Rancang kelahiran cahaya mata

Bak kata orang tidak elok sekiranya pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga menolak rezeki anak kurniaan Tuhan. Lazimnya, jarang yang menolak tetapi sekadar merancang kelahiran demi kebaikan pasangan pada masa tertentu.

Sejak kebelakangan ini, merancang kehamilan bagaikan trend semasa terutama di kalangan golongan berpendidikan tinggi, mereka yang berkahwin lambat dan juga datang daripada skala keluarga kecil.

Tetapi, tidak semua yang serasi dengan kaedah pencegah kehamilan tertentu. Bagi membantu pasangan merancang mencegah kehamilan banyak produk dan kaedah selamat pencegah kehamilan diperkenalkan di pasaran bagi memudahkan pasangan antaranya pil pencegah kehamilan mulut atau Oral Contraceptive Pill (OCP), sistem intrauterine (IUS), implan, suntikan, pelekat kontraseptif gelang vagina dan kecemasan.

Selain lelaki, wanita juga mempunyai kondom tersendiri bagi tujuan sama. Bagi kaedah alat dalam rahim ataupun diafragma juga boleh digunakan mengikut nasihat dan pandangan pakar sakit puan.

Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata walaupun kaedah dan produk mencegah kehamilan banyak dikeluarkan untuk kesenangan bersama, pengguna perlu mendapat rujukan doktor atau pakar sakit puan terlebih dulu bagi membincangkan kaedah betul dan bersesuaian bagi setiap individu.
ANTARA alat pencegah kehamilan.

“Sebelum menentukan kaedah pencegah kehamilan yang bersesuaian, terlebih dulu doktor akan melakukan ujian fizikal termasuk pemeriksaan payu dara, air kencing dan ujian darah, semakan tekanan darah, ukuran bagi ketinggian serta berat selain sejarah seksual individu,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata, kaedah mengambil pil pencegah kehamilan OCP dibuat sejak 40 tahun lalu dan ia adalah kaedah pertama mencegah kehamilan. Terbahagi kepada dua jenis iaitu gabungan pil (mengandungi dua hormon perempuan – estrogen dan progestin) sementara satu lagi dikenali sebagai progestin (hanya satu iaitu progestin dalam bentuk pil saja).

Dr Harlina berkata, wanita yang mempertimbangkan untuk mengambil pil berkenaan perlu memahami kebaikan dan risiko menggunakan bentuk kawalan kelahiran.

Bagaimanapun, katanya, OCP hanya boleh didapati daripada doktor yang akan menentukan jenis terbaik supaya kesihatan pengguna lebih terjamin.

“Bagi sistem IUS pula ia adalah satu alat kecil yang diperbuat daripada plastik mengandungi hormon progestin. Ia bekerja dengan menebalkan serviks dengan membentuk ‘penyumbat mukus’ dalam serviks. Berfungsi sebagai menghalang sperma daripada memasuki terus ke dalam rahim atau uterus untuk persenyawaan telur.

“Progestin yang terkandung di dalamnya menjadikan lapisan uterus lebih nipis dan menghalang persenyawaan telur. Ia bagaimanapun mungkin memberi kesan kepada ovari dan pengovulan tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata, kaedah menanam atau dikenali ‘implan’ menggunakan rod plastik yang dimasukkan di bawah kulit dalam lengan. Rod berkenaan mengeluarkan hormon progestin yang mampu menghentikan pengovulan lalu bertindak pada lapisan dinding uterus dan pada pintu masuk serviks yang menyukarkan sperma untuk memasukinya.

Selain itu, kaedah yang biasa dilakukan ialah suntikan hormon progestin pada bahagian otot lengan atas, punggung dan paha. Suntikan berkenaan hanya bertahan selama 10 hingga 13 minggu (iaitu kira-kira tiga bulan saja).

Suntikan seterusnya perlu dilakukan bagi mengekalkan pencegah kehamilan. Hormon progestin yang dikeluarkan menerusi suntikan melalui proses biasa sekali gus menghentikan pengovulan pada lapisan dinding uterus.

“Tanpa menyakitkan kulit atau organ dalam, kaedah melekatkan pelekat pencegah kehamilan pada kulit paling mudah. Pelekat berkenaan membebaskan dua hormon estrogen dan progestin seperti kaedah OCP menerusi aliran darah dalam kulit. Ia seterusnya menjalani proses sama iaitu menghentikan pengeluaran telur dalam ovari setiap bulan sekali gus menghalang kemasukan sperma ke dalam rahim.

“Pelekat berkenaan boleh dilekatkan di mana saja bahagian badan kecuali payu dara yang tidak terdapat luka. Ia melindungi daripada kehamilan serta-merta bermula pada hari pertama haid dan hari ketujuh,” katanya.

Dr Harlina Halizah berkata, gelang faraj juga antara kaedah terbaru bagi mencegah kehamilan yang mampu bertahan dalam masa empat minggu. Kaedah berkenaan kini mendapat sambutan di Eropah.

“Gelang plastik berkenaan sangat fleksibel pada saiz 2 inci atau 5.4 sentimeter (cm) dalam garis pusat dan 4 milimeter ketebalan. Ia sangat mudah diselitkan ke dalam vagina di mana ia ditinggal selama tiga minggu.

“Ia kekal dalam vagina sebelum dibuang bagi menjalani tempoh sebelum memasukkan gelang faraj lain pada setiap bulan,” katanya.

Golongan muda yang berkahwin, terutama yang baru mengejar kerjaya rata-rata mempunyai perancangan dan alasan tersendiri mengapa mereka memerlukan perancangan kelahiran. Namun, tidak dinafikan, ia juga berlaku kepada mereka yang sudah berkahwin lama bagi menjarakkan kelahiran anak.

Mencegah atau merancang kehamilan menerusi semua kaedah berkenaan memberi kebaikan kepada wanita, masyarakat, pasangan suami isteri serta anak-anak. Bagi pasangan ia adalah kaedah selamat dan mereka bebas menentukan jumlah cahaya mata yang dikehendaki.

Apa yang penting, kaedah yang disarankan itu mampu mengurangkan tekanan hidup sekali gus membantu dari sudut kewangan keluarga, selain meningkatkan tahap pendidikan dan ekonomi kekeluargaan.

INFO: Kaedah mencegah atau merancang kehamilan

# Pil pencegah kehamilan mulut atau Oral Contraceptive Pill (OCP)
# sistem intrauterine (IUS)
# implan
# suntikan
# pelekat kontraseptif
# gelang vagina
# pencegahan kecemasan
# kondom
# alat dalam rahim
# diafragma

Oleh Hidayah Mohammad

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s