Bulan Penuh Keberkatan

Oleh Idris Musa

AYAT 185 surah al-Baqarah bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

“Oleh itu sesiapa daripada antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya) maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari yang lain.

“(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah Taala kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur.”

Ayat itu sangat sesuai untuk diamati menjelang Ramadan ini. Suka atau tidak, bagi orang Islam yang mencukupi syarat berkewajipan mengerjakan puasa selama sebulan pada Ramadan ini, kecuali menghadapi keuzuran yang dimaafkan syarak.

Puasa bagi umat Islam ialah menahan diri daripada makan, minum dan melakukan persetubuhan mulai terbit fajar hingga terbenam, termasuk memelihara adab dan perkara yang membatalkannya dengan niat kerana Allah.

Ada sesetengah pihak mengatakan niat berpuasa boleh dilakukan pada awal Ramadan, manakala yang lain berpendapat puasa perlu diniatkan setiap malam. Menghormati kedua-dua pendapat itu, eloklah berniat pada awal bulan dan setiap malam.

Niat pada awal Ramadan seperti: “Aku berpuasa Ramadan keseluruhannya”, disusuli niat pada setiap malam Ramadan: “Aku berpuasa hari esok bagi menunaikan fardu bulan Ramadan tahun ini kerana Allah.”

Sebelum itu, dianjurkan kita bersahur, iaitu pada waktu sebelum terbit fajar. Amalan ini menjadi sunnah Rasulullah s.a.w dan ia mempunyai banyak keberkatan, malah membantu diri kita daripada terlalu letih pada waktu siang.

Berpuasa, perlu menjaga adabnya seperti menjauhkan diri daripada mengumpat, mencela, maki hamun dan perkara keji, mengurangkan tidur, memelihara hati daripada perkara kotor dan menanamkan rasa penuh harapan terhadap segala amal ibadat semoga diberikan ganjaran.

Ramadan tidak terhenti padanya untuk mengerjakan puasa saja, malah perlu dihiasi dengan amal ibadat yang lain supaya bulan penuh keberkatan ini dapat memberikan sebenar-benar manfaat kepada diri kita, terutama mempertingkatkan keimanan kepada Allah.

Memang Ramadan sungguh berkat, rahmat Allah terbentang luas, pintu langit dibuka, manakala syaitan dirantaikan dan pintu neraka ditutup, malah ahli neraka juga dibebaskan, seperti yang dapat disingkap dalam hadis Rasulullah.

“Apabila masuk bulan Ramadan dibukakanlah pintu langit dan ditutupkan pintu neraka dan diikatkan semua syaitan.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

“Pada malam pertama bulan Ramadan diikat semua syaitan dan jin dan ditutuplah semua pintu neraka dan tidak dibuka satu pintu pun daripadanya. Dan dibukakanlah pintu syurga dan tidaklah ditutup satu pun daripadanya.

“Maka berserulah penyeru; wahai orang yang melakukan kebaikan hampirlah kamu, wahai orang yang melakukan kejahatan undurlah kamu. Dan bagi Allah, ahli neraka dibebaskan dan demikian itu berlaku pada setiap malam (Ramadan).” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah)

Dalam Ramadan juga terkandung satu malam – Lailatul Qadr – malam yang paling berkat dan sangat afdal untuk beramal seperti ditegaskan dalam surah al-Qadr, Allah menjanjikan mereka yang beramal diberi ganjaran pahala seperti amal ibadat 1,000 bulan atau 83 tahun.

Ayat 3 hingga 5 surah al-Qadr bermaksud: “Malam al-Qadr lebih baik daripada 1,000 bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat itu) hingga terbit fajar.”

Disebut dalam hadis sahih, Rasulullah s.a.w biasanya mulai dari malam 21 Ramadan, baginda memperbanyakkan ibadat sepanjang malam kerana mengharapkan amalannya bertepatan dengan malam al-Qadr yang berkat itu, berlaku pada satu dari 10 atau sembilan malam terakhir Ramadan.

Sesetengah ulama menyatakan, Lailatul Qadr itu pada satu malam yang ganjil dari 10 malam terakhir, bagaimana tiada sesiapa yang mengetahuinya secara tepat, kecuali Allah. Cuma tandanya diterangkan malam itu suasananya tenang, begitu juga keesokannya tenang dan tidak terlalu panas.

Dalam Sahih Muslim dinyatakan pada malam al-Qadr, 70,000 malaikat turun dari Sidratul Muntaha ke bumi. Mereka membawa rahmat Allah memasuki rumah dan memberi salam pada orang Islam, kecuali rumah orang yang ada anjing.

Apabila matahari naik esoknya, malaikat itu naik semula ke langit dengan serentak. Sayapnya melindungi cahaya matahari menyebabkan suasana di bumi dingin dan tenang. Justeru, rebutlah peluang Ramadan ini untuk mendapat Lailatul Qadr.

Selepas mengetahui keberkatan yang begitu banyak, adakah kita mahu berdiam diri saja atau berpeluk tubuh melepaskannya berlalu begitu saja? Mengapa tidak berlumba-lumba beribadat, menerokai rahsia pada bulan yang datang setahun sekali itu?

Umumnya ibadat boleh ditakrifkan dalam pelbagai bentuk selagi tidak terkeluar dalam ruang lingkup syariat Islam, cuma yang khusus seperti solat Tarawih, solat sunat Witir, solat sunat yang lain, membaca al-Quran, berzikir dan beriktikaf.

Membaca al-Quran sehingga khatam pada Ramadan sangat digalakkan, sesuai dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Cuma membacanya, perlulah secara bertajwid (tartil) dan jika tidak pandai, bertanyalah guru yang berkelayakan.

Kemudian, sertailah majlis imarah Ramadan melalui solat sunat Tarawih, yang dilakukan dari malam pertama Ramadan hingga akhirnya secara berjemaah di masjid dan surau, tetapi jika tidak berkesempatan, boleh juga melakukan solat sunat Tarawih dengan bersendirian.

Solat sunat Tarawih ialah solat dengan rasa penuh kesenangan dan kelapangan hati selepas solat fardu Isyak dengan tujuannya memberikan motivasi kepada umat Islam supaya gemar mengisi waktu terluang dalam bulan Ramadan dengan ibadat sunat.

Abu Hurairah meriwayatkan hadis dari Rasulullah s.a.w: “Sesiapa mengerjakan qiyam Ramadan (solat Tarawih) dengan penuh keimanan dan ikhlas mengharap ganjaran demi Allah, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang lalu.”

Lafat niat Tarawih secara berseorangan: “Aku solat sunat Tarawih dua rakaat kerana Allah.”

Jika menjadi imam: “Aku solat sunat Tarawih dua rakaat sebagai imam kerana Allah Taala.”

Sebagai makmum: “Aku solat sunat Tarawih dua rakaat sebagai makmum kerana Allah Taala.”

Justeru, apabila masing-masing sudah tahu serba sedikit cara dan pengisian Ramadan, marilah sama-sama dengan dada yang lapang melangkah masuk ke dalam bulan Allah penuh berkat ini. Mudah-mudahan amalan kita kali ini mendapat tempat di sisi Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s