Keinsafan bantu atasi masalah sosial

Masalah sosial yang diutarakan ini dirasai oleh setiap orang yang mengikuti perkembangan terkini di tanah air kita. Dalam usaha membicarakan, dan mengatasinya, setiap orang, tidak kira siapa perlu bersifat ikhlas lagi telus.

Tidak dapat dipastikan secara khusus punca berlakunya pelbagai gejala sosial . Setiap masalah mempunyai punca yang berbeza, walaupun demikian, faktor-faktor tersebut, sama ada faktor dalaman atau luaran dapat dianalisis dan difikiri logiknya.

Dari pendekatan agama, manusia dijadikan Allah mempunyai tabiat di mana nafsunya, atau naluri semula jadinya lebih cenderung melakukan kejahatan (Yusuf: 53), berbanding dengan kecenderungan melakukan kebaikan. Kerana itu, sekiranya seseorang itu melayani kecenderungan nafsu tersebut, tidak berusaha untuk menahannya, atau tidak berupaya menahannya maka dia akan terjebak melakukan kejahatan.

Allah memberi nikmat nafsu seks pada setiap manusia normal. Untuk menyalurkan nafsu seks tersebut, Allah memberi jalan agar setiap orang itu berkahwin, bernikah dengan cara yang betul, menurut undang-undang yang telah ditentukan. Dengan demikian zina atau rogol itu dapat dielakkan. Walaupun demikian ada orang yang telah berkahwin, mempunyai isteri, tetapi masih lagi melayani nafsunya, apatah lagi dengan adanya rangsangan atau peluang berbuat demikian. Dari sinilah berlakunya persundalan dengan anak tiri, adik ipar, dan sebagainya.

Selain mempunyai isteri, ada lelaki yang tidak mempunyai isteri, tidak berkeupayaan untuk berkahwin lagi, kerana faktor usia, latar belakang kewangan, atau suasana sekeliling yang mempengaruhi, tetapi masih mempunyai nafsu yang kuat, maka dari sinilah timbulnya mereka yang merogol cucu, orang-orang tua lebih daripada enam puluh tahun menapak menaiki anak-anak tangga hotel melanggani pelacur.

Tidak dapat dipastikan bahawa masalah sosial terkini lebih serius berbanding dengan apa yang berlaku sebelumnya. Tidak ada statistik menunjukkan bukti tersebut. Tidak dinafikan bahawa hal seumpama itu juga berlaku sebelum ini, tetapi tidak disiarkan di muka akhbar, televisyen dan sebagainya, menyebabkan apa yang berlaku tertutup dan dilupai. Walaupun demikian, apa yang berlaku sekarang ini memang terlalu membimbangkan semua orang.

Kecenderungan nafsu seperti yang dijelaskan ini digalakkan pula oleh rangsangan luar yang terjadi secara langsung dan tidak langsung. Di antaranya ialah rangsangan daripada video lucah, yang boleh diperoleh di mana-mana, terutamanya sebelum kerajaan berusaha bersungguh-sungguh menghapuskannya. VCD lucah boleh didapati dengan hanya RM5 sekeping, yang boleh disimpan, dalam beg sekolah, ditukar tonton dengan kawan-kawan sedarjah, atau sekampung, atau ditonton sama-sama di rumah sewa atau tumpangan, di asrama, kilang atau rumah sewa pelajar dan pusat pengajian tinggi. Di dada akhbar, majalah-majalah gambar perempuan separuh bogel, memperlihatkan ketiak, buah dada separuh menonjol, ataupun di televisyen boleh dilihat dengan bebas, oleh datuk, nenek, emak, bapak, cucu cicit, termasuk bayi yang baru lahir yang diletakkan di hadapan kaca TV sambil menghisap puting susu di mulut. Inilah di antara perangsang nafsu, kecuali di kalangan bayi tadi, tetapi digemari ramai.

Begitu juga halnya dengan iklan-iklan di tepi-tepi jalan raya, dan lain-lain lagi, termasuk panggung wayang. Semuanya dilakukan kerana demi untuk memperoleh wang atau untuk menyara hidup. Dilakukan demikian kerana sebahagian pelanggan yang gemar menatap majalah atau lampiran surat khabar yang mengandungi gambar perempuan separuh bogel. Dengan demikian, ia menjadi daya penarik melariskan barangan yang dijual. Akal seumpama sudah buntu mencari jalan lain untuk melariskan jualan surat khabar atau majalah selain daripada mengutarakan kaedah yang boleh merangsang nafsu. Tanpanya, majalah atau surat khabar menjadi nipis volume jualannya, yang mungkin menyebabkan majalah-majalah tidak terbeli lalu hilang pekerjaan.

Kesemuanya ini adalah di antara rangsangan untuk menggalakkan seseorang yang telah mempunyai nafsu semula jadi melaksanakan kehendak nafsunya, yang akhirnya boleh menyebabkan berlakunya zina, merogol, melanggani pelacur dan lain-lain lagi. Bagi orang yang mempunyai wang mereka tidak melakukannya sedemikian rupa, tetapi dengan cara lain, seperti menyimpan perempuan simpanan atau lain-lain cara, tetapi kesemuanya mengarah ke satu tujuan, iaitu melaksanakan kecenderungan nafsu secara tidak sihat.

Atas alasan inilah maka Islam memberi jalan keluar mengatasi kemelut semula jadi ini dengan berkahwin. Bagi orang yang masih bernafsu, mempunyai kedudukan ekonomi dan berkeyakinan terhadap isteri yang ada, juga bakal isteri yang dikahwini, ia diharuskan berkahwin lagi. Perlu difahami bahawa Islam tidak mensyaratkan keizinan isteri dalam usaha berbuat demikian. Syarat-syarat yang dikenakan oleh jabatan agama negeri di Malaysia terhadap mereka yang hendak berpoligami hanya merupakan usaha agar pelaksanaan poligami itu dilakukan dengan jelas, adil dan tidak disalahgunakan, oleh kaum lelaki, kerana sebahagian daripada lelaki yang hendak berpoligami telah menyalahgunakan keharusan yang ditetapkan oleh Islam, yang membawa kesengsaraan kepada isteri-isteri yang dikahwini, juga anak-anak yang dilahirkan.

Peluang-peluang melakukan jenayah sekarang ini juga lebih terdedah berbanding dengan suasana zaman dahulu. Penglibatan kaum wanita, sama ada di kilang-kilang, kompleks beli-belah, pejabat-pejabat dan sebagainya menyebabkan kaum wanita terpaksa meredah malam, di tempat-tempat atau lorong sunyi bersendirian.

Sesetengah gadis terlalu berani dengan lelaki, termasuk lelaki yang baru dikenali. Sebahagian daripada mereka hidup terpisah daripada kaum keluarga yang tinggal di kampung. Mereka terlalu berani dibawa jalan, menenggek atas motor, biarpun hanya dengan perkenalan selama setengah jam, dan tidak berasa janggal dibawa parking di tempat sunyi, dalam kepekatan malam jauh dari manusia.

Apa tujuan seorang lelaki membawa seorang gadis yang baru dikenali ke rumah tumpangannya yang tidak berpenghuni lain, ke bawah pokok, atau di tempat-tempat lain seumpamanya. Adakah mereka hendak berbincang tentang masa depan keluarga, kerjaya, negara atau makan malam. Jawapan yang dapat diramalkan oleh semua orang ialah untuk berseronok-seronok, memuaskan nafsu, yang memang lebih berkecenderungan melakukan kejahatan. Dari sinilah berpuncanya perzinaan. Terdapat kes-kes di mana perempuan yang baru dikenali tadi dibawa ke rumah tumpangan di mana di dalam rumah itu memang sudah ada teman-teman lelaki lain, lalu akhirnya terjadi rogol beramai-ramai.

Rogol seperti ini ada kalanya berlaku tanpa dirancang, di mana mereka tidak berniat untuk merogol perempuan yang dibawa pulang tadi, dan ada kalanya berlaku secara terancang.

Apa yang didedahkan oleh akhbar dan sebagainya, yang melibatkan polis adalah sebahagian daripada kejadian yang terjadi. Mereka yang terlibat dengan persundalan, berlaku suka sama suka, atau tidak sama-sama suka tetapi tidak menimbulkan masalah, masalah keluarga, tidak mengandung dan sebagainya, kebanyakannya dibiarkan begitu sahaja, apatah lagi sekiranya kes tersebut melibatkan perempuan yang telah cukup umur. Fenomena demikian memperlihatkan bahawa kes-kes sosial seperti ini hakikatnya berlaku lebih banyak daripada apa yang dipaparkan di media massa.

Kebanjiran tenaga kerja asing di Malaysia, terutamanya di Semenanjung mencipta dan menambah masalah sosial yang telah sedia rancak. Kebanyakan mereka yang datang ke sini adalah tenaga muda, yang mencetuskan masalah penempatan, masalah jantina, pembuangan anak dan sebagainya. Keadaan ini ditambah dengan kehadiran mereka yang datang menyeludup secara haram yang didalangi oleh tekong-tekong, juga mereka yang datang dengan menggunakan pas pelawat, diupah oleh penduduk tempatan yang memerlukan tenaga mereka di sektor pembinaan, perladangan, kebun-kebun kecil terutamanya kelapa sawit, kelapa dan sebagainya, yang tidak upaya dilakukan oleh tenaga muda tempatan yang lebih gemar menumpukan kerjaya di kilang-kilang.

Semuanya ini menambahkan lagi indeks masalah sosial di Malaysia lalu akhirnya rangkaian ini bersatu, ditambah oleh pengusaha rumah-rumah pelacuran yang melibatkan kaum pendatang yang menggunakan pas pelawat atau yang diseludup, yang kesemuanya memberi keuntungan besar kepada segelintir manusia yang tidak pernah memikiri implikasi sosial akan tercetus daripada tindak-tanduknya.

Masalah sosial yang semakin menjadi-jadi ini terus mengancam apabila peruntukan undang-undang yang telah tersedia ada seumpama sukar untuk diimplimentasikan akibat kekurangan tenaga penggerak yang berupaya melaksanakan pencegahan jenayah yang berlaku.

Pembinaan lebuh raya utara selatan dan keyakinan pelabur terhadap Malaysia telah merancakkan kemunculan pusat beli-belah di seluruh bandar, kilang-kilang, kawasan perumahan dan sebagainya. Walaupun demikian, kepesatan pembangunan, dan mobiliti manusia yang terus-menerus berlaku itu tidak seimbang dengan perkembangan bilangan anggota pelaksanaan undang-undang, terutamanya bilangan anggota polis.

Keadaan ini menyebabkan pengawasan dilakukan begitu terhad, sama ada di kawasan-kawasan perumahan, kilang-kilang, di pesisiran laut atau laluan penyeludup dan sebagainya.

Jelasnya masalah sosial yang berlaku di negara kita ini mempunyai punca yang berangkai, yang sukar dirungkai sekali gus, atau diselesaikan pada punca yang khusus, kerana ia saling mengait di antara satu dengan yang lain.

Allah menjelaskan bahawa manusia itu dijadikan dalam keadaan serba tidak puas, resah gelisah, sama ada dalam keadaan senang menerima nikmat Allah, ataupun ketika dalam kesusahan menerima cubaan Allah. Walaupun demikian, sekiranya seseorang itu berupaya melakukan ibadah sembahyang terus-menerus, dan sembahyangnya diterima Allah, sifat-sifat buruk, yang menjadi tabiat semula jadi manusia itu akan terhakis hilang. Atau lebih jelas, seseorang itu, dalam usaha mengelakkan daripada kejahatan, mesti beriman kepada Allah, dan melakukan suruhan-Nya, kerana sembahyang itu lambang kesempurnaan iman. Iman tidak diperoleh kecuali dengan pembelajaran, yang dituruti oleh amalan, iaitu ibadah kepada Allah.

Usaha mengenakan hukuman denda, penjara dan sebagainya merupakan salah satu jalan menyekat atau mengurangkan berlakunya masalah sosial termasuk rogol, bunuh, rasuah dan sebagainya. Satu usaha zahiri. Walaupun demikian, kesedaran atau keinsafan dalam diri adalah paling utama, yang boleh menyedarkan seseorang itu daripada terlibat atau terjebak dengan pelbagai masalah sosial.

Manusia mempunyai banyak ikhtiar, helah dan keupayaan apabila bertekad melakukan sesuatu, termasuk melakukan kegiatan jenayah, yang mencetuskan masalah sosial. Kerana itu, biar betapa rapi pengawasan dilakukan, undang-undang dikenakan, dan hukuman ditetapkan, masalah sosial tetap berlaku selagi keinsafan dalam diri tidak wujud. Kerana itu kesedaran paling penting dalam usaha mewujudkan pencegahan masalah sosial, yang selalunya dikaitkan dengan kesedaran beragama.

Dr. Amran Kasimin

3 thoughts on “Keinsafan bantu atasi masalah sosial

  1. Saya amat bersetuju dengan pendapat Dr Amaran. Persoalan nya masalah ini bukan sahaja di kalangan remaja. Malah semua peringkat usia baik yg berpendapatan rendah atau berjawatan tinggi. Bagi mereka kaum bangsawan atau ber duit biasanya lebih well-plan dalam merencanakan ke maksiatan nya lalu seolah-olah masalah sosial banyak tertunpu pada remaja atau gologan pendapatan rendah.

    Apa pun keadaan, pada mereka yang masih waras dan pihak-pihak tertentu tidak boleh berputus asa dalam soal ini dan perlu meningkatkan usaha-usaha untuk meminimakan keadaan.

    Walaupun masalah ini agak komplek dan banyak punca yg agak sukar untuk di selesaikan. Salah satu yg ingin saya utarakan ialah kenapa dan mengapa pocedure untuk berpoligami terlalu susah, malah keizinan dari seorg isteri satu perkara yg hampir mustahil dan ianya pun tidak di syaratkan dalam Islam walau pun Jabatan agama mempunyai alasan tertentu dalam soal ini mengikut pandangan mereka. Akan tetapi kalaulah ia ada sedikit kelonggaran dalam soal ini, mungkin inplikasi nya sedikit sebanyak dapat menyumbang untuk mengurangkan fenomena yg sedang berlaku.

    Jabatan agama perlu dinamik bukan static. Seperti mana pendapat Dr Asri (Bekas mufti perlis), kita perlu rigid dalam soal akidah dan longgar dalam soal fiqah, tetapi banyak yang berlaku ada lah sebalik nya. Kenapa Jabatan tidak berani untuk ke depan dan mengubah enekment soal poligami yg hanya di implikasikan di Malaysia sahaja.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s