Ajar anak anda menabung duit raya

BAGAIKAN sudah direkod dalam fikiran anak-anak dengan beberapa patah perkataan sahaja, ‘bangun, mandi, pakai baju raya,’ mereka bingkas bangun penuh semangat. Inilah yang membezakan situasi kita sebagai ibu bapa setiap kali mengejutkan anak bangun pada hari raya berbanding hari biasa.

Selesai solat dan menikmati juadah raya bersama keluarga, masa yang ditunggu kanak-kanak pun tiba iaitu untuk mengutip duit raya sambil berkunjung ke rumah saudara mara.

Walaupun bukan menjadi tujuan utama untuk mendapatkan duit raya apabila anak-anak ini menziarah kaum keluarga atau jiran tetangga, seolah-olah bagaikan budaya kebanyakan tuan rumah yang dikunjungi tidak lokek menghulurkan sampul berwarna-warni berisi duit raya.

Lebih tinggi nilai duit raya, lebih lebar senyuman mereka. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan ramai yang mengambil kesempatan ini untuk mengumpul sebanyak-banyak duit raya.

Sebagai kanak-kanak sememangnya seronok apabila dapat mengumpul wang, malah lebih seronok lagi apabila dapat berbelanja membeli bunga api atau barangan yang mungkin sudah lama dicita-citakan.

Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada 1 Oktober lalu sudah pasti meninggalkan kenangan manis terutama kepada kanak-kanak kerana dapat mengumpul duit raya.

Duit raya itu mungkin sumbangan ibu bapa, kaum keluarga dan jiran tetangga. Jumlahnya sudah tentu berbeza antara seseorang.

Hakikatnya, kerenah kanak-kanak dulu dan sekarang tidak banyak bezanya. Jika dulu kanak-kanak sanggup meredah sawah dan seluruh pelosok kampung untuk mencari duit raya, hari ini tidak kurang hebatnya.

Semua kawasan perumahan dijelajahi beramai-ramai, tidak kira kenal atau tidak asalkan poket penuh duit raya.

Amalan ini bukanlah satu perkara menghairankan kerana ia berlaku sejak dulu dan seolah-olah menjadi budaya pada hari raya. Tambahan pula, kebanyakan tuan rumah turut mengambil kesempatan bersedekah kepada kanak-kanak sempena hari mulia sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran.

Tinjauan penulis mendapati budaya ini masih berterusan dan diamalkan oleh masyarakat kini.

Malah duit raya bukan saja dihadiahkan kepada golongan kanak-kanak tetapi kepada ibu bapa atau mereka yang lebih tua.

Ramai yang bersetuju agar tradisi ini dikekalkan dan tidak keberatan menghulurkan duit raya untuk kanak-kanak yang berkunjung ke rumah. Ini kerana sudah menjadi kepercayaan dalam Islam bahawa setiap kunjungan tetamu pembawa rezeki kepada tuan rumah.

Dalam keghairahan anak-anak ini mengumpul duit raya, sebagai ibu bapa menjadi tanggungjawab kita mengingatkan mereka supaya tidak boros berbelanja dan menyimpan wang tersebut untuk kegunaan masa depan.

Adalah amat malang kiranya anak-anak ini menurut kata hati terutama apabila memiliki sikap boros, sudah tentu dalam beberapa hari saja semua wang diperoleh habis dibelanjakan.

Tetapi bagi yang beringat atau pandai berjimat, mungkin cuma sebahagian kecil saja daripada wang dibelanjakan, yang lain disimpan di dalam tabung untuk masa depan. Jadikan amalan menabung sebagai budaya.

Malah banyak institusi kewangan di negara kita menyediakan pelbagai kemudahan akaun untuk anak-anak menabung wang mereka.

Sebagai ibu bapa amat penting untuk kita menekankan bukan sahaja amalan menabung sejak anak-anak masih kecil lagi, tetapi juga dari segi mengawal bajet dan pelaburan.

Amalan menabung amat penting sebagai persediaan kerana kita tidak tahu apa yang menanti pada masa depan.

Di bawah ini diperturunkan beberapa panduan yang boleh dimanfaatkan oleh ibu bapa.

– Terpulanglah sama ada menabung dengan membuka akuan simpanan atau simpan di dalam tabung di rumah. Pokok pangkalnya ialah menabung.

– Jadikan pepatah sikit-sikit lama-lama jadi bukit bagi mengingatkan anak-anak tentang kebaikan amalan menabung.

– Sentiasa ingatkan anak-anak, wang tabungan itu bakal digunakan untuk masa depan mereka, sama ada untuk melanjutkan pelajaran dan perkara lain yang sama penting.

– Di samping menabung, kita juga perlu menanamkan budaya menguruskan kewangan dengan bijak. Contohnya, jika anak ingin membuat majlis hari jadinya secara besar-besaran. Kita beri anak peluang dan ajak bersama menyenaraikan semua barangan yang ingin dibeli berserta jumlah perbelanjaan yang hendak digunakan.

– Tetapkan bajet dan masa pembelian. Dengan itu, mereka terpaksa menyelidik dulu harga yang sesuai untuk membeli barangan. Jika tidak, bajet akan terlebih dan mereka terpaksa menanggung sendiri lebihan perbelanjaan itu. Kaedah ini jika selalu diamalkan akan memberi kefahaman kepada anak mengenai pengorbanan masa dan kewangan keluarga.

– Maklumkan kepada anak kepentingan pembelian barangan mengikut keutamaan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s