Keutamaan Ibadah Puasa

Oleh: MOHD YAAKUB MOHD YUNUS

Kehadiran Ramadan merupakan satu rahmat dari Allah s.w.t. Ia merupakan bulan di mana Allah melimpahkan pelbagai ganjaran pahala kepada hamba-hamba-Nya.

Maka tidak hairanlah golongan yang beriman serta bertakwa sentiasa menantikan kehadiran bulan Ramadan dan menyambut kedatangannya dengan penuh rasa kegembiraan serta sedih apabila berakhirnya bulan yang penuh berkat ini.

Pada bulan inilah juga disyariatkan ibadah puasa yang mana ia tergolong di dalam rukun Islam yang lima. Firman Allah: Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran. (al-Baqarah: 185)

Ibadah puasa merupakan satu medan yang sangat baik untuk membentuk keperibadian diri cemerlang baik dari segi kerohanian dan juga aspek-aspek kesihatan fizikal. Keagungan ibadah puasa ini dapat kita perhatikan dengan lebih nyata setelah kita menelusuri fadilat-fadilat disyariatkan ibadah yang mulia ini sebagaimana yang telah tercantum di dalam al-Quran serta hadis-hadis Nabi s.a.w yang sahih seperti berikut:

a) Membentuk insan bertakwa

Puasa adalah satu bentuk amal ibadah yang berupaya membentuk jiwa seorang insan yang bertakwa. Ini sebagaimana firman Allah: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)

Makna takwa secara mudah adalah mengerjakan perintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya. Hal ini dapat direalisasikan melalui ibadah yang mulia ini kerana dengan berpuasa kita sebenarnya bukan hanya meninggalkan makanan serta minuman, tetapi berpuasa dalam erti kata yang sebenar adalah dengan mengerjakan segala kewajipan dan meninggalkan segala larangan seperti mengumpat, berbohong, tidak melaga-lagakan sesama umat, tidak berniaga secara haram atau menjual barang yang haram dan lain-lain lagi.

b) Tergolong dalam kalangan siddiqin dan syuhada

Orang yang berpuasa juga dianugerahkan kedudukan yang tinggi di sisi Allah yang mana mereka tergolong di kalangan para Siddiqin (orang yang benar) dan Syuhada (golongan yang mati syahid). Diriwayatkan daripada Amr bin Murrah al-Juhani r.a, Datang seorang lelaki kepada Nabi s.a.w lalu dia berkata: “Ya Rasulullah! Apa pendapatmu jika aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah, engkau adalah Rasulullah, aku solat lima waktu, aku tunaikan zakat, aku berpuasa Ramadan dan solat tarawih di malam harinya, termasuk golongan manakah aku?” Baginda menjawab: “Golongan shiddiqin dan syuhada.” – Hadis riwayat Imam Ibnu Hibban, hadis no: 3507.

c) Melindungi daripada azab Allah

Puasa merupakan perisai yang dapat menghalang kita dari azab api neraka. Menurut Ibnu al-Arabi rahimahullah, puasa dikatakan sebagai perisai dari api neraka kerana puasa itu dapat menahan diri dari syahwat (dorongan untuk melakukan perbuatan yang mungkar yang disebabkan oleh hawa nafsu), sedangkan neraka dikelilingi oleh syahwat. Apabila seseorang mampu menahan diri dari syahwat ketika kehidupan di dunia, maka hal itu menjadi penghalang (perisai) baginya di neraka kelak. – Al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 11, ms. 9.

Rasulullah bersabda: Puasa adalah perisai, maka seseorang janganlah mengerjakan rafats (perkataan yang keji) dan jangan berbuat jahil dan jika seseorang itu diperangi atau dicaci-maki, maka hendaklah dia mengatakan: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa” (Nabi menyebutnya dua kali). (Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no: 1894).

d) Penebus dosa

Ibadah puasa itu dapat menghapuskan dosa-dosa kita yang lalu. Tambahan pula bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh keberkatan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu rahmat Ilahi menaungi seluruh hamba-Nya yang beriman, maka tidak hairanlah sekiranya Allah s.w.t akan meluaskan pula pengampunan-Nya terhadap hamba-hamba-Nya.

Rasulullah bersabda: Solat yang lima, Jumaat ke Jumaat, Ramadan ke Ramadan adalah penghapus dosa-dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika menjauhi dosa-dosa besar. (Riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, Kitab al-Thaharah, hadis no: 233).

e) Ganjaran pahala yang besar

Allah menjanjikan ganjaran pahala yang amat besar bagi hamba-Nya yang berpuasa ikhlas untuk mencapai keredaan-Nya. Berbeza dengan ibadah lain yang telah ditetapkan ganjaran pahalanya dalam gandaan 10 sehingga 700 kali, ganjaran pahala untuk ibadah puasa ini ditetapkan oleh Allah s.w.t sendiri tanpa batasan.

Setiap amal kebaikan Bani Adam (ditulis oleh malaikat) pahalanya, kecuali orang yang berpuasa sesungguhnya ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang memberi pahala puasanya. – (Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Libas, hadis no: 5927).

Ternyata ganjaran pahala Allah kepada hamba-Nya yang mengerjakan ibadah puasa tiada tolok bandingannya. Oleh itu, kerjakanlah ia dengan penuh keikhlasan dan kesempurnaan. Semoga kita mencapai ganjaran yang semaksimum mungkin melaluinya.

f) Ibadat yang agung

Kita dapat melihat keagungan ibadah puasa ini dengan lebih jelas apabila Allah secara spesifik menyatakan bahawa “Puasa adalah untuk-Ku” dalam beberapa hadis yang telah penulis turunkan di atas.

Kenyataan tersebut menggambarkan seolah-olah ibadah puasa ini melebihi ibadah-ibadah yang lain sedangkan semua ibadah-ibadah yang lain itu juga sebenarnya adalah untuk Allah s.w.t., namun Allah tetap menyatakan “Puasa adalah untuk-Ku”.

Terdapat pelbagai tafsiran ulama terhadap maksud sebenar kenyataan tersebut. Antaranya:

* Ibadah puasa ini dianggap sebagai khas untuk Allah kerana ia bebas dari unsur riak. Ini kerana pelaksanaannya tidak nampak secara terang-terangan oleh manusia yang lain.

* Orang yang sedang berpuasa dan orang yang tidak berpuasa kelihatan sama sahaja dari segi luarannya. Berbeza dengan ibadah seperti solat, membaca al-Quran, berzikir atau bersedekah yang perlaksanaanya dapat dilihat secara terbuka dan membuka ruang untuk timbul perasaan riak.

g) Beroleh kegembiraan

Rasulullah bersabda: Orang yang berpuasa memiliki dua kegembiraan yang dia bergembira dengannya; iaitu apabila berbuka dia bergembira, apabila bertemu Tuhannya dia bergembira dengan puasanya. (Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no: 1904).

Kegembiraan pertama dapat dikecapi oleh mereka yang berpuasa ketika waktu berbuka. Ini disebabkan lapar dan dahaganya kerana berpuasa sepanjang hari telah hilang dan timbul juga kegirangan kerana dapat menyempurnakan ibadah tersebut.

Kegembiraan kedua pula muncul ketika seseorang yang menyempurnakan ibadah puasanya berjumpa dengan Allah di akhirat kelak dan menyedari keluasan pahala yang dianugerahkan kepadanya.

h) Pintu khas di syurga

Di dalam syurga terdapat sebuah pintu bernama Al-Rayyan yang dikhususkan kepada kepada orang-orang yang berpuasa. Al-Rayyan berasal dari kata dasar al-Rayy yang bermakna melepaskan dahaga dan ia sesuai dengan keadaan orang yang berpuasa yang dahagakan air. Tentang kewujudan al-Rayyan ini Rasulullah bersabda: Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa masuk melalui pintu itu pada hari kiamat, tidak ada seseorang pun masuk melalui pintu ini kecuali mereka (iaitu orang yang berpuasa). Dikatakan: “Mana orang-orang yang berpuasa?” Maka mereka berdiri. Tidak ada seorangpun yang masuk melewati pintu ini selain mereka. Apabila mereka telah masuk maka pintu ini ditutup dan tidak ada seseorang pun yang masuk lagi melaluinya. (Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no: 1896).

Dari sini dapat kita fahami bahawa ibadah puasa itu berupaya memudahkan seseorang itu masuk ke syurga. Semoga kita semua termasuk di dalam golongan yang berjaya memasuki syurga melalui pintu al-Rayyan ini.

i) Bau mulut lebih harum dari kasturi

Apabila seseorang itu berpuasa, mulutnya akan mengeluarkan bau yang kurang enak. Namun begitu di sisi Allah, bau mulut orang yang berpuasa itu adalah lebih baik dari aroma minyak kasturi.

Rasulullah s.a.w bersabda: Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah daripada aroma minyak kasturi. (Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no: 1894).

Ini sebagai menunjukkan Allah memuliakan dan mencintai hamba-Nya yang melaksanakan ibadah puasa.

j) Mengekang hawa nafsu

Ibadah puasa juga membolehkan kita mengawal nafsu syahwat. Sabda Nabi: Sesiapa di antara kamu yang sanggup memikul tanggungjawab, maka hendaklah dia berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan. Sesiapa yang tidak mampu hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menjadi penawar atau penekan nafsu syahwat baginya. (Riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, Kitab al-Shaum, hadis no: 1905).

Demikianlah beberapa keutamaan ibadah puasa di sisi syarak. Semoga dengan memahami keutamaan-keutamaan tersebut ia berjaya menimbulkan satu keghairahan di dalam jiwa kita semua untuk menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak serta mengerjakan ibadah puasa dengan sempurna

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s