Kongsi rumah terbuka jimat belanja

Berakhirnya minggu pertama raya, orang ramai mula berpusu-pusu kembali ke ibu kota dari kampung halaman. Mereka akan beraya pula di rumah sanak-saudara, handai taulan atau jiran.

Memasuki minggu kedua sehingga akhir bulan Syawal, di sana-sini orang sibuk mengadakan rumah terbuka. Banyak jemputan yang diterima adakalanya sehingga tiga atau empat buah rumah dalam sehari.

Dalam situasi masa kini di mana harga barangan semakin mahal, berkurangkah jemputan untuk menghadiri rumah terbuka? Adakah orang sudah mula berjimat cermat dan tidak lagi mengadakan rumah terbuka?

Konsep rumah terbuka yang diadakan pada bulan Syawal sebenarnya bukanlah budaya orang Melayu. Ini kerana dalam masyarakat Melayu, saling kunjung berkunjung boleh dilakukan tanpa perlu menunggu hari sesuai yang ditentukan oleh tuan rumah.

Rumah orang Melayu sentiasa terbuka bila-bila masa, baik siang atau malam. Apabila tetamu datang, tuan rumah akan menghidangkan apa sahaja yang ada di rumah. Apa yang tuan rumah makan, itu juga yang akan dihidangkan kepada tetamu.

Cuma pada masa sekarang semua orang sibuk dengan kerjaya dan sebagainya, mereka tidak memasak di rumah dan hanya membeli makanan di luar atau makan dahulu sebelum pulang ke rumah.

Selain itu, mereka akan pulang ke rumah lewat petang dan sudah tentu mereka tidak mempunyai banyak masa untuk melayan atau menyediakan hidangan pada tetamu yang tiba-tiba muncul di depan pintu.

Perkara ini mungkin menjadi bebanan kepada mereka. Cara terbaik ialah dengan memilih satu hari yang sesuai dan mereka akan menjemput semua saudara mara dan kenalan untuk datang ke rumah.

”Cuma cara itu mungkin tidak berjaya merapatkan tali silaturrahim seperti yang diharapkan kerana biasanya tuan rumah terlalu sibuk menyambut kedatangan tetamu dan menyediakan hidangan sehingga tidak mempunyai masa untuk beramah mesra dengan yang hadir.

”Konsep rumah terbuka hari ini sudah dikomersialkan. Gaya hidup sudah berubah. Tetamu yang hendak berkunjung perlu membuat temujanji terlebih dahulu dan perkara yang sepatutnya tidak formal kini sudah menjadi formal,” kata Pensyarah Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jariah Masud ketika ditemui di pejabatnya di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Dr. Jariah menambah, dalam keadaan ekonomi yang meruncing dan harga barangan yang sentiasa naik, mungkin masyarakat boleh mengadakan rumah terbuka secara berkongsi di antara sesama jiran atau penduduk dalam kawasan perumahan.

Memberikan contoh kawasan perumahan beliau di Seksyen Tiga, Bangi, Selangor, beliau berkata, setiap tahun kariah surau taman tersebut mengadakan rumah terbuka atau jamuan raya di surau. Semua dijemput dan masing-masing akan membawa makanan sendiri (pot luck).

Jamuan raya yang diadakan sehari suntuk dari makan pagi, tengah hari hingga malam itu memberi kesempatan pada penduduk untuk saling berkenalan dan beramah mesra.

Aktiviti turut diisi dengan bacaan Yasin dan mendoakan mereka yang sakit agar segera sembuh serta supaya kawasan perumahan tersebut selamat.

Dengan kata lain, menurutnya, aktiviti yang dijalankan seakan-akan di kampung walaupun mereka tinggal di bandar.

Bagaimanapun, beliau mengakui kemesraan yang dijalin itu tidaklah begitu menyeluruh kerana tetamu terlalu ramai.

Mungkin jika diatur program yang lebih bersistem, tetamu berpeluang untuk lebih berinteraksi di antara satu sama lain.

Katanya, individu hari ini sepatutnya menghidupkan semula budaya yang telah diamalkan di kampung di mana setiap orang mengenali antara sama lain.

Beliau berkata, aktiviti yang telah dimulakan sejak tahun 1990 itu cuma diadakan di jalan rumahnya saja dan disertai oleh sebanyak 10 buah rumah saja. Ketika itu masih belum ada surau di kawasan tersebut.

”Waktu itu seluruh ahli keluarga termasuk suami atau isteri serta anak-anak akan berkumpul bersama, makan-makan dan barbeku.

” Anak-anak pun dapat berkenalan dengan yang lain dan tidaklah mereka berasa bosan,” ujarnya yang juga Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (Macfea).

Menurut Dr. Jariah, sesiapa pun boleh membuat rumah terbuka tetapi bersederhana. Jangan sediakan terlalu banyak makanan kerana bimbang membazir. Lagipun, tetamu datang untuk menziarah bukan makan sehingga susah hendak bangun.

”Fikirkan kenapa kita buat rumah terbuka. Adakah untuk saling mengenali antara satu sama lain dan merapatkan silaturrahim atau ingin menunjuk-nunjuk dan riak. Semuanya bergantung kepada niat kita sendiri.

”Kadang-kadang kita susah nak jumpa tuan rumah kerana tuan rumah sibuk melayan tetamu. Akhirnya kita pulang tanpa dapat berkenalan dengan tuan rumah,” jelasnya.

Dr. Jariah menambah, mereka yang tidak ada sumber kewangan bagi membuat rumah terbuka, tidak perlulah bersusah-payah membuatnya.

“Janganlah sampai berhutang kerana ini akan memudaratkan diri sendiri. Jika ada masa, masak sendiri kerana cara itu lebih jimat berbanding mengambil khidmat katering,” katanya.

Beliau mengakui pernah membuat rumah terbuka untuk kawan-kawan anaknya. Kebiasaannya beliau akan menyediakan hidangan seperti spageti, mi kari dan sebagainya di samping kuih raya. Tidak perlulah hidangkan banyak makanan berat kerana yang penting kita dapat melayan tetamu.

Oleh MERAN ABU BAKAR

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s