Barah Tulang

WALAUPUN tidak berada dalam carta barah, pembunuh utama di kalangan warga Malaysia, barah tulang antara penyakit yang harus diketahui kerana kebiasaannya faktor mencetuskan barah ini berpunca daripada darah yang tercemar.

Jika dilihat secara keseluruhannya, kita memiliki 206 tulang di dalam badan yang memiliki pelbagai fungsi. Pada kebiasaannya barah akan berlaku pada mana-mana bahagian tulang yang sering mengalami pertumbuhan.

Kebanyakan barah tulang sebenarnya bukan barah (benign) tetapi sesetengah memang barah (malignant). Benign tumor biasanya tidak merebak ke bahagian lain dan jarang memerlukan rawatan seumur hidup. Walaupun ia mungkin berulang tetapi boleh dibuang melalui pembedahan.

Pakar bedah ortopedik Hospital Pusrawi, Dr Mohd Ismail Maulut, berkata benign bone biasanya membabitkan benjolan pada tulang yang abnormal dan kebanyakannya tidak memerlukan rawatan jika tidak sakit. Malah kadang kala ia boleh hilang dengan sendirinya.

“Walaupun ia tidak bahaya tetapi masih juga memerlukan rawatan jika sakit kerana ada kes benign berubah menjadi barah. Perlu diingat, kadang kala benign tumor tidak ada gejala dan selalunya ditemui secara kebetulan,” katanya.

Malignant tumor pula yang disifatkan sebagai barah, ia berkemampuan untuk ‘menakluk’ dan memusnahkan tisu yang sihat berdekatannya. Sel barah juga boleh mencemarkan aliran darah hingga menyebabkan barah merebak ke bahagian tubuh yang lain. Keadaan ini dikenali sebagai metastasis.

Kata Dr Ismail, barah yang bermula di dalam tulang dikenali sebagai barah tulang primary. Ia selalunya ditemui di tangan dan kaki tetapi boleh juga terjadi di mana-mana bahagian tulang di badan.

“Kanak-kanak dan golongan remaja cenderung untuk berhadapan dengan masalah ini berbanding golongan dewasa,” katanya.

Barah tulang primary dikenali sebagai sarcomas dan terdapat dalam pelbagai jenis dan terjadi di bahagian tisu tulang yang berlainan. Sarcomas yang biasa menyerang adalah osteosarcoma, Ewing’s sarcoma dan chondrosarcoma.

“Osteosarcoma adalah barah tulang yang biasa menyerang golongan muda belasan tahun dengan golongan lelaki lebih terdedah kepadanya berbanding perempuan. Ia akan terjadi di hujung tulang kerana sebagai orang muda di situlah tisu tulang baru tumbuh,” katanya.

Ewing’s sarcoma pula katanya, biasa terjadi di kalangan mereka berusia antara 10 ke 25 tahun. Ia akan bermula di tengah tulang besar seperti tulang pinggul atau tulang yang panjang di bahagian atas lengan dan paha.

Chondrosarcoma biasa terjadi di kalangan orang dewasa. Barah jenis ini terbentuk di bahagian tisu sekeliling sendi. Di kalangan golongan dewasa juga giant cell tumor mungkin boleh terjadi.

“Sebenarnya kanser yang terjadi di dalam tulang agak jarang berlaku. Ia tidak mudah merebak dari satu bahagian tulang ke bahagian tulang yang lain. Jika keadaan ini berlaku, ia tidak dipanggil barah tulang kerana setiap jenis barah dinamakan mengikut organ atau tisu yang terjejas,” katanya.

Jika sel darah sudah terjejas dengan penyakit barah yang lain ia akan turut menjejaskan tulang dan boleh menyebabkan tulang patah.

“Kita panggil keadaan ini barah tulang secondary. Antara barah yang boleh menjejaskan tulang adalah barah payu dara, paru-paru, prostat, buah pinggang dan tyroid,” katanya.

Secara am kata Dr Ismail, punca barah tulang tidak diketahui tetapi ia mungkin terjadi kerana faktor genetik, radiasi seperti nuklear dan trauma. Tetapi dalam kebanyakan kes, tiada sebab yang spesifik.

“Cumanya apa yang boleh kita katakan pesakit barah tulang meningkat di dalam keluarga tetapi setiap tahun ia hanya membabitkan lima dari sejuta pesakit,” katanya.

FAKTA:

Rawatan

Pembedahan, radioterapi dan atau kimoterapi.

Pesakit selalunya dirujuk kepada doktor yang memiliki kepakaran dalam pelbagai rawatan barah. Ini termasuk pakar bedah tulang dan radiasi oncologist.

Kemungkinan untuk barah terjadi lagi di tempat yang sama masih ada selepas pembedahan. Kerana itu pakar bedah akan membuang barah dan sebahagian tulang yang sihat dan tisu berdekatan tulang yang bermasalah.

Jika barah tulang terjadi di lengan atau kaki, pakar bedah akan hanya membuang barah dan bahagian berdekatan dan mengantikan sendi yang dibuang dengan alatan besi.

Kimoterapi biasanya membunuh sel barah. Ia diambil melalui oral atau suntikan ke otot atau salur darah.

Radioterapi juga memusnahkan sel barah dan menghentikannya dari tumbuh. Dalam sesetengah kes, ia menjadi pilihan berbanding pembedahan.

Gejala

Gejala barah tulang selalunya terbentuk dalam masa yang lama kerana ia bergantung pada jenisnya, bahagian tulang yang terjejas dan saiz barah itu.

Rasa sakit terutama pada waktu malam.

Bengkak pada tulang

Apa yang perlu anda tahu

Barah jarang terjadi di dalam tulang.

Tidak mustahil barah boleh merebak dari tulang ke bahagian lain di dalam badan.

Kesakitan adalah tanda yang kerap dikaitkan dengan barah tulang.

Diagnosis barah tulang selalunya disokong dengan penemuan dari rekod perubatan dan pemeriksaan, darah, ujian x ray dan ujian patologis.

Rawatan barah tulang bergantung pada jenis, lokasi, saiz, usia dan keadaan kesihatan pesakit selain keadaan barah itu.

Oleh Hafizah Iszahanid

One thought on “Barah Tulang

  1. assalamualaikum………

    saya penghidap gout selama lebih kurang 4 tahun.Sejak bulan lepas saya terkena serangan besar yang pertama sejak saya menghidapnya.Lutut saya membengkak dan terdapat 3 bonjolan lembik disekitar lutut saya.Saya telah pun menjalani x ray,ujian darah/air kencing dan menerima rawatan di sebuah klinik pakar dikawasan tempat tinggal saya setelah 3 hari bengkak pada lutut saya mengecut dan beransur baik dan saya boleh berjalan kembali walaupun terhencut-hencut tetapi malangnya disebabkan kekangan tugas saya terpaksa ke klinik kesihatan untuk mendapatkan mc.Di klinik kesihatan saya diberikan suntikan walaupun saya telah maklumkan sekiranya saya menerima suntikan saya akan merasa sakit di bahagaian tulang punggung bahagian kiri dan menyebabkan kaki kiri saya amat sakit untk bergerak.Ia akan memakan 3 hari baru saya akan hilang rasa sakit itu. tetapi untuk dapatkan mc saya terpaksa disuntik.Saya ingin bertanya pendapat doktor, ada yang memberitahu bahawa saya bukan mengidap gout sahaja tetapi barah tulang.Air kencing saya juga turut bercampur cairan darah. Saya takut untuk ke hospital.Bolehkan doktor memberikan saya panduan???

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s