anakku, apakah urusan kamu berhubung dengan hal ehwal umat ini atau hanya urusan keluarga saja? Anaknya berkata dari luar kamar: “Ini urusan keluarga, wahai ayahanda.”

Tiba-tiba lampu pelita yang digunakan dipadam sehingga keduanya bergelap. Umar berkata: “Sesungguhnya minyak lampu ini dibeli daripada harta negara dan hanya boleh dipergunakan untuk urusan negara, adapun kamu datang sebagai seorang anak kepada ayahnya. Maka kita tidak berhak atas lampu ini.”

Begitu halusnya perkiraan seorang pemimpin yang sedar bahawa dirinya adalah wakil Allah dalam mempergunakan harta rakyat. Maka segala tindak-tanduk dihitung sehalus-halusnya untuk membuktikan kepada Allah bahawa dia dapat dipercayai.

Dia yakin tempat teguh pemerintahannya hanya berdiri di atas landasan neraca keadilan. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan Allah meninggikan langit dan dia meletakkan neraca (keadilan). Supaya kamu jangan melampaui batas mengenai neraca itu. Dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.” (Surah al-Rahman, ayat 7-9)

Cita-cita tertinggi seorang pemimpin yang beriman adalah menjadi orang yang dikasihi rakyatnya. Berjaya atau tidak karier kepemimpinan dalam membina umat bukan menjadi kuasa dirinya, semua itu berada dalam kudrat Allah.

Dia hanya menjalankan tugas tetapi yang menentukan berjaya atau tidak adalah Allah. Dia hanya mengharap pahala daripada Allah sehingga tiada rasa putus asa jika ditakdirkan gagal. Usaha mereka yang berada di barisan hadapan berjaya, mereka perlu memiliki sifat dan karakter yang menonjol berbanding dengan yang dipimpin.

Al-Quran ada menyebut beberapa sikap pemimpin yang sempurna yang dijanjikan akan berjaya membawa rakyatnya kepada kemenangan antaranya pemimpin yang memandang kekuasaan itu sebagai suatu ujian yang patut di syukuri.

Sifat berhati-hati dengan kemewahan dunia supaya dunia tidak memperdayakannya. Menerusi firman Allah, kita dapat melihat sejauh mana kerosakan yang ditinggalkan oleh pemimpin dan umatnya yang gila terhadap dunia.

Allah berfirman yang bermaksud: “Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang sudah diberikan kepada mereka, Kami pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang diberikan kepada mereka, Kami seksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. Maka orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akarnya. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.” (Surah Al-Anam, ayat 44-45)

Pemimpin yang memiliki sifat paling depan selayaknya mendapat gelaran al-Sabiqun, iaitu orang yang paling ke hadapan dalam berbuat kebaikan. Jumlahnya hanya sedikit sehingga sahabat Rasulullah SAW berlumba dengan amalan mereka untuk mencapai darjat al-Sabiqun yang berada dekat di sisi Tuhan mereka.

Penulis ialah pendakwah dari Sarawak dan boleh dihubungi melalui juanda@kutpm.edu.my

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s