Bercakap mengenai masalah kesihatan tidak menjatuhkan air muka anda – Lelaki malas berjumpa doktor

Adam terasa kesakitan yang teramat sangat pada bahagian pinggangnya sebaik mencelikkan matanya pada pagi hari yang bening itu. Dia cuma membiarkan sahaja untuk beberapa ketika sebelum bergegas menyiapkan diri untuk ke tempat kerjanya.

Nasihat isterinya supaya dia berjumpa doktor dibalas dengan kata-kata `tak ada apa, sikit saja ni’.

Dalam perjalanannya ke pejabat, eksekutif swasta itu bagaimanapun singgah membeli ubat-ubatan di farmasi bagi melegakan kesakitannya yang masih berbaki.

Lelaki ini sememangnya tidak pernah serik. Pada hal, dia pernah diserang angin ahmar beberapa tahun lalu.

Ketika itu, Adam gagal mengenal pasti apa yang telah berlaku ke atas dirinya, begitu juga gejala-gejala yang dialaminya.

Kesilapan terbesar Adam ialah salah tanggapannya bahawa penyakit angin ahmar dan buah pinggang yang dideritainya kini tidak akan terjadi pada dirinya.

Hanya orang lain yang akan mendapat penyakit itu, fikirnya.

MACHO sangatkah lelaki yang enggan berjumpa doktor apabila mereka jatuh sakit?

Kononnya, lelaki bukan sejati jika mendapatkan bantuan orang lain.

Mungkin sikap sedemikian sedikit sebanyak disumbangkan oleh persekitaran tumbesaran mereka yang dipenuhi dengan kod-kod lelaki yang mempengaruhi persepsi mereka tentang kesakitan.

Contoh kod lelaki adalah seperti `jadi kuat dan gagah’, `berdikari’, `jangan menangis’, `jangan minta tolong’, `sembunyikan kesakitan’ dan `jangan jadi macam perempuan!’

Sementara itu, pendapat yang tersebar luas mengenai kelelakian seperti ciri-ciri yang ditonjolkan oleh aktor John Wayne dalam sebuah iklan, menggalakkan lelaki baik remaja mahupun dewasa malahan yang tua supaya berlagak gagah sepanjang masa, bersaing dan tidak memerlukan sebarang bantuan.

Gabungan kecenderungan lelaki yang lebih suka mengambil risiko seperti merokok, melakukan kerja-kerja berbahaya serta lingkungan persekitaran yang lebih menekan terutamanya dalam era di mana lebih banyak peranan mereka kini terpaksa dikongsi bersama wanita, turut menyumbang kepada masalah ini.

Tidak kurang juga ada yang berkata, “Ah, kalau aku buat tidak kisah, lama-lama (penyakit) hilang sendiri.”

Walaupun secara fizikalnya lelaki nampak lebih kuat tetapi tidak bermakna kualiti hidup mereka lebih baik.

Dalam pada jangka hayat wanita yang lebih lama di kebanyakan negara, perbezaan tersebut menjadi semakin ketara di Asia.

Di Asia, jantina paling tidak sihat di planet itu mati antara 10 hingga 15 tahun lebih awal berbanding rakan-rakan mereka di Barat.

Data demografi menunjukkan bahawa purata tempoh hilang upaya bagi lelaki berusia lebih 65 tahun di Asia adalah dalam lingkungan 40 hingga 100 peratus.

Apa yang menghairankan, di sebalik amalan hidup mereka yang umumnya tidak sihat itu, lelaki jugalah yang lebih jarang berjumpa doktor (mungkin kerana beranggapan diri mereka sihat sepenuhnya).

Bagi lelaki, kesihatan mereka bukanlah satu isu yang membuatkan mereka sering melengah-lengahkan rawatan sehinggalah ke saat-saat akhir.

Apa sebenarnya yang tidak kena dengan kaum Adam ini?

Pakar Perunding Urologi, Pusat Perubatan Subang Jaya, Prof. Datuk Dr. Tan Hui Meng mengakui, kebanyakan lelaki memilih untuk menderita dalam diam apabila memperkatakan tentang kesihatan.

“Lelaki mengatasi wanita dalam senarai 15 punca kematian utama di negara-negara maju dan sedang membangun.

“Walaupun perangkaan ini membimbangkan, namun kaum lelaki tetap mengabaikan kesihatan mereka.

“Umpama jatuh air muka mereka (apabila bercakap tentang kesihatan lelaki),” katanya selepas sidang akhbar pelancaran jurnal kesihatan lelaki (MH) di Pulau Pinang, baru-baru ini.

Beliau tidak menolak kepercayaan tentang sifat kelelakian dan peri pentingnya seseorang menjaga air muka yang sudah sebati dengan budaya dan masyarakat Asia.

“Kepercayaan sebegini sering mewujudkan batasan yang menyebabkan doktor dan kaum lelaki tidak dapat berbincang secara jujur dan terbuka tentang topik kesihatan sensitif.

“Ini seterusnya membawa akibat buruk yang mampu dicegah mahupun dirawat termasuk kematian awal,” katanya.

Dr. Tan berkata, oleh sebab lelaki menghadapi kemungkinan lebih tinggi menghidap penyakit kronik yang biasanya tidak menunjukkan sebarang gejala, lelaki dan doktor perlu memainkan peranan yang lebih proaktif untuk memantau kesihatan mereka.

Masalah seksual umpamanya boleh dijadikan kayu pengukur kesihatan lelaki:

– Lelaki yang menghidap gangguan ereksi (ED) kerap mengalami masalah kesihatan lain berbanding penduduk umumnya

– ED berkait rapat dengan tabiat merokok, kencing manis, sakit jantung dan darah tinggi, kemurungan dan keresahan

– Dengan kaitan ini, ED seharusnya dilihat sebagai petanda yang amat berguna untuk mengesan masalah kesihatan lain

– Antara 20 hingga 70 peratus lelaki Asia yang menghidap kencing manis turut menderita ED

– Lelaki yang didiagnos dengan ED didapati menghadapi kira-kira 60 peratus risiko sakit jantung dalam tempoh 10 tahun.

Dr. Tan berkata, perangkaan ini mungkin lebih membimbangkan kerana ED kurang dilaporkan dan masalah itu tidak dibincangkan secara meluas di kalangan lelaki terutamanya dengan para doktor.

Dalam satu kajian bagi meneliti masalah perubatan lelaki tempatan yang diketuai olehnya sendiri baru-baru ini mendedahkan, kira-kira suku daripada responden menghidap ED tetapi hanya 16 peratus yang pernah membincangkannya dengan orang lain.

Pemeriksaan perubatan lanjut mendapati, satu per tiga daripada semua pesakit menghidap ED sederhana hingga serius.

“Ini menunjukkan bahawa lelaki selalunya enggan mengakui masalah itu kepada diri mereka sendiri,” tegasnya yang menyifatkan kajian itu sebagai satu kejayaan besar.

Kajian yang sama menunjukkan, sehingga tahun lepas, sebanyak 62 peratus daripada lelaki berusia 50 tahun ke atas tidak pernah menjalani pemeriksaan berbanding 18 peratus di Barat.

Lelaki juga didapati lebih kerap menghidap penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan prostat berbanding penyakit yang mereka laporkan kepada doktor, jelasnya.

“Justeru, lelaki diminta mendapatkan rawatan perubatan segera sekiranya mendapati tanda-tanda awal penyakit tersebut bagi mengurangkan faktor-faktor risiko yang boleh membawa kepada masalah kesihatan yang kronik.

“Doktor tidak boleh membantu jika anda tidak datang berjumpa mereka,” tegasnya.

Mengulas mengenai penjagaan kesihatan lelaki, Dr. Tan berkata, ia tidak pernah diberikan perhatian menyeluruh di rantau ini lebih-lebih lagi jika dibandingkan dengan keutamaan yang diberikan kepada kesihatan wanita.

“Kaum wanita menjalani pemeriksaan perubatan dari masa ke masa untuk membolehkan mereka mengesan tanda-tanda awal bagi masalah kesihatan wanita yang serius.

“Jadi, tiada sebab mengapa kesihatan lelaki tidak boleh disamakan tarafnya dengan kesihatan wanita,” katanya.

Dalam masa yang sama, kesihatan lelaki turut memberikan kesan terhadap wanita, keluarga dan komuniti.

Bayangkan jika sebahagian besar lelaki di Malaysia ini jatuh sakit dan gagal memainkan peranannya dalam rumah tangga dan sosial.

Justeru, sudah tiba masanya lelaki belajar berdikari tanpa bergantung lagi kepada isteri atau ibu masing-masing yang secara tradisinya mengambil berat perihal kesihatan diri mereka sendiri.

“Kesihatan lelaki memerlukan anjakan paradigma baik dari segi pendekatan, kefahaman dan pengurusannya di kalangan doktor dan kaum berkenaan,” tambah pensyarah di Fakulti Perubatan Universiti Malaya itu.

Peningkatan kesihatan lelaki tidak boleh berlaku dalam tempoh semalaman tetapi ia boleh dimulakan sekarang.

Mengurangkan lebihan lemak pada perut merupakan langkah awal yang bijak kerana ia berisiko meningkatkan penyakit jantung, darah tinggi dan diabetes.

Cara-caranya ialah:

– Kurangkan makanan berlemak dan minuman berkarbonat sebaliknya meningkatkan pengambilan buah dan sayur

– Berjalan kaki sebanyak yang boleh untuk bergerak berbanding menaiki kenderaan

– Pilih untuk menaiki tangga dan bukannya menggunakan eskalator atau lif

– Di rumah, banyakkan pergerakan aktif daripada mengarahkan isteri atau anak-anak mengambil barang atau melakukan sesuatu.

Walaupun sesetengah lelaki menyangka bahawa menjaga kesihatan bukanlah sesuatu yang bersifat kejantanan, kebenarannya ialah:

“Lelaki yang mengambil makanan berzat, selalu bersenam dan berjumpa doktor apabila sakit mempunyai peluang yang lebih cerah untuk sebuah kehidupan yang lebih berkualiti,” akhiri Dr. Tan.

Berikut tiga soalan bagi menguji tahap kesedaran lelaki mengenai kesihatan diri sendiri:

– Di manakah kedudukan prostat anda yang tepat?

– Apakah fungsi kelenjar prostat?

– Adakah anda sudah membuat imbasan kanser prostat?

Oleh Shafinaz Sheikh Maznan

4 thoughts on “Bercakap mengenai masalah kesihatan tidak menjatuhkan air muka anda – Lelaki malas berjumpa doktor

  1. pada pendapat aku lah…untuk kesihatan diri sendiri takyah nak rasa malu…buat tak tahu je yang penting masalah kesihatan dapat diselesaikan…

  2. aku harian dengan laki aku….kuat merokok tapi badan sehat aje…cergas sampai ke malam…sedangkan aku waktu malam ..bila tengok TV…TV tengok aku balik..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s