Apabila mertua terlebih sayangkan anak

Ketika pembaca menatap catatan ini, saya sedang dalam penerbangan ke Tanah Suci untuk mengerjakan umrah. Syukur kepada Allah SWT kerana hajat untuk menjejak kaki ke Tanah Suci termakbul juga. Doakan saya diberi kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala amal yang bakal dilaksanakan kelak. Pun begitu, tanggungjawab terhadap ruangan ini tetap saya laksanakan. Oleh kerana masih dalam bulan yang baik ini elok kita berkongsi cerita yang indah-indah sahaja terutama yang boleh dijadikan teladan. Seperti kisah minggu ini, kiriman Wati (bukan nama sebenar), dari Negeri Sembilan.

Kata Wati, biasanya kita mendengar sikap pilih kasih ibu kepada anak-anak tetapi dia ingin bercerita tentang sikap pilih kasih seorang ayah.

Ini turut dirasakan Wati. Walaupun sekadar menantu, tetapi sikap yang ditunjukkan ayah mertuanya menjadikan Wati terguris hati.

“Saya tinggal bersama suami di rumah mertua kerana memenuhi tanggungjawab menjaga ayah mertua dan adik-adik ipar selepas kematian ibu mertua.

“Suami saya empat beradik dan hanya mempunyai seorang adik perempuan. Pada asasnya memang saya mengetahui bahawa ayah mertua saya sangat menyayangi anak daranya itu.

“Bahkan saya yang dibesarkan bersama enam adik-beradik perempuan turut mengalami situasi yang sama di mana emak saya agak lebih menyayangi dan memberi perhatian kepada satu-satunya anak lelaki beliau, iaitu abang kami.

“Namun ia tidak pernah memberi kesan negatif kepada kami kerana emak bijak menyimpan perasaannya terhadap abang.

“Sebaliknya ayah mertua saya terlalu menampakkan tumpuan dan perhatian yang diberikan kepada anak daranya itu. Bayangkan, dalam usia 20-an dan layak berkahwin tetapi semua kerja tidak boleh diharap.

“Ayah mertua seorang yang panas baran, tetapi dia tidak pernah menegur atau memarahi anak gadisnya berbanding anak lelaki yang lain. Sikap ayah mertua ini telah membuatkan anak daranya semakin besar kepala dan adakalanya bertindak biadab terhadap kami semua.

“Selama saya menetap di sini, saya belum pernah sekali pun melihat dia mengemas rumah apatah lagi memasak.

“Ipar saya itu, seorang yang kuat makan dan tidak pernah berhenti makan.

“Sikapnya memang benar-benar menyakitkan hati saya, suka menghabiskan makanan tapi tidak tahu nak kemas dan bersihkan meja. Cawan dan pinggan dia makan pun tidak berbasuh. Semua nak harapkan orang lain.

“Ketika cuti semester waktu siang memang untuk tidur. Saya hairan mengapa ayah tidak pernah menasihati atau menegur anak daranya itu.

“Saya pun tidak tahu bagaimana untuk menegur atau menasihatnya lagi. Apatah lagi dia pernah berkata pada saya bahawa tiada siapa di dunia ini boleh menegur dan memarahinya kecuali ayah. Kalau saya suruh buat sesuatu, dia akan berpaling dan menepuk punggung dia beberapa kali di hadapan muka saya.

“Masya-Allah, pertama kali saya diperlakukan begini rupa. Saya mempunyai dua orang adik dan 14 anak saudara, namun tidak pernah seorang pun bertindak begitu terhadap saya. Bukankah ini biadab? Apabila saya menegur secara beralas di hadapan ayah, ayah akan memihak padanya dan memberikan apa jua alasan, saya pun dah malas nak dengar.

“Sikap saya mudah saja, jika saya tegur bermaksud saya sayang dan kasih akan orang itu. Sekiranya sampai tahap saya membiarkan dan buat tidak tahu walau apa jua dia lakukan maksudnya saya dah malas nak ambil peduli dan bukan tanggungjawab saya lagi. Nak bergurau pun ada cara dan batasan.

“Namun begitu, mujur adik-adik ipar lelaki saya pandai memasak, dia yang membantu jika terdesak. Saya benar-benar sedih. Saya dibesarkan dalam keluarga yang dahulunya susah. Kami diajar menghormati antara satu sama lain, tidak kira bab makan atau apa saja.

“Bila tahu saja saya demam, mak dan adik-adik saya yang jauh pun boleh menelefon bertanya keadaan saya. Sedangkan yang ada di depan mata buat tak nampak.

”Bahkan suami saya dan adik- beradik yang sudah hilang punca bagaimana untuk menyedarkan ayah.

“Saya kasihankan adik ipar sebab dia masih muda dan perjalanan hidupnya masih jauh. Saya tidak mahu dia kecundang akibat kesilapan diri sendiri. Saya juga bimbang hidupnya binasa akibat kasih sayang ayah. Bukan saya mahukan ayah memarah atau mengherdik dia, tetapi cukuplah jika tidak terlalu memanjakannya. Biarlah dia berdikari dan cuba berfikir tentang tanggungjawab.

“Saya tidak boleh terima bagaimana seorang ayah boleh membasuh dan menyidai baju dan seluar dalam anak daranya yang ketika itu sedang enak tidur di dalam bilik.

“Jika ayah boleh mendidik anak-anak lelakinya yang lain dengan elok mengapa tidak pada seorang anak daranya? Saya sayang dan kagum sangat pada adik ipar bongsu saya (lelaki).

”Meskipun dia muda, namun sikap tanggungjawab dan hormatnya amat saya hargai. Dia lebih bijak menguruskan rumah, mengemas, memasak dan rajin membantu saya jika di rumah. Sikapnya dengan anak dara ayah bagai langit dengan bumi.

“Saya betul-betul stres dan kalau boleh saya ingin pergi jauh dari sini.

“Memang mudah berkata, tetapi saya hormati tanggungjawab dan peranan suami sebagai anak sulung. Memang kami dalam perancangan untuk berpindah.

“Ketika kisah ini tersiar mungkin saya sudah kembali ke kampung untuk mencari ketenangan dan mententeramkan hati di samping ibu tersayang.

“Kiranya terbaca kisah ini, saya mohon ampun maaf jika menyakiti hati ayah. Niat saya baik, bukan untuk memporak-perandakan keluarga ayah.

“Jika ayah tidak dapat terima, tak mengapalah. Mungkin hari ini ayah marah pada saya, tetapi saya pasti suatu masa nanti ayah akan berterima kasih kerana saya melakukan ini.

“Dalam keadaan ini, kami perlu masa untuk membina kebahagiaan kami sendiri. Maafkan saya ayah!” Wati menutup cerita.

Cerita Wati menginsafkan saya bagaimana pengorbanan besar yang telah Wati lakukan. Saya kagum dengan kesanggupannya mengambil alih tanggungjawab arwah ibu mentua.

Seperti yang saya katakan sebelum ini, setiap kerja yang baik pasti hebat ujiannya, itulah yang dilalui Wati.

Pesan saya jangan putus asa, jangan patah semangat. Tindakan Wati pulang ke pangkuan ibu untuk mencari ketenangan satu langkah baik. Namun ingatlah kepada tanggungjawab terhadap suami dan rumah tangga.

Satu cara Wati boleh mengajak suami pindah dan tinggal berasingan daripada keluarga mentua.

Pesanan saya:

Setiap daripada kita mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri. Tetapi ingatlah, kelemahan dan kekurangan itulah yang menjadikan perkongsian hidup kita sebagai manusia sangat menarik dan bermanfaat.

Begitu juga dengan saya. Sebagai hamba Tuhan dan insan kerdil ciptaan-Nya saya berdoa agar dapat menyempurnakan ibadah umrah dengan segala ketenangan dan kusyuk. Kepada mak dan bapa, restuilah perjalanan anakmu ini. Ampunkan segala kesilapan, halal makan minum dan keterlanjuran laku dan kata.

Buat kakak, abang, adik-adik, dan ipar duai dan saudara mara, doakan agar kami berdua selamat pergi dan kembali.

Buat anak-anakku tersayang, Mizan, Dafri, Ateya dan Aqila, jaga diri dan doakan abah dan mak. Ingat pesan mak, dalam apa keadaan bersatu demi sebuah kasih sayang.

Menutup kata, sepatah kata buat pembaca budiman:

Terkadang manusia selalu kesal dengan apa yang dia ucapkan tetapi tidak pernah menyesali kenapa dia tidak bersuara.

Salam

Sumber: Utusan Malaysia 20 Oktober 2008 / 20 Syawal 1429

One thought on “Apabila mertua terlebih sayangkan anak

  1. ni la yg dikatakan salah didikan…sb tulah jgn dimanjakan sorg anak tu xkira la yg bongsu ke, tunggal ke, paling cantik ke, paling cerdik ke…
    ni la balasan yg ibu bapa bahkan org lain dpt..dapat sakit hati..

    yg si anak ni perasan la org syg dia lebih, mula la besar kepala, siap leh naik kaki tgn kat org lain..
    klu tgk fe’el camni nak je rasa tikam dgn pisau budak ni..geram yg amat..tp sabo jelah, xpe nnt bile dah kawin tau la dia nnt..dapat suami garang, baru padan muka dia.. geram ni….hehehehe

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s