Bermaafan Hapuskan Dendam

Bermaaf-maafan antara satu sama lain adalah amalan mulia yang dianjurkan Islam bagi mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan hidup bermasyarakat, terutama sesama umat Islam.

Amalan bermaaf-maafan, terutama ketika Aidilfitri dan Aidiladha sebati dalam jiwa masyarakat Islam.

Secara tidak langsung, dengan wujudnya amalan ini dalam masyarakat Islam, konsep kembali kepada fitrah dan kebersihan, suci daripada pencemaran dosa, kesilapan dengan Allah dan sesama insan pada Aidilfitri sudah terlaksana.

Mengikut Islam, kemaafan adalah sebahagian daripada sifat Allah yang mengalir dalam kemurahan Allah, yang suka mengampunkan dosa hamba-Nya kecuali mereka yang syirik.

Begitu pun, ada pula syarat tertentu yang membolehkan Allah mengampunkan dosa hamba-Nya, yakni hamba-Nya yang begitu taat dan patuh serta sentiasa bertaubat kepada-Nya.

Sesungguhnya keutuhan dan kewibawaan konsep kemaafan dalam Islam sudah lama terbukti dan ia dicatat kemas dalam sejarah Islam.

Contohnya, sewaktu Nabi Muhammad menyebarkan syiar Islam, baginda tidak pernah memusuhi atau memarahi wanita Yahudi yang selalu mencaci, meludah dan melemparkan najis kepadanya setiap kali melalui rumah wanita itu.

Kemaafan ditunjukkan Rasulullah, akhirnya wanita itu memeluk Islam.

Ketika peristiwa Fath Makkah (pembukaan kota Makkah), Rasulullah tidak pernah melakukan pembunuhan walaupun baginda dan rombongannya menguasai kota itu.

Rasulullah juga pernah memaafkan seorang Arab kampung yang melakukan kesalahan kencing di dalam masjid, malah baginda menegah orang ramai daripada mengerumuni dan menghalangnya.

Kata Anas bin Malik, sebaik orang itu pergi, Rasulullah meminta sebaldi air, lalu mencurah ke atasnya air kencing itu untuk membasuhnya.

Sikap mulia Rasulullah yang sentiasa berlapang dada dan suka memaafkan musuh Islam seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufian dan beberapa pemimpin masyarakat Musyrikin Makkah menyebabkan suasana hidup aman dipertahankan.

Apabila sifat maaf-memaafkan antara satu sama lain itu diamalkan oleh baginda, hasil dakwah Rasulullah adalah positif dan Islam dapat disebarkan dengan meluas.

Selain itu, ketika Saidina Abu Bakar al-Siddiq terlalu marah terhadap Mistah yang turut menyebarkan cerita fitnah terhadap anaknya, Aisyah, beliau bersumpah tidak akan memaafkan Mistah dan menghentikan bantuan yang diberikan kepadanya.

Menurut ahli tafsir, berikutan peristiwa itu turun ayat 22, surah an-Nur yang bermaksud: “Dan janganlah orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak akan memberi bantuan kepada kaum kerabat, orang miskin dan orang yang berhijrah di jalan Allah, dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”.

Berpandukan ayat itu, jelas orang yang sedang marah disebabkan perbuatan orang menyebarkan fitnah dan tuduhan palsu seperti dihadapi Saidina Abu Bakar diminta oleh Allah supaya mengambil jalan kemaafan dan berlapang dada terhadapnya.

Keunggulan dan kemuliaan kemaafan meletakkan ia salah satu sikap penting yang wajar diamalkan dalam kehidupan seharian umat Islam.

Sekiranya sikap bermaaf-maafan ini tersemat dalam diri, dendam tidak akan timbul, malah membuahkan kasih sayang dan hormat menghormati antara satu sama lain.

Jika diamati , perkara ini boleh berlaku dalam kehidupan seharian.

Misalnya, dalam sesebuah rumah tangga sekiranya berlaku perselisihan faham antara suami dan isteri, maka si suami hendaklah sentiasa memaafkan si isteri, manakala si isteri pula memaafkan si suami.

Jika sikap saling memaafkan dapat diamalkan, masalah keruntuhan rumah tangga dapat dihindari.

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s