Kurniaan rahmat, nikmat tidak boleh dihitung

Umumnya, nikmat kurniaan Allah dapat dibahagikan kepada bersifat fitri atau asasi iaitu nikmat yang diterima manusia sejak dilahirkan dan nikmat mendatang yang diterima mengikut keadaan dan waktu.

Nikmat fitri digambarkan Allah dalam firman bermaksud: “Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun; dan Ia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran); supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Nahl, ayat 78)

Manusia dilahirkan dalam bertelanjang bulat tetapi mereka dilengkapi alat yang diperlukan untuk perjuangan hidup iaitu telinga, mata dan akal. Nikmat mendatang ialah kenikmatan, kelazatan atau kebahagiaan yang diterima manusia dalam perjalanan hidupnya. Segala dunia ini bermula daripada tanaman hingga ternakan dan hasil bumi disediakan untuk manfaat manusia.

Keadaan ini dijelaskan dalam firman Allah bermaksud: “Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan Kami), ialah bumi yang mati; Kami hidupkan dia serta Kami keluarkan daripadanya bijiran, maka daripada bijiran itu mereka makan. Dan Kami jadikan di bumi itu kebun kurma dan anggur dan Kami pancarkan padanya beberapa mata air. Ini supaya mereka makan daripada buah-buahannya dan dari sesuatu yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur.” (Surah Yasin, ayat 33-35) Sedar atau tidak, hidup manusia di alam fana ini tidak terlepas daripada nikmat dan rahmat Allah yang tidak terhitung banyak. Jumlahnya tidak dapat disukat dan ditimbang sesiapa pun.

Ini dinyatakan menerusi firman Allah bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkan kepada kamu), tiada akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nahl, ayat 18)

Lazimnya, seseorang hanya menyedari berharganya kurniaan Allah apabila nikmat itu hilang daripadanya (diambil kembali oleh Allah). Contohnya mata menjadi rabun, telinga menjadi pekak, kaki patah dan tangan putus. Nikmat kesihatan amat dirasai apabila sakit. Seseorang berkuasa atau berpangkat rasa kehilangan nikmat itu apabila dipecat.

Hartawan apabila miskin dan melarat akan terasa besarnya nikmat kekayaan yang pernah dikecapinya. Oleh itu, pelihara setiap nikmat yang diperoleh dengan tindakan dianjurkan Islam.

Bersyukur kepada Allah Yang Maha Kuasa supaya nikmat itu dikekalkan-Nya. Syukur dapat diertikan sebagai mengerti semua nikmat pada diri seseorang hamba, lahir atau batin adalah kurniaan Allah. Tanda bersyukur ialah apabila seseorang menggunakan nikmat Allah untuk melakukan amal ibadat dan mendekatkan diri kepada-Nya dan sentiasa memperbanyakkan ucapan syukur. Mereka mengerjakan ketaatan kepada Allah dan membesarkan nikmat yang kecil sekalipun.

Sikap syukur semata-mata untuk keuntungan manusia, Allah tidak mendapat sedikit pun keuntungan dengan perbuatan syukur hamba-Nya. Allah juga tidak rugi sedikit pun dengan sikap kufur dan ingkar ditunjukkan manusia.

Firman Allah bermaksud: “Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur, maka faedah syukur itu hanya terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidak menjadi hal kepada Allah) kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah.” (Surah al-An’am, ayat 40)

Orang yang bersyukur, jiwanya menjadi semakin bersih. Dia bertambah dekat kepada Allah dan semakin sedar nikmat adalah kurniaan Ilahi yang perlu digunakan untuk kebaikan sesama manusia.

Seseorang yang memperoleh kekayaan perlu menggunakan kurniaan itu untuk menolong fakir miskin. Orang berpangkat pula perlu melakukan kebaikan kepada orang bawahannya atau masyarakat umum.

Sesungguhnya bagi orang bersyukur maka nikmat yang diperolehnya semakin bertambah. Ini jelas dinyatakan dalam firman Allah bermaksud: “Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambah nikmat-Ku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur dan ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.” (Surah Ibrahim, ayat 7)

Menyedari pentingnya sikap ini, maka syukuri segala nikmat kurniaan Allah besar atau kecil. Mudah-mudahan, nikmat itu kekal dan hidup diredai Allah di dunia serta akhirat. Sesungguhnya bersyukur kepada Allah adalah perbuatan wajib ke atas setiap manusia. Firman Allah bermaksud: “Oleh itu, makan (wahai orang beriman) dari sesuatu yang dikurniakan Allah kepada kamu dari benda halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata. Lawan syukur ialah kufur. Seseorang yang menggunakan nikmat ini pada tempat bertentangan dengan tujuan penciptaannya, maka sebenarnya mengkufuri nikmat Allah yang menganugerahkan nikmat itu kepadanya.” (Surah al-Nahl, ayat 114)

Oleh Mohd Shukri Hanapi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s