Isteri curang ‘naik tocang’

Hanya kerana terlalu sayangkan isteri, seorang lelaki berjawatan tinggi dengan pendapatan lebih RM10,000 sebulan sering menjadi mangsa buli isterinya, termasuk dicederakan.

Paling menyedihkan, dia hanya diberikan wang saku RM20 setiap hari kerana wang gaji bulanannya dikawal isterinya.

Lebih malang, wanita itu turut mengambil kesempatan bermain kayu tiga apabila menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain.

Bagaimanapun, lelaki itu yang terlalu sayangkan isterinya hanya berdiam diri walaupun dia sepatutnya menjadi ketua keluarga.

Kisah pasangan suami isteri itu terbongkar apabila si suami cuba mencari jalan penyelesaian dengan melaporkan perbuatan isterinya kepada Jabatan Pembangunan Wanita Perlis, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita negeri, Affendi Rajini Khan, berkata pihaknya terkejut apabila menerima laporan daripada seorang lelaki berjawatan tinggi berusia lewat 30-an itu yang tidak tahan diperlakukan seperti hamba.

Beliau berkata, lelaki berkenaan menemuinya untuk mendapat khidmat nasihat akibat perbuatan isterinya.

“Mangsa mengadu wanita itu berang baru-baru ini apabila ditegur ketika berselisih faham dengannya.

“Wanita itu bertindak kejam dengan membaling tudung periuk tepat mengenai dahinya hingga luka serta meninggalkan parut,” katanya ketika ditemui, semalam.

Menurutnya, lelaki itu turut mendakwa isterinya mempunyai teman lelaki yang pernah datang ke rumah.

Affendi berkata, suami wanita itu enggan bertindak balas terhadap isterinya kerana dia seorang yang penyayang.

“Dia memberi alasan terlalu sayang dengan tiga anak mereka hingga menyebabkannya mengikut segala arahan isteri,” katanya.

Selepas mendapat bimbingan dan kaunseling daripada jabatan, kata Affendi, lelaki itu memperoleh keyakinan diri dan mampu membina semula keluarganya seperti dituntut Islam dan lazimnya dalam sesebuah keluarga.

Ditanya kaedah digunakan bagi memulihkan keyakinan suami, beliau berkata, antara lain, lelaki terbabit diarah menunjukkan sikap sebagai seorang suami yang bertanggungjawab bagi mengelak dikategorikan sebagai dayus.

Beliau berkata, pihaknya terkejut apabila lelaki itu menyatakan isterinya menyalahkan dia kerana gagal bertindak tegas ke atas perlakuan buruk isteri selama ini.

“Kami mendapati sikap terlampau sayang dan takut menegur menyebabkan si isteri naik tocang lalu bertindak di luar batasan untuk menguji kesetiaan suami,” katanya.

Affendi berkata, jabatannya banyak menerima aduan berkaitan poligami, perceraian serta cabul dan rogol selain permohonan bantuan kewangan.

“Kami terima banyak aduan setiap bulan. Namun, kami cuma mampu memberi kaunseling dan bimbingan kepada mereka,” katanya.

Sepanjang tahun lalu, jabatannya dapat menarik lebih 5,000 penduduk untuk menyertai pelbagai program anjurannya termasuk kempen memerangi HIV/Aids, wanita dan kesihatan, dialog dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komunikasi rumah tangga.

Oleh Rashidi Karim

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s