Guna akal fikiran untuk elak kesesatan

MANUSIA dikatakan berbeza daripada haiwan kerana manusia ada akal, manakala haiwan tidak berakal. Oleh itu, manusia dapat memikir dan mampu membuat pilihan serta menangani pelbagai dugaan dan cabaran.

Dengan adanya ilmu pengetahuan, pengalaman dan pemikiran rasional serta logik, manusia harus dapat membina tamadun yang sepatutnya gilang gemilang.

Matlamat tamadun yang unggul adalah untuk kesejahteraan semua manusia.

Namun dalam dunia sekarang ini yang ada hampir enam bilion manusia, boleh dikatakan separuh daripadanya sengsara.

Di manakah salah dan silapnya pemikiran manusia hingga begitu ramai menderita?

Adakah penduduk dunia makin hilang daya pemikiran atau atas sebab kepentingan diri, ramai tidak hirau kepada keperluan orang lain?

Jika kita lihat di negara kita, ada juga golongan yang menderita. Ada kalanya penderitaan dialami disebabkan perihal permasalahan sosio-ekonomi dan ada kalanya kesengsaraan dihadapi berpunca akibat pemikiran menyeleweng hingga membawa padah kepada diri sendiri.

Dalam huraian kali ini akan dibicarakan perihal golongan yang tidak arif dengan keadaan sekeliling dan tidak menggunakan anugerah kewarasan daripada Allah untuk kebahagiaan hidup. Oleh itu, mereka terjebak dengan tipu helah hingga hidup melarat dan sengsara.

Dalam situasi masa kini, kita tidak boleh nafikan ada golongan sentiasa menunggu peluang untuk mengeksploitasi kelemahan orang lain.

Mereka hanya menanti peluang baik untuk mengorak langkah dan memperdayakan mangsa.

Golongan ini tidak kisah dengan kesusahan orang lain, yang penting ialah keuntungan dirinya.

Tidak kira sama ada apa dilakukan halal atau haram, yang penting ialah kesenangan yang dia ingin dapati.

Kerumitan emosi dan kekeliruan pemikiran mangsa adalah tidak penting dan tidak bermakna padanya.

Oleh itu, amalan utama yang perlu diambil kira ialah cara seseorang memikir sesuatu perkara.

Semua kegiatan dikatakan bermula daripada niat, justeru sebelum seseorang membuat kata putus, adalah mustahak dia memikir semasak-masaknya terlebih dulu. Kata orang, menyesal dulu lebih berguna daripada menyesal kemudian.

Ada baiknya dia mendapat pandangan orang yang bertanggungjawab terlebih dulu sebelum menyerah diri bulat-bulat kepada orang yang dia tidak tahu latar belakangnya.

Banyak kes berlaku di mana orang yang mengaku dirinya utusan tertentu untuk menyelamat orang lain lazimnya ada rekod jenayah.

Namun dengan sikap lemah lembut dan pujuk rayu, ramai menjadi mangsa penjenayah seperti ini.

Oleh itu, perkara pertama dalam mengelak terjebak pada kesesatan ialah menggunakan akal fikiran secara rasional dan logik.

Buat dulu kajian mengenai latar belakang mana-mana kumpulan, guna ilmu pengetahuan yang ada untuk menilai sedalam-dalamnya kumpulan berkenaan.

Tanya diri sendiri mengenai kesahihan kumpulan berkenaan, jika ada perasaan was-was, baik jauhkan diri daripada terjerumus ke lembah kemusnahan.

Perkara kedua ialah menggunakan fikiran untuk melakukan sesuatu yang baik dan lebih baik. Jangan berundur ke belakang hingga semua kejayaan yang pernah dicapai musnah.

Memperbaiki diri

Sesungguhnya semua perilaku perlu menjurus kepada memperbaiki diri dan membantu orang lain bersama-sama mengecapi kejayaan, bukan membabitkan diri dengan kerja yang boleh meruntuhkan perkembangan diri atau memusnahkan masa depan orang lain.

Perkara ketiga mengenai pemikiran waras ialah keupayaan mengenal pasti sejauh mana seseorang perlu taat kepada orang lain.

Semua orang ada hak dan keperluan tersendiri, justeru dia layak membuat pilihan sendiri tanpa dipaksa orang lain.

Ini bermaksud sikap tegas sangat penting. Setiap orang ada pendirian tersendiri, asalkan ia tidak bercanggah dengan peraturan agama dan undang-undang negara.

Oleh itu, setiap orang tidak perlu taksub kepada mana-mana pihak hingga menjadi seperti hamba yang boleh dimanipulasi setiap masa.

Sikap ketaksuban boleh membawa padah apabila orang berkenaan mula ikut semua arahan tanpa memikir panjang risiko di sebalik setiap pilihan dan amalan.

Perkara keempat yang berkaitan dengan amalan pemikiran rasional ialah elak melakukan sesuatu mengikut hawa nafsu. Ini bermaksud kita perlu mahir mengawal diri supaya tidak terjebak dengan perilaku tidak diingini.

Jika inginkan sesuatu tetapi tidak mampu mendapatinya, kita perlu bersabar dan berusaha ke arah mencapai perkara itu sedikit demi sedikit.

Sekurang-kurangnya kita ada matlamat dan destinasi, oleh itu kita mampu merancang dan berusaha demi mencapai cita-cita. Kita tidak perlu melakukan sesuatu yang drastik dan melampau hingga melanggar undang-undang demi memuaskan nafsu kerana akibatnya sangat merugikan.

Perkara kelima ialah mengelak sikap sombong dan bongkak. Pemikiran positif dan kreatif bertujuan membuat kita lebih inovatif.

Oleh itu, kita mampu mencari jalan penyelesaian kepada pelbagai cabaran dan dugaan hidup.

Sikap ingin tahu dan ingin belajar daripada pengalaman orang yang berjaya akan membuka minda seseorang. Begitu juga keupayaan dan kemahiran menghindarkan diri daripada mengulang kesalahan dan kelemahan orang lain.

Ini bermaksud, untuk berjaya kita perlu mahir memerhati perilaku dan mendengar pandangan serta buah fikiran orang lain. Yang kita nampak dan kita dengar menjadi sumber pengetahuan, oleh itu bagaimana kita membuat tafsiran akan mempengaruhi cara hidup kita.

Justeru, persepsi seseorang penting bagi menentukan pilihan yang akan dibuat. Banyak faktor boleh mempengaruhi persepsi seseorang, termasuk kepercayaan masing-masing, status sosio-ekonomi, budaya, sistem nilai, tahap moral dan etika yang diamali.

Yang dihuraikan ialah ciri-ciri kewarasan pemikiran supaya seseorang boleh mengelak terjebak dengan perilaku sesat dan menyesatkan.

Antaranya ialah pentingnya ada ilmu pengetahuan mantap, perlu ada sikap untuk terus meningkat perkembangan diri, elak menjadi terlalu taksub, jauhi pengaruh hawa nafsu dan jangan riak dan bongkak kerana ia tidak memberi manfaat dalam usaha menimba ilmu pengetahuan.

Moga-moga kita diberi restu untuk menjadi insan kreatif dan inovatif.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s