Khasiat Pemakanan Penting Bagi Tulang

Oleh DR. ZAITUN YASSIN

KESIHATAN tulang adalah salah satu daripada elemen penting untuk kesejahteraan hidup. Tanpa sokongan dan perlindungan daripada tulang, kita tidak mungkin dapat melakukan aktiviti-aktiviti fizikal walaupun aktiviti yang paling mudah.

Kita hanya mempunyai satu set tulang untuk digunakan seumur hidup. Oleh sebab itu, kesihatan tulang yang baik adalah kunci kepada kehidupan yang sihat dan aktif.

Kita perlu memberi perhatian untuk memastikan tulang-tulang kita mendapat khasiat pemakanan yang betul agar kita dapat terus melakukan aktiviti-aktiviti yang kita gemari.

Tulang merupakan tisu yang hidup

Tulang merupakan struktur yang kompleks dan dibahagikan kepada dua kategori utama; kortikal dan trabekular.

Kortikal atau tulang-tulang padat membentuk lapisan luar tulang dan membentuk sebahagian besar rangka manusia. Trabekular membentuk bahagian dalam tulang dan mempunyai struktur ala jaringan atau seperti struktur sarang lebah.

Kedua-dua tulang kortikal dan trabekular ini mengandungi sel-sel hidup yang terkandung di dalam satu matriks organik yang terdiri daripada serat-serat protein.

Bahan mineral seperti kalsium dan fosforus diendap ke dalam matriks tulang. Selain itu, nutrien-nutrien lain juga penting bagi metabolisme tulang yang normal termasuklah vitamin D, vitamin K, magnesium dan zink. Bekalan nutrien-nutrien ini adalah bergantung kepada pengambilan diet harian kita.

Oleh sebab tulang merupakan tisu yang hidup, maka khasiat pemakanan yang tepat adalah penting untuk tulang.

Seperti hidupan lain, rangka manusia sentiasa diperbaharui dengan sendirinya, melalui kitaran penguraian dan pembentukan yang dikenali sebagai proses pembentukan semula tulang.

Keberkesanan proses semula jadi ini adalah bergantung kepada pemakanan yang kita bekalkan kepada tubuh kita.

Proses pembentukan semula

Proses pembentukan semula adalah suatu fungsi biologikal asas yang direka bagi memastikan kemandirian tubuh kita.

Pada satu masa tertentu, sel-sel yang terlibat dalam proses pembentukan semula tulang akan menguraikan dan membentuk tulang di berjuta lokasi yang merangkumi keseluruhan rangka dan juga matriks tulang.

Sel-sel osteoblast dan osteoclast memainkan peranan utama di dalam proses ini. Sel osteoclast bertanggungjawab menguraikan struktur tulang dan melepaskan komponen tulang ini ke dalam aliran darah.

Aktiviti penyerapan ini meninggalkan lekuk cekung halus di dalam tulang dikenali sebagai lekuk penguraian. Lekuk-lekuk ini kemudiannya akan dilapisi oleh sel osteoblast, yang secara lazimnya membina semula tulang yang telah diuraikan.

Sel osteoblast ini pada mulanya akan membentuk lapisan matriks protein dan ia kemudiannya akan menghasilkan bahan-bahan yang akan mengakibatkan pengendapan mineral-mineral tulang ke dalam matriks protein.

Proses pembentukan semula tulang

Proses penguraian dan pembentukan inilah yang menyembuhkan bahagian permukaan tulang yang haus dan rosak serta mengekalkan kekuatan tulang dan pergerakannya setiap hari.

Oleh itu, kita perlu memastikan bahawa kitaran pembentukan semula tulang ini dipenuhi dengan khasiat pemakanan yang optimum.

Ini adalah satu langkah yang penting bagi memastikan bahawa seseorang itu berupaya menikmati kesihatan tulang yang baik dan gaya hidup yang aktif.

Tanpa nutrien, vitamin dan mineral yang tepat sebagai blok-blok binaan, proses pembentukan semula ini akan terganggu dan mengakibatkan tulang-tulang menjadi lemah dan rapuh.

Tiada siapa yang terkecuali daripada risiko tulang yang tidak sihat. Oleh itu, tulang kita perlu dijaga dengan baik sejak zaman kanak-kanak dan remaja.

Membekalkan pemakanan untuk tulang anda

Seseorang itu akan mengalami satu tahap pertumbuhan tulang yang pesat, di mana tulang-tulang akan menjadi lebih besar, berat dan padat.

Apabila seseorang itu mencecah pertengahan usia 20-an, dia akan mencapai satu titik ketumpatan dan kekuatan maksimum tulang yang dipanggil `puncak jisim tulang’.

Ketika zaman kanak-kanak dan remajalah keperluan bagi pemakanan tulang yang secukupnya adalah amat penting.

Kita perlu memastikan bahawa tubuh kita menerima bekalan vitamin, mineral dan nutrien yang optimum bagi melengkapkan proses pembentukan semula tulang untuk mendapatkan jisim tulang yang maksimum.

Sebahagian daripada nutrien-nutrien penting yang diperlukan untuk tulang yang sihat adalah protein, magnesium, zink, fosforus dan vitamin C.

Walau bagaimanapun, terdapat tiga nutrien yang memainkan peranan tersendiri dan juga berfungsi secara sinergi dalam mengoptimumkan kesihatan tulang.

Kalsium

Kalsium adalah salah satu mineral utama dalam pembentukan tulang yang diperlukan oleh tubuh dan kepentingan mineral ini merupakan asas yang telah lama bertapak dalam sains pemakanan untuk tulang.

Penyelidikan telah membuktikan hubungan di antara pengambilan kalsium yang mencukupi dengan puncak jisim tulang yang optimum di awal kehidupan dan pencegahan kehilangan jisim tulang ketika usia tua.

Vitamin D

Vitamin D meningkatkan keberkesanan penyerapan kalsium, oleh sebab itu ia membantu mengekalkan tahap kalsium yang optimum di dalam darah.

Pengetahuan saintifik menyatakan bahawa kekurangan vitamin D adalah berkaitan dengan ketumpatan tulang yang rendah dan risiko keretakan tulang yang tinggi, terutamanya pada golongan tua.

Vitamin K

Vitamin ini telah lama dikenali melalui peranannya dalam proses pembekuan dan penggumpalan darah.

Bagaimanapun, kebelakangan ini semakin banyak bukti menunjukkan bahawa vitamin K memainkan peranan dalam mengoptimumkan kesihatan tulang.

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa vitamin K amat penting dalam salah satu proses utama dalam pembentukan tulang iaitu proses pengkarboksilan osteocalcin, protein yang ditemui dengan banyaknya di dalam tulang.

Vitamin K berfungsi dengan meningkatkan jumlah osteocalcin yang aktif, yang dapat meningkatkan daya tarikannya terhadap kalsium. Ini akan mengekalkan dan mengikat nutrien-nutrien di dalam tulang.

Kajian populasi telah melaporkan bahawa terdapat hubungan antara tahap pengambilan vitamin K yang rendah, dengan pengurangan ketumpatan jisim tulang dan peningkatan risiko keretakan tulang.

Penemuan ini dikenal pasti pada kedua-dua jantina, lelaki dan wanita yang merangkumi pelbagai peringkat umur.

Tindakan sinergi yang kolektif

Setiap vitamin dan mineral mempunyai fungsi yang tertentu, kajian yang telah dijalankan baru-baru ini menunjukkan bahawa kalsium, vitamin D dan vitamin K mempunyai mekanisme sinergi yang unik dan memberi kesan yang signifikan terhadap kesihatan tulang.

Keputusan satu ujian yang dijalankan secara rawak yang mengkaji keberkesanan pemberian mineral – vitamin D – vitamin K ke atas wanita-wanita sihat yang telah menopaus membuktikan fakta tersebut.

Selepas tiga tahun, peserta yang diberi kombinasi mineral – vitamin D – vitamin K telah menunjukkan pengurangan kehilangan jisim tulang sebanyak 35 peratus berbanding peserta kajian dalam kumpulan plasebo.

Kajian kedua yang dijalankan ke atas wanita-wanita yang telah berumur menunjukkan keputusan yang sama.

Selepas pemberian kalsium – vitamin D – vitamin K selama dua tahun, para peserta telah mengalami pengurangan kehilangan ketumpatan mineral tulang yang signifikan.

Para saintis telah membuat kesimpulan bahawa keputusan-keputusan kajian tersebut membuktikan wujudnya sinergi antara vitamin D dan K bagi mengekalkan ketumpatan mineral tulang.

Kajian-kajian ini memberikan bukti kukuh bahawa kesemua tiga nutrien ini dapat membantu meningkatkan fungsi nutrien yang lain untuk kesihatan tulang yang optimum.

Kita memperoleh vitamin dan mineral ini melalui diet harian kita. Bagaimanapun, khasiat yang kita peroleh daripada diet harian kita mungkin tidak mencukupi untuk kesihatan tulang kita.

Justeru, inilah masanya untuk kita fikirkan semula sejauh manakah kita telah membekalkan pemakanan yang baik dan tepat untuk kesihatan tulang kita.

Kita mungkin tidak berpeluang untuk menikmati gaya hidup yang sihat dan aktif sekiranya kita tidak mendapat nutrien-nutrien yang mencukupi untuk tulang kita.

– Dr. Zaitun Yassin ialah Profesor Madya di Jabatan Pemakanan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia yang juga pakar dalam aspek pemakanan berkenaan osteoporosis dan penuaan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s