Emak jadi kuli kerana takut anak

Minggu ini kita paparkan satu lagi kekesalan seorang kakak tentang perangai abangnya yang membuli ibunya sejak dia masih remaja lagi hinggalah dia berumah tangga kini, ibu dijadikan seperti hambanya untuk menjaga dirinya, anak dan rumah tangganya.

Kata Shareen dalam e-mel yang dihantarkan kepada penulis dan ketika kami berbual di telefon minggu lalu. Katanya dia dan adik berdiknya sudah lama memendam rasa tentang perangai abangnya itu sejak dia masih bersekolah lagi tetapi mereka tak berdaya bertindak, kerana ibunya sendiri nampaknya begitu sayang, takut dan tunduk kepada abangnya hingga langsung tak berani menegur kekasaran sikap abangnya, termasuk ayahnya sendiri.

Menurut Shareen setelah beberapa minggu mengikuti kisah menantu ‘selambaland’ dan anak yang tak mengenang budi, dia menjadi terpanggil untuk menyumbangkan kisah keluarganya, paling tidak ia menjadi iktibar kepada pembaca semua khususnya para ibu di samping melepaskan rasa sakit hati yang terbuku di hatinya selama ini.

‘‘Saya tertarik kisah ibu pilih kasih tiga minggu lalu dan kisah menantu ‘selambaland’. Saya berharap sangat agar abang dan kakak ipar saya terbaca luahan hati saya ini, bukan mengeji mereka, tetapi mengharapkan mereka sedarlah diri, kerana hidup ini bagaikan roda, selama mana anda hendak menghambakan ibu, dan ambillah iktibar kerana apa yang abang dan isteri dah buat sekarang menjadi contoh kepada anak-anak. Apa perasaan anda jika anak-anak membuat perkara yang sama kepada anda bila anda telah tua nanti.

‘‘Sebenarnya kisah kami ini banyak berlaku dalam keluarga Melayu. Terdapat ibu bapa baik, anak -anak pulak ambil kesempatan. Contohnya kalau kita lihat sekeliling kita, baik di kampung mahupun di bandar, trand ibu-ibu tua mengasuh cucu jadi perkara biasa.

‘‘Kalau menghantar anak-anak ke rumah ibu siap dengan pembantu rumah sekali tak apa jugalah, ini duit yang diberikan kepada ibunya tak seberapa berbanding tugas menjaga cucu yang ramai. Tak bolehkah memberi sedikit sumbangan kepada ibu dengan ikhlas tanpa membebankan mereka dengan tugas menjaga cucu dan tanggungjawab yang lain.

‘‘Maka jadilah ibu bapa macam orang beranak kecil, bukan setakat membasuh berak kencing cucu, tetapi melayan kerenah cucu zaman siber yang tak boleh ditegur dan dinasihati. Kita biasa dengar ibu-ibu tua merungut susah nak ke masjid atau ke mana saja kerana terpaksa jaga cucu. Tak cukupkan mereka menjaga kita hingga dewasa hingga di ulang tugas menjaga anak-anak kita pula?

‘‘Sebagai anak yang berpelajaran tak fahamkah anda dengan kesusahan ibu bapa membesarkan anda dulu, atau sengaja nak lepaskan tanggungjawab, boleh bersenang-enang bila pulang ke rumah tak payah jaga anak. Nak lebih senang duduk dengan emak supaya bila balik kerja makan minum dah terhidang. Contohnya abang saya dan isterinya, yang mementingkan diri sendiri.

‘‘Sebagai anak lelaki tunggal, emak tak pernah marah abang long, kami yang perempuan pantang silap sikit dengarlah ibu membebel melepaskan kemarahannya. Sikap ibu yang begini terbawa-bawa hingga along dewasa. Sebaliknya kita pulak dengar along marahkan emak kalau emak lupa beri makan ayam kesayangannya atau tersalah basuh bajunya hingga terlekat warna baju lain.

‘‘Cuba bayangkan hampir 15 tahun selepas tamat SPM along tak pernah bekerja, makan minum dan duit sakunya ibu yang beri, kerjanya duduk bersembang di kedai kopi dan balik larut malam. Emaklah yang terpisat-pisat buka pintu bila along balik malam hari. Kadang tu bila balik nak makan pulak terpaksalah emak siapkan makanannya. Emak takutkan along lebih daripada ayah.

‘‘Sakitnya hati kami adik-beradik Allah saja yang tahu, kami kesiankan emak yang terpaksa bekerja kilang untuk membantu ayah menampung hidup kami. Jam 4 pagi emak bangun buat nasi lemak untuk jualan di kilang sebagai tambahan duit sayur. Tapi bila dapat duit along mintak.

‘‘Habis SPM, kami 4 orang anak perempuan melanjutkan pelajaran dan seterusnya bekerja di bandar. Tinggallah along dengan adik perempuan yang masa itu masih belajar. Ketika itu kerenah along menjadi-jadi berlagak macam orang bekerja, pakaian nak yang berjenama, emak terpaksa ikut sebab takut along tengking. Ayah pernah marahkan along, tetapi dia lawan ayah bertekak.

‘‘Bila cuti semester, kamilah yang tarah rumput bersihkan laman dan longkang, bantu emak buat nasi lemak dan kuih jualan. Saya memang meluat dengan sikap pemalas along, tapi saya tak larat nak nasihatkan emak, sebab emak lebih ikut cakap along.

‘‘Setelah kami bekerja, kami beri emak duit supaya dia tak susah belanja dan tak berjualan lagi kerana dah tua, tetapi hidup along yang semakin mewah dan jadi lebih pemalas. Baru lima tahun lepas dia mula bekerja, tapi tak tetap, sebab tak suka dikerah.

‘‘Bila dah bekerja ingatkan senanglah emak, tapi satu masalah baru timbul dah ada girlfriend lepas tu bil telefon pulak mencecah lebih RM300 sebulan. Bila dapat surat amaran nak potong telefon emak telefon kami, terpaksa kami pulak selesaikan. Sedangkan telefon tu penting untuk kami yang jauh ini bertanya khabar emak dan ayah.

‘‘Kami selalu ajak emak dan ayah datang ke rumah kami, tapi emak tak mahu katanya nanti along susah nak makan. Kadang tu kami kecil hati dengan emak terlalu pentingkan along, hinggakan tak nampak kesusahan dan perasaan kami. Itu cerita along sebelum kahwin, dah kahwin lagi teruk.

‘‘Peliknya along cuma lulus SPM tapi isterinya ada diploma, itu kami tak kisah, tetapi masalahnya along yang gaji tak seberapa ini kena tanggung isterinya, kerana isterinya kena tanggung ibu bapa dan adik beradiknya yang masih belajar. Bila tak berduit emaklah tempat along minta bantuan.

‘‘Masa baru kahwin, mereka duduk rumah emak, tapi tak lama isteri along ajak pindah sebab tak suka adik saya. Bila dah pindah tak nampak muka isterinya datang ke rumah kami, benci sangat pada kami adik-beradik saya, tapi tak lama kemudian bila dia mengandung, dia balik duduk rumah emak balik. Buat baik semula dengan kami. Tapi bila dalam pantang dia pindah semula duduk dengan emaknya, alasannya tak suka cara emak layan makan minumnya masa dalam pantang.

‘‘Kami tak kisah dia nak pindah tapi yang kesalnya dia boleh maki hamun emak kami kerana tak setuju cara emak layan makan minumnya. Macam-macam tuduhan dia burukkan nama emak konon emak sengaja nak susahkan dia masa dalam pantang. Kami ‘hangin’ bila dapat tahu dia menghamun emak, terutama bila dia tuduh emak tak tahu jaga anaknya.

‘‘Bila menumpang di rumah mertua, baru mereka tahu perangai along, akhirnya mereka suami isteri bergaduh pulak, baru mereka tahu gaji along tak seberapa. Akhirnya bila duit nak beli susu pun tak cukup apa lagi nak beli lampin, isteri along sanggup balik menumpang di rumah emak. Memang dia muka tebal tak malu langsung dengan emak yang pernah dimaki hamunnya dulu.

‘‘Nak jadikan cerita baru 2 hari pindah ke rumah emak saya pulak balik ke kampung. Terkejut isteri along, sebab malu terpaksa jilat ludahnya balik. Kerana masa pindah dulu isteri along bersumpah tak akan jejak rumah emak. Tapi tak sampai enam bulan dah pindah balik.

‘‘Masalah besar mereka tak ada orang nak jaga anak, sebab emaknya tak mahu jaga lagi kerana upah yang diterima tak seberapa. Sementara gaji isteri along dihabiskan untuk adik-adiknya yang masih belajar atas permintaan ibu bapanya.

‘‘Kami adik-beradik dah syak isterinya takkan kekal duduk rumah emaknya, sebab dia terpaksa tanggung adik-beradik dan ibu bapanya, mana nak cukup duit untuk belanja anaknya, lainlah kalau duduk rumah emak saya, tak payah bayar upah jaga anak, makan minum percuma.

‘‘Saya pernah bersuara minta along cari pembantu jaga anaknya, sebab emak dah tua lagi pun dia terpaksa buat jualan untuk tambah duit belanja pasar, sebab along sekeluarga tinggal bersama emak. Tapi along buat pekakkan telinga. Bila cakap banyak dia mengmuk.

‘‘Bila duduk dengan emak mereka suami isteri boleh relaks bila balik dah malam lepas mandi terus makan sebab emak dah hidangkan makanan, lepas makan main-main dengan anak sejam dua lepas tu tidur. Pinggan makan sendiri pun tak mampu nak basuh. Apa lagi nak cuci pakaian atau berkemas bilik. Emaklah memasak, mengasuh cucu, mencuci pakaian berkemas rumah dan segala-galanya. Emak duduk di dapur dari subuh sampai jam 11 baru masuk tidur. Setiap kali balik kerja mereka mengaduh penat, apa mereka fikir ke emak pun penat dan perlu rehat. Saya tak dengar cerita orang, saya lihat sendiri bila sesekali balik ke kampung. Sakitnya hati!

Demikian cerita dan harapan Shareen adik-beradik terhadap abangnya, doanya supaya abngnya segera berubah. Benar kata Shareen masalah ibu bapa menjaga cucu memang dah jadi trand zaman ini. Memang ada ibu rasa membebankan, tetapi ada yang suka, namun harapan ibu dan ayah selagi anak-anak tidak menyusahkan hati dengan masalah tentu mereka merasa lebih lega.

Di Celah-celah Kehidupan
http://www.dcckmona.com
dcckmonaum@hotmail.com

6 thoughts on “Emak jadi kuli kerana takut anak

  1. itulah fenomena masa kini..ibu di jadikan orang gaji…anak menantu sepatutnya faham..ttp sebaliknya…

    nenek memanglah sayang kan cucu mereka..tetapi janganlah bebankan mereka…mereka dah jaga kita waktu kecil…anak2 kita pandai2lah sendiri…

  2. Shareen akak berpesan pada adik supaya bila dah besar jgn buat, bagaimana along telah lakukan pada mak. Itu satu contoh yang tidak baik bagi kita seorang anak yang durhaka pada kedua ibu bapa kita, jgn sesekali kita pandang mereka seperti pandangan yang tidak baik sedang merekalah yang membesarkan kita, malah dosa anak dibawah telapak kaki ibu… Jadikan satu contoh, untuk anak kita ok salam dari akak baiii……

  3. -Taka semisti org yg memakai BMW dapat menyara emak de kg.
    -tak perlu pakai seban putih baru tahu atau kesedaran diri
    -tak perlu jumpa counselling untok sadarkan diri
    -pucuk pangkal kesedaran diri sendiri..dari mana kita berasal-kemana kita nak kembali atu tujui.
    -kefahaman surga di tapak kaki ibu
    -Anak yg di sayangi masa kecil hingga dewasa lah tidak akan menghirau kan kebajikan ibu di masa tua.
    -Anak yg seakan akan kurang mendapat kaseh sayang dari kecil sampai ke remaja ..selalu nya akan mendekati dan menyenangkan kehidupan ibu masa tua nya..walau pun terpaksa berkorban keluarga sendiri
    -Orang pandai bercakap berkobar2 lah akan berbuat sedemikian….

    -Yang pelik nya ..ibu tetap ibu..tak perduli langsung tentang diri nya yg dipermainkan atau abaikan…O”QH IBU”…aku akan berpanas ujan ..untok balik jumpa mu hari rayo cino ni…konggsi laya..ok

  4. selalunya kalau dah ramai anak .. akan ada terkurang dan terlebih kasihnya ibu .Dan yang mendapat terkurang kasihnya ibu itulah yang selalu menjaga kebajikan ibunya sementara yang mendapat lebih kasehnya ibu seakan akan melupakannya ..

  5. seorang ibu bukan hendak meminta duit dari anaknya, tp cuba kawan2 fikir mereka perlukan perhatian dari kita setiap hari menanti kepulangan anak hahaha…..:((:((:(( tp kl kita tak balik sibuk memanjang beliau akan terasa diri beliau tidak diperlukan lagi tul tak ;));));))
    janganlah kita bermegah-megah dengan kekayaan kita, nnt suatu hari tuhan akan ambil balik rezeki kita….. oh tidakkkkkkkkk aku tak akan melupakan kedua ibu bapa ku amponkan dosa anak mu wahai ayah & ibu………….

  6. Sy terpanggil utk bce blog ni pun sbb sy rse perkara yg sama. Sumpah sy pling menyampah dgn org yg da berumah tngga tp msih menyusahkan ibu bapa yg da tua. Tp kalau nk dibandingkn dgn kisah shareen ni jauh lebih hebat dugaan dia jika nk dibandingkn dgn sy. Msih rse syukur dan cuba membina semangat positive utk terus bertahan dengan karenah psgan adk bdk & ipar duai yg memberi masalah & beban kpd ibu bapa sy.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s