Ketahui bahaya melamin

Sejak kes pertama mengenai kematian kanak-kanak di China akibat pengambilan susu yang dicemari kandungan melamin dilaporkan bulan lalu, masyarakat dunia mula heboh memperkatakan mengenai bahan kimia berkenaan yang selama ini mungkin tidak pernah kita dengar melainkan jika anda bekerja dalam bidang kimia.

Berdasarkan laporan di China, kehadiran melamin dalam susu formula menyebabkan pembentukan batu karang, sekali gus punca kepada kegagalan buah pinggang di kalangan kanak-kanak kecil. Sehingga kini sebanyak empat kematian bayi dicatatkan dan lebih 54,000 kanak-kanak jatuh sakit akibat pengambilan susu dicemari melamin.

Ketika ini masyarakat pasti tertanya-tanya, apa itu melamin sehingga menimbulkan suasana panik terutama di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak kecil. Jika melamin dikatakan bahan kimia yang sememangnya wujud dalam produk makanan, tetapi hanya selamat jika digunakan dengan jumlah tertentu, mengapa baru kini timbul kekecohan?

Sumber Pusat Maklumat Pemakanan Asia (AFIC) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini menyatakan skandal produk tenusu di China berlaku kerana sikap tidak bertanggungjawab pekilang yang ingin mendapat keuntungan.

Penggunaan melamin dengan jumlah tertentu dalam makanan dikatakan boleh mengaburi kandungan sebenar khasiat susu kerana kehadiran nitrogen yang tinggi dalam melamin akan memalsukan kandungan protein bagi memenuhi nilai yang ditetapkan bagi ujian protein dan kawalan kualiti pemakanan.

Laporan amalan tidak beretika itu di China menyebabkan masyarakat dunia mula memandang serius isu keselamatan produk susu dan tenusu terutama yang dihasilkan di negara itu.

Persoalannya, adakah melamin tidak selamat untuk digunakan dalam produk makanan? Menurut AFIC, secara dasarnya melamin adalah selamat jika digunakan dalam jumlah yang rendah dan kajian yang dijalankan ke atas haiwan menunjukkan melamin tidak menyebabkan barah atau kecacatan kepada kehamilan.

Dalam dos yang tinggi, kajian itu mendapati ia boleh menjejaskan fungsi pundi air kencing, tetapi tidak memberi kesan kepada buah pinggang. Bagaimanapun, apabila digabungkan dengan bahan kimia berkaitan seperti asid cyanurik, campuran itu boleh menyebabkan pembentukan batu karang dan memberi kesan toksik kepada buah pinggang.

Dalam kes di China, kehadiran melamin dan bahan kimia berkaitan didapati sengaja ditambah ke dalam kandungan susu pada kadar yang diharamkan dalam usaha menyembunyikan kenyataan bahawa susu yang dihasilkan sudah dicairkan dengan air. Gabungan melamin dan asid cyanurik menyebabkan pencemaran yang memberi kesan serius kepada bayi dan kanak-kanak kecil yang bergantung kepada susu bagi pemakanan mereka.

Bagaimanapun, AFIC menyatakan bagi golongan dewasa tidak perlu bimbang jika terambil makanan yang dicemari melamin asalkan jumlah yang ada dalam kandungan itu masih dalam lingkungan dibenarkan.

Pihak berkuasa kesihatan di Australia/New Zealanda (FSANZ), Eropah (EFSA) and AS (FDA) menetapkan had dibenarkan bagi kandungan melamin ialah 2.5 bahagian daripada per sejuta (ppm) bagi semua produk kecuali susu formula. Kementerian Kesihatan pula menetapkan kandungan melamin kini dihadkan sebanyak satu daripada sejuta bahagian susu formula bayi dan 2.5 bahagian daripada sejuta susu cair, susu tepung dan produk makanan yang mengandungi lebih 15 peratus susu.

FAKTA: Melamin

  • Melamin ialah bahan kimia yang kaya dengan nitrogen dan sering digunakan dalam pembuatan plastik, gam dan papan putih
  • Selain susu dan produk tenusu, AFIC melaporkan pada 2007 melamin juga ditemui dalam gulten gandum dan beras dengan pekatan protein yang dieksport China bagi kegunaan pembuatan makanan haiwan di Amerika Syarikat (AS). Hasilnya, pada tahun itu, AS melaporkan kematian haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing akibat kegagalan buah pinggang.
  • Melamin juga boleh diambil secara tidak sengaja menerusi pemindahan daripada bekas plastik yang mengandungi melamin kepada makanan atau minuman. Keadaan ini biasanya tidak memudaratkan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s