Minda Positif

KITA semua maklum, perbezaan di antara manusia dengan haiwan ialah, manusia ada akal dan boleh berfikir, manakala haiwan dikatakan tidak berakal walaupun mempunyai otak.

Berakal boleh dimaksudkan mempunyai minda. Oleh itu, seseorang individu mampu menilai dan membezakan antara yang baik dan buruk.

Mereka yang berakal sentiasa berazam memperbaiki diri, di mana hidup diisi dengan pedoman dan kesejahteraan.

Mereka yang tidak menggunakan akal dianugerah Allah untuk membina hidup sejati pula akan sentiasa dilanda pelbagai kesukaran dan permasalahan.

Sebab itu ada ayat dalam al-Quran menyebut, wujud golongan manusia yang menzalimi diri sendiri.

Ini menunjukkan mereka tidak menggunakan akal dan minda yang dianugerahkan untuk menuju jalan benar, sejahtera dan bahagia.

Menjadi kelaziman manusia apabila hendak sesuatu perkara, dia ingin perkara itu dalam keadaan terbaik.

Begitu juga dengan hidup di dunia, semua orang yang berminda sihat mahukan hidup serba senang dan selesa.

Kepada yang arif mengenai kebaikan kualiti hidup dihajati, mereka tidak juga lupa kebaikan yang sedang dan akan dinikmati di dunia. Kalau boleh, mereka ingin juga keadaan sama diperoleh di akhirat.

Oleh itu, selain memiliki minda positif dan disusuli amalan sewajarnya, mereka sentiasa memohon dan meminta restu serta keredaan Allah supaya segala amalan mereka diberkati dan dirahmati.

Individu yang menggunakan minda dan akal untuk menikmati kebahagiaan sentiasa berkata-kata kepada diri dengan penuh yakin bahawa mereka pasti berjaya, sentiasa mengiyakan bahawa pendirian mereka benar, rasional dan realistik.

Mereka boleh dikatakan dipengaruhi bisikan kalbu atau gerak hati untuk terus berjuang bagi mengecapi kecemerlangan.

Pemikiran positif seperti disebut di atas terbukti akan mempengaruhi emosi dan tingkah laku yang terbaik. Oleh itu, segala impian dihajati pasti menjadi nyata jika diizinkan Yang Maha Berkuasa.

Fikiran kusut

Bagaimana pula mereka yang menghadapi pelbagai kesulitan hidup hari demi hari. Segala sesuatu dibuat tidak menjadi dan berhasil. Pemikiran bertambah kusut, emosi tidak tenang dan perilaku mencurigakan.

Mungkinkah mereka tidak menggunakan akal fikiran dan minda dengan betul?

Kajian dalam bidang perubatan psikologi menunjukkan jika seseorang bertekad bahawa dia akan berjaya, mampu mengatasi rintangan dihadapi serta boleh menyelesaikan permasalahan dialami, dia pasti berjaya berbuat demikian.

Dalam hal ini, perkara pokok adalah sejauh mana individu itu dapat meyakinkan mindanya bahawa dia boleh berjaya, sedalam mana dia mampu mengiyakan apa dilakukan adalah amalan murni dan bagaimana bisikan kalbu serta gerak hatinya memberi rangsangan untuk meneruskan cita-cita dan rancangannya.

Dalam konteks minda yang diperkatakan di sini, ia perkara abstrak dan subjektif.

Bagi memudahkan penjelasan mengenai fungsi dan daya minda seseorang, boleh diperkatakan minda dibahagi kepada dua aspek, iaitu sedar dan separuh sedar.

Minda sedar berkaitan dengan apa kita semua fikir, rasa dan lakukan setiap hari. Oleh itu kita sedar apa kita buat dan amalkan, kita tahu hasil susulan perbuatan itu dan kita bertanggungjawab ke atas semua aktiviti dilakukan.

Fungsi minda sedar ini dipengaruhi keadaan sekeliling dan segala yang kita lihat, dengar dan rasa. Ia mempengaruhi minda sedar, sekali gus menentukan hala tuju kegiatan kita.

Manakala minda separuh sedar, seperti makna istilah digunakan, ia bermaksud secara tidak langsung, apa-apa yang difikirkan, perkara dihajati dan impian boleh mempengaruhi masa depan kita.

Oleh itu, nasihat yang sering dikemukakan ialah kita selalu diingat supaya memikir perkara positif, membina dan yang memberi faedah. Apabila berbuat demikian, kita merangsang minda separuh sedar kita untuk berusaha mencari jalan penyelesaian kepada cabaran dan dugaan dihadapi.

Dalam konteks mekanisme, fungsi minda separuh sedar dikatakan paling baik untuk merangsangnya adalah apabila kita berasa tenang dan selesa seperti ketika hendak mula tidur.

Dalam keadaan ini, minda tidak dihujani 1,001 macam stimulus (rangsangan). Oleh itu, minda lebih fokus dan mampu mencari jawapan kepada cabaran dan dugaan dihadapi.

Walau apa pun hajat dan harapan kita, perkara yang penting difahami adalah biar sesuatu kerja dan tugas yang dibuat dilaksanakan dengan sempurna kerana memang kita betul-betul berminat membuat kerja itu.

Ini diikuti perasaan untuk menjalankan tugas itu sebaik mungkin supaya kita menjadi mahir menjalankannya dan boleh berasa bangga serta berpuas hati dengan kejayaan kita.

Susulan itu, kita mampu membantu orang lain mengendalikan urusan dan kerja mereka kerana sikap membantu orang lain untuk turut berjaya bersama mencerminkan sifat peribadi mulia dan dihormati.

Justeru, untuk mengecapi kejayaan dan kesejahteraan, kita harus fokuskan minda kita terhadap perkara positif dan membina. Sekali gus, usaha seperti ini akan menyematkan pemikiran membina dalam minda kita.

Jika berlaku sebaliknya, di mana kita sentiasa memikir yang negatif dan risau dengan pelbagai dugaan dan cabaran, secara tidak langsung kita terbawa-bawa dengan pemikiran negatif itu dan akhirnya kita rugi.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s