Bapa tanggung pendidikan anak

Soalan:

SAYA mendapat hak penjagaan ke atas anak perempuan saya semasa bercerai dahulu. Mahkamah juga memerintahkan bekas suami membayar nafkah sebanyak RM250 sebulan. Ketika itu anak saya berumur 12 tahun.

Anak saya kini ditawarkan belajar ke universiti. Saya tidak mampu membiayai yuran pembelajarannya. Saya sudah cuba berbincang dengan bapanya, tetapi dia mengatakan bahawa dia hanya perlu membayar nafkah sehingga anak saya berumur 18 tahun. Selepas itu dia tidak perlu membayar lagi. Adakah ini benar dan apakah yang boleh saya lakukan? Saya tidak mahu anak saya terlepas peluang keemasan ini.

Ami Ahmad, Kuala Lumpur

Jawapan:

Kehidupan seorang anak merupakan haknya yang tidak boleh diganggu atau disekat. Hak ini ditanggung di bahu ibu bapa. Sudah menjadi kewajipan ibu bapa untuk memelihara, menjaga dan membekalkan ilmu kepada anaknya sehingga dia boleh berdikari.

Dalam surah al-Baqarah, ayat 233 (2:233), “Janganlah menjadikan seorang ibu itu menderita kerana anaknya dan (jangan juga menjadikan) seorang bapa itu menderita kerana anaknya; dan waris juga menanggung kewajipan tersebut.”

Sebuah hadis yang dihuraikan oleh Aisyah r.a. menyatakan bahawa Rasulullah telah bersabda: “Hindun pernah bertanya: ‘Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufian (suami Hindun) seorang yang sangat bakhil. Dia tidak pernah memberi belanja kepadaku yang mencukupi diriku dan anakku kecuali apa yang aku ambil dari hartanya itu dan dia tidak mengetahuinya.” Jawab Rasulullah s.a.w, “Ambillah apa yang sekiranya boleh mencukupi dirimu dan anakmu dengan cara yang makruf.” – Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa bapa bertanggungjawab memberi nafkah kepada anaknya.

Menurut seksyen 72 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984, adalah menjadi kewajipan bapa untuk menanggung nafkah anaknya.

Kewajipan ini masih sama jika anak tersebut berada dalam jagaannya atau dalam jagaan orang lain.

Nafkah yang dimaksudkan adalah tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pelajaran dan sebagainya.

Untuk mengupas persoalan jangka masa pemberian nafkah, seksyen 79 Akta menyatakan tempoh masa perintah bagi nafkah anak.

Seksyen tersebut menyatakan bahawa perintah nafkah tamat apabila anak telah mencapai umur 18 tahun.

Bagaimanapun, jika perintah dibuat bagi anak perempuan yang belum berkahwin atau bagi anak yang tidak berupaya menanggung dirinya disebabkan oleh kecacatan otak atau jasmani, maka perintah itu tidak terhenti walaupun anak itu mencapai umur 18 tahun.

Perintah melanjutkan pemberian nafkah juga boleh dilakukan untuk membolehkan anak itu mengikuti pelajaran atau latihan yang lebih tinggi.

Oleh itu, walaupun anak itu sudah mencapai 18 tahun, tetapi seperti dalam kes puan ini, demi melanjutkan pelajaran, bapanya haruslah menanggung perbelanjaan pembelajarannya sehinggalah dia tamat belajar.

Malah, puan juga boleh memohon kepada mahkamah untuk menaikkan jumlah nafkah memandangkan keperluan sudah bertambah.

Menurut seksyen 75 Akta, Mahkamah boleh mengubah perintah nafkah anak jika berpuas hati bahawa sesuatu perubahan penting telah berlaku. Dalam kes puan ini, perubahan penting tentunya keperluan anak yang memasuki universiti lebih banyak berbanding dengan keperluannya semasa di sekolah menengah.

One thought on “Bapa tanggung pendidikan anak

  1. Seorang ayah yang menjaga anak perempuannya dengan baik sehingga anaknya itu dinikahkan, maka Allah swt akan memberikannya ganjaran yang besar di padang mahsyar kelak (al-hadis)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s