Kekasih sebaya bapa

Saya gadis berumur 23 tahun dan lulusan pengajian tinggi swasta yang kini menunggu tawaran menyambung pengajian ke peringkat ijazah. Saya anak sulung daripada 10 beradik.

Keluarga saya kuat berpegang kepada ajaran Islam. Ibu bapa saya ustazah dan ustaz. Harapan mereka pada saya terlalu tinggi, mahu melihat saya berjaya dengan cemerlang.

Dua tahun lalu, saya diperkenalkan rakan dengan seorang lelaki melalui telefon. Abang A namanya. Dia mengambil berat mengenai diri saya dan selalu memberikan nasihat berguna.

Selama berkenalan, kami tidak pernah bertemu. Hanya telefon menjadi alat penghubung. Selepas setahun mengenalinya, dia dengan jujur memberitahu usianya 49 tahun, sudah berumahtangga dan ada empat anak.

Anak sulungnya juga dua tahun tua daripada saya. Saya sungguh terkejut tapi hanya mendiamkan diri pada mulanya. Bagaimanapun, selepas dia menyatakan meminati dan sayangkan saya, saya kalah pada kata-katanya.

Kini, kami masih meneruskan hubungan. Sehari jika kami tidak berhubung, pasti saya resah gelisah. Isteri serta anak sulungnya mengetahui hubungan kami. Pernah telefon bimbit abang A disorokkan dan dihempas kerana dia asyik SMS dengan saya.

Saya serba salah kerana seboleh-bolehnya saya tidak mahu mengganggu rumah tangga orang. Namun, saya sangat menyayangi abang A kerana dia pandai memikat serta sabar dengan sikap saya. Dia juga bijak mengawal keadaan apabila saya marah.

Saya minta dia lupakan saya dan tumpukan perhatian pada keluarganya, tetapi dia meluahkan hasrat ingin mengambil saya menjadi isteri kedua. Saya bersetuju dan berbincang mengenai hal pernikahan kami.

Bagaimanapun, isteri abang A tidak bersetuju. Dia mengamuk dan menentang sekeras-kerasnya, tetapi abang A nekad dengan keputusannya.

Kini, saya dilayan seperti isterinya. Gelaran isteri pada setiap mesej serta kata-katanya setiap kali bercakap begitu membahagiakan saya.

Saya tidak menceritakan lagi mengenai hal ini kepada ibu bapa saya. Saya takut pilihan saya akan ditolak mentah-mentah. Pasti bukan mudah untuk ibu bapa saya menerima menantu yang umurnya lebih tua daripada mereka.

Ibu bapa saya baru berusia 44 tahun, sedangkan abang A sudah 51 tahun. Adakah perlu saya tinggalkan abang A kerana ingin menjaga perasaan ibu bapa saya? Apakah ayat terbaik yang perlu saya ungkapkan kepada abang A jika saya tidak mahu lagi meneruskan hubungan kami?

INSAN DILEMA
Kuantan

Jawapan

Seorang lelaki berusia 51 tahun dan sudah berkeluarga bermain kata-kata cinta dengan gadis berusia 23 tahun yang naif dan mentah dalam percintaan. Dalam situasi ini, kemungkinan yang bakal berlaku tidak sukar ditelah.

Pasti sangat mudah untuk si lelaki ‘mengayat’ si gadis. Maklumlah, latar belakang mereka berbeza dan hakikatnya si gadis bukan ‘lawan’ setara untuk lelaki itu.

Inilah senario saudari sekarang. Perkara ini sebenarnya sangat nyata tapi disebabkan asyik bercinta, saudari mungkin tidak menyedarinya. Memang orang dilamun percintaan gagal berfikir secara normal seperti orang lain.
Sama ada suka atau tidak, hakikatnya saudari kini termasuk dalam golongan itu. Buktinya jelas. Lumrahnya, jika mahu berkahwin seseorang itu mesti ingin mengenali peribadi pasangan mereka, tapi itu tidak saudari lakukan.

Selama dua tahun, saudari dan abang A langsung tidak pernah bersua muka. Hanya dengan berhubungan melalui telefon, saudari berani memutuskan abang A layak menjadi suami saudari. Normalkah perbuatan ini?

Justeru, segeralah sedar daripada lamunan. Jangan terburu-buru untuk berfikir bagaimana cara memberitahu dan meyakinkan ibu bapa supaya menerima abang A, tapi berfikirlah adakah saudari sudah cukup mengenali lelaki itu untuk melayakkan dia menjadi bakal pasangan hidup.

Tindakan saudari untuk menjadi isteri kedua kepada lelaki yang umurnya lebih tua daripada bapa saudari juga boleh dianggap kurang normal, tapi ia bukanlah kurang waras berbanding bersetuju untuk berkahwin dengan lelaki yang tidak pernah ditemui, tapi hanya didengar suaranya perkenalan.

Oleh itu, Dang Setia berpendapat ada baiknya jika saudari bertemu muka dengan abang A terlebih dulu. Lihat dulu perawakan dan keperibadiannya kerana melihat mampu memberi lebih banyak informasi berbanding sekadar mendengar.

Ibu bapa saudari ustazah dan ustaz. Tanya mereka apa garis panduan Islam untuk mencari pasangan hidup. Kriteria utama yang Dang Setia percaya semua orang tahu ialah harus diutamakan agama, berbanding rupa atau harta.

Mengambil kira panduan ini, sudahkah saudari tahu sejauh mana komitmen abang A terhadap agama? Dang Setia bukan ingin buruk sangka, tapi ini satu tanggungjawab yang wajib dilakukan.

Satu lagi hakikat yang perlu diambil kira, ramai orang petah bercakap, tapi itu bukan jaminan mereka mampu mengotakan apa yang mereka cakapkan. Jadi, penting untuk kita menilai seseorang bukan sekadar melalui percakapannya.

Akhir sekali, Dang Setia percaya saudari gadis baik. Mungkin, saudari naif dan tiada pengalaman bercinta atau bergaul dengan ramai lelaki. Jadi, apabila berkenalan dengan seorang lelaki, mudah untuk saudari menganggapnya sebagai yang terbaik.

Justeru, Dang Setia mencadangkan saudari turut membincangkan hal ini dengan ibu bapa. Jangan ghairah untuk memujuk mereka supaya menerima abang A, tetapi tanya pendapat mereka wajarkah tindakan saudari itu dan adakah abang A benar-benar sesuai menjadi suami.

Sedarilah, tiada ibu bapa ingin melihat sesuatu yang buruk berlaku kepada anaknya dan anak juga harus tidak mudah pengorbanan ibu bapa, lebih-lebih lagi apabila mengenali cinta.

Dalam kes saudari, perkiraannya bagi Dang Setia sangat mudah. Antara ibu bapa yang membesarkan kita dengan penuh kasih sayang dan lelaki yang hanya kita kenal melalui telefon, tentu jelas siapa yang lebih layak diberi keutamaan.

~ Dang Setia, Metro

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s