Masalah Rumahtangga – Angau Seorang Isteri

Says selalu membaca kisah dan masalah yang kebanyakannya dihadapi wanita. Kadang-kadang terdetik dalam hati, kenapa mereka sanggup melakukan perkara yang melanggar hukum agama dan etika manusia, umpamanya apabila menyimpan kekasih gelap.

Bagaimanapun, kini baru saya sedar sebenarnya perasaan sangat sukar dikawal. Adalah lebih baik mencegah dari memulakan.

Saya berkenalan secara tidak sengaja dengan seorang lelaki yang pada mulanya berstatus bujang. Masa itu saya sudah berumahtangga dan ada seorang anak lelaki.

Pada awalnya dia tidak tahu status saya tapi apabila saya dapat rasakan kelainan pada layanan dan kemesraan persahabatan kami, saya mula berterus terang.

Selepas itu kami tidak berhubung lagi, sehingga tiga tahun kemudian. Dia menghubungi saya dan pada awalnya persahabatan kami biasa saja, tidak terdetik di hati saya untuk bercinta dengannya. Apatah lagi dia sudah berumah tangga dan ada seorang anak.

Anak saya juga sudah bertambah seorang lagi. Saya akui suami saya sangat baik, ada rupa dan ada pangkat. Dia boleh dikatakan sempurna. Mungkin ini ujian Tuhan untuk saya. Saya tetapkan hati supaya tidak bercinta lagi.

Namun, apakan daya saya sayangkan kekasih gelap ini, cuma bila diajak keluar saya menolak dengan baik sebab saya takut akan terpesong seperti masalah yang sering disiarkan di ruangan ini.

Jujur saya katakan saya tidak pernah keluar dengan dia dan saya harap hati saya akan tetap menolak untuk keluar dengannya. Saya bimbang akan berlaku perkara yang tidak baik kelak.

Puas saya pujuk hati supaya melupakan dan tidak melayan dia lagi tapi hati saya sangat sukar untuk melaksanakannya. Pernah saya mendiamkan diri hampir tiga minggu tapi bila dia merayu dengan kata sayang saya mula dilamun cinta semula.

Apapun, saya harap saya tidak terjerumus ke lembah zina. Dang Setia, apa hukumnya bila ada rasa sayang pada lelaki lain selain suami. Nauzubillah, saya takut seksaan Allah. Apabila saya berada di samping suami saya selalu membuatkan fikiran tidak mengingati dia.

Semoga ini semua berakhir dengan baik. Betapa kerdilnya kita disisi Allah apatah lagi bila membuat dosa.

DILEMA WANITA

—————————-

Kebetulan Dang Setia baru mengikuti satu ceramah agama sempena Ramadan yang mengetengahkan pelbagai keistimewaan, ganjaran, pengajaran serta peringatan bagaimana sebaik-baiknya untuk kita sama-sama memanfaatkan bulan mulia ini.

Satu perkara yang disentuh ialah mengenai perang Badar. Semua maklum, perang maha hebat itu dimenangi umat Islam pimpinan Rasulullah SAW biarpun tentera Islam cuma kira-kira 300 orang, berbanding tentera kafir yang jumlah lebih 1,000 orang.

Namun, ketika tentera Islam meraikan kemenangan itu, Rasulullah SAW segera mengingatkan agar jangan terlalu gembira kerana perang Badar itu hanya peperangan kecil. Katanya, ada perang yang lebih besar bagi setiap manusia iaitu perang melawan hawa nafsunya.

Perang melawan hawa nafsu ini berlaku sepanjang masa, bukan sekadar pada Ramadan. Jadi, itulah peperangan yang puan hadapi kini. Menyedari hakikat itu, seharusnya puan perlu segera menginsafi diri dan segera kembali kepada Allah untuk mencari kekuatan, memohon petunjuk dan juga perlindungan daripada-Nya.

Puan, biarpun puan tidak keluar dan berzina dengan kekasih gelap puan itu namun tetap berdosa apabila seorang isteri ada hubungan sulit dengan mencintai lelaki lain selain suaminya.

Apabila tahu perbuatan kita berdosa, kita perlu menghentikannya. Untuk menghentikannya pula, kita tidak boleh sekadar berkata “semoga ini semua berakhir dengan baik.” Sebaliknya, kita perlu berusaha, bertindak dan memberi komitmen tinggi ke arah itu.

Puan berkata, “betapa kerdilnya kita disisi Allah apatah lagi bila membuat dosa.” Bagi Dang Setia kenyataan ini membawa maksud, puan sedar akan kelemahan diri dan takut akan kekuasaan serta azab yang Allah akan turunkan kepada kita jika kita mengingkari perintah-Nya.

Bagaimanapun, jika puan terus melayan kehendak hati dan nafsu dengan berkata “namun, apakan daya saya sayangkan kekasih gelap ini” dan “bila dia merayu dengan kata sayang saya dilamun cinta semula” ia bermakna puan seolah-olah mencabar serta mempermain-mainkan hukum Allah.

Jika benar kita insaf diri kita terlalu kerdil di sisi Allah, kita tidak akan berani mengingkari perintah-Nya. Lebih-lebih lagi dalam keadaan Allah sudah mengurniakan kita nikmat yang cukup besar.

Sedarilah, suami yang baik dan puan sifatkan sempurna itu serta anak-anak adalah satu nikmat amat berharga dari Allah. Berapa ramai wanita lain yang meratapi nasib kerana tidak dipertemukan jodoh, suami tidak bertanggungjawab atau tidak dikurniakan zuriat?

Jadi, mengapa puan mahu menjadi kufur nikmat? Mengapa puan mahu mengambil nasi dan lauk pauk dalam pinggan orang lain, sedangkan segala-galanya sudah ada di dalam pinggan puan?

Nasihat Dang Setia, hentikanlah perbuatan yang berdosa, sia-sia dan merugikan diri sendiri sebelum puan hanyut lebih jauh. Perbuatan buruk yang kita lakukan sebenarnya ibarat kudis. Jika tidak dirawat, ia tidak akan pulih dengan sendiri sebaliknya, akan terus melarat, bernanah dan menjadi sopak.

Mengambil kira puan kini sedang berperang (dengan nafsu), sediakanlah perisai dan peluru. Dalam konteks ini, perisai itu adalah amalan dan peluru itu pula ialah iman serta takwa.

Justeru, manfaatkanlah keberkatan Ramadan ini untuk meningkatkan amal ibadat dengan tidak mengabaikan solat fardu, memperbanyakkan solat sunat, membaca al-Quran, berzikir dan menolong orang susah.

Mudah-mudahan, semua amalan itu akan meningkatkan lagi iman puan dan dengan iman yang kukuh, lebih mudahlah puan menundukkan godaan nafsu menyesatkan.

Sumber: Dang Setia, Harian Metro

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s