Penderaan mental lebih menyiksakan

Sebaik mendapat nombor telefon daripada pihak Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), penulis segera menghubungi Jamaliah Abd Jabbar, 37 (bukan nama sebenar). Daripada nada suaranya yang tenang dan jelas, pada telahan penulis dia seorang yang berfikiran positif.

Ketika diberitahu kisahnya mahu disiarkan kerana menepati tema Hari Wanita Antarabangsa 2009 iaitu Wanita dan Lelaki Bersama Menentang Keganasan Ke Atas Wanita dan Kanak-Kanak, dia nyata tidak keberatan.

Bahkan, dia bersedia berkongsi pengalaman yang menjadi noda hitam dalam hidupnya asal ia boleh dijadikan iktibar dan pengajaran untuk insan lain.

Menerusi perbualan telefon, pertemuan kami diatur dan kebetulan pula Jamaliah bercuti pada hari tersebut kerana anak bongsunya demam.

Untuk memudahkan urusan beliau, penulis mengajak beliau bertemu di sebuah hospital, bak kata pepatah, sambil menyelam minum air. Sementara menunggu giliran anaknya menerima rawatan, penulis mengambil kesempatan berkongsi kisah kehidupan wanita ini.

Sebelum memulakan perbualan, Jamaliah yang selesa berbaju merah dan berseluar jeans, berkali-kali menyatakan kisahnya mungkin tidak seberapa dan dia percaya penulis mungkin pernah menemubual kisah yang lebih hebat.

Mengejutkan saya

Dia merendah diri, barangkali dia menganggap kisahnya mungkin tidak ‘sehebat’ individu yang pernah disepak terajang oleh suami. Tetapi penulis menafikan, kerana bagi penulis setiap pengalaman yang dilalui seseorang itu pasti berbeza.

Ini kerana sebagai insan biasa, kita tidak mampu untuk menjadi ‘hakim’ dalam kehidupan yang dilalui oleh orang lain.

Bertemankan anak bongsunya, Alysha, tiga, mereka mengambil nombor giliran dan perbualan bermula dengan kisah pertemuan Jamaliah dengan bekas suaminya, Ismadi, 40 (bukan nama sebenar.)

“Perkenalan kami bermula di stesen keretapi. Pada mulanya saya tidak begitu menghiraukan dia, namun setiap hari bertemu di lokasi yang sama, kami mula berkawan dan semakin rapat.

“Setahun selepas berkenalan, kami mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga,” kata Jamaliah menyingkap peristiwa yang berlaku 15 tahun dahulu.

Dijadikan cerita, pada hari persandingan, bekas kekasih suaminya hadir tanpa diundang dan pada waktu makan beradab, suaminya menjamah sesuap nasi dan terus pergi melayan bekas kekasihnya.

“Tindakan suami yang melayan perempuan lain sewaktu makan beradab itu sememangnya mengejutkan saya dan seluruh ahli keluarga.

“Ayah saya meminta saya untuk jangan cepat melenting kerana saya kini sudah bergelar isterinya dan berusaha menunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri dengan baik,” ujar Jamaliah.

Memegang kata-kata semangat daripada ayahnya, Jamaliah menghadapi hari-hari mendatang seperti pasangan suami isteri lain.

Pergaduhan memang asam garam rumah tangga, sehinggalah satu hari suami diberhentikan kerja. Ketika itu Jamaliah sendiri sedang sarat mengandungkan anak sulung.

“Walaupun suami diberhentikan kerja, pendapatan saya sebagai pekerja kaji selidik bebas sedikit sebanyak dapat menampung belanja dapur. Tetapi kesabaran saya teruji apabila dalam keadaan yang sukar seperti ini suami pula mengambil satu persatu barangan rumah dan diberi kepada ibu tirinya.

Dengan kekasih lama

“Memang orang akan pelik mendengar perangai suami, tapi itulah hakikat yang saya tanggung selama ini, penderaan emosi. Pada masa yang sama suami masih menjalinkan hubungan dengan kekasih lamanya,” cerita Jamaliah.

Walaupun suami tidak bekerja, Jamaliah cuba sedaya upaya untuk tidak menambah tekanan yang dialami suami tersayang, sebaliknya berusaha melayan makan minum suami dengan baik.

“Saya lebih banyak memendam perasaan, perangai buruk suami tidak pernah saya ceritakan pada adik-beradik atau ahli keluarga lain kerana saya mahu ahli keluarga menghormati suami,” jelas Jamaliah penuh ikhlas.

Mungkin kerana rezeki anak yang semakin bertambah, suaminya kemudian mendapat pekerjaan di sebuah syarikat insurans. Jamaliah turut diterima bekerja di organisasi yang sama.

“Di pejabat baru, kami ditempatkan di jabatan yang sama. Malah rakan sekerja menganggap kami pasangan romantis, dia memang melayan saya dengan baik, romantik sehingga ramai yang cemburu.

“Namun di sebaliknya siapa yang tahu, memang susah untuk saya ceritakan perihal suami pada yang tidak pernah melalui pengalaman seperti saya,” tambahnya.

Walaupun kedua-duanya bekerja, tapi pendapatan suami tidak pernah cukup. Jamaliah bukan saja menanggung semua perbelanjaan rumah malah hutang suami pada ceti haram pun turut dibayar.

Pada masa yang sama, suaminya semakin galak dengan perempuan lain dan itu mungkin penyebab wang gajinya tidak pernah cukup.

“Mana ada wanita yang membenarkan suaminya mengajak kekasih ke rumah dan bersembang, tapi saya sudah melalui semua itu,” ujar Jamaliah penuh emosi.

Tidak tahan dengan penderaan emosi oleh suami, pada tarikh 22 Disember 2002, mereka bercerai. Ketika itu mereka telah memiliki tiga cahaya mata.

Perceraian itu juga berpunca dengan tindakan suaminya yang mahu berkahwin lagi satu.

“Pada usianya yang muda dengan anak-anak masih kecil ditambah pula dengan pendapatan bulanan yang tidak mencukupi, macam mana saya nak izinkan dia berkahwin lain.

“Disebabkan saya tidak mahu dimadukan, kami mengambil keputusan untuk bercerai walaupun mendapat bantahan daripada keluarga terutama bapa mertua yang mungkin mahu anak lelakinya mencontohinya berkahwin empat,” katanya.

Walaupun sudah bercerai, dugaan hidup Jamaliah rupanya tidak terhenti di situ, sebaliknya ujian lebih besar pula mendatang apabila dia ditahan polis kerana didakwa menipu.

“Sebelum bercerai, saya pernah membuka syarikat bersama suami. Tanpa pengetahuan saya, suami meniru tanda tangan saya dalam satu urus niaga tidak sah.

“Disebabkan itu saya terpaksa duduk di lokap selama tiga hari sebelum dakwaan ditarik semula oleh orang yang sama yang mendakwa saya,” katanya.

Jamaliah menyedari hanya kerana seorang lelaki, beliau telah melalui banyak pengalaman buruk dalam hidupnya.

“Silapnya saya seorang yang tidak pandai berdendam dan cepat kasihankan orang. Jadi, apabila bekas suami datang memujuk kami rujuk semula saya terima walau dengan hati yang berat.

Makin menyeksakan

“Ibu saya adalah individu utama yang menyebabkan saya menerima semula bekas suami. Ikutkan hati saya langsung tidak mahu menerimanya lagi sebab tidak sanggup menanggung penderitaan emosi.

“Memang ibu tidak pernah nampak keburukan suami kerana sebelum ini saya tidak pernah bercerita keburukannya. Jadi apabila saya ceritakan apa yang berlaku pada perkahwinan kami sebelum ini dia tidak mempercayainya,” imbas Jamaliah.

Akur dengan permintaan ibu dan kepentingan anak-anak yang memerlukan bapa, akhirnya Jamaliah berkahwin sekali lagi dengan suaminya pada April 2005.

Ternyata perkahwinan kali kedua ini makin menyeksakan berbanding perkahwinan pertama. Bukan setakat penderaan emosi dan mental, malah suami sudah mula ringan tangan dan kaki terhadap Jamaliah.

Dalam perkahwinan kali kedua dengan suami yang sama, Jamaliah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, iaitu Alysha yang menemaninya sepanjang perbualan kami.

“Semasa mengandungkan Alysha, saya pernah dijangkiti penyakit sifilis daripada suami, penyakit itu juga menyebabkan Alysha lahir tidak cukup bulan dan hampir diserang meningitis,” katanya.

Tidak tahan dengan penderaan mental dan fizikal yang dilalui, pada September 2006, iaitu setahun lima bulan selepas perkahwinan kedua, Jamaliah membawa diri dan keempat-empat anaknya ke pusat perlindungan wanita, WAO.

“Kebetulan kakak saya mendengar tentang WAO di televisyen, dia yang mencadangkan pada saya tentang tempat itu.

“Tarikh 29 November 2007 saya bertekad ke WAO dengan berbekalkan wang RM15 bersama empat orang anak.

“Para kaunselor di WAO banyak memberi motivasi kepada saya. Kebetulan saya mempunyai bakat memasak, jadi saya mencari pendapatan dengan berniaga.

“Tempoh dua bulan saya berlindung di WAO, saya mampu berdikari sendiri dan pada masa yang sama saya berjaya menuntut cerai secara sah daripada suami,” jelasnya.

Dengan berpegang pada prinsip bersangka baik dan sentiasa bermuhasabah diri, dia percaya sinar pasti hadir menyuluh jalannya walau banyak manapun simpang dan onak dalam lorong yang dilaluinya.

Kini, wanita tabah ini bertekad menjalani kehidupan sebaik mungkin, serta memastikan dirinya kuat dan tidak bermurung dengan kejadian buruk yang pernah menimpa.

Jamaliah kini menetapkan matlamat untuk mencapai cita-citanya membuka sebuah dobi dan memastikan masa berkualiti bersama anak-anak yang sedang membesar tercapai.

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL


Rahsia Doa Pengasih. Keterangan lanjut, sila klik sini.


Rahsia Kecurangan Pasangan. Keterangan lanjut, sila klik sini.

19 thoughts on “Penderaan mental lebih menyiksakan

  1. assalamualaikum. sgt mendukacitakan seorg suami berperangai seperti itu,menjadi seorg suami bererti menjadi pemimpin n pelingdung kepada warga yg dalam naungannya. sgt nikmat jika berrumahtangga, rugilah sesiapa yg mensia-siakannya. perkahwinan itu sudah menepati separuh dari agama n separuh lg bertakwalah kepada Allah. pendek kata jika seseorg itu tdk menikah maka tdk sempurnalah agamanya. hargailah rumahtangga yg terbina, binbinglah rumahtangga kearah utk mendapatkan redha Allah. suburi rumahtangga dgn kalamullah, qiam bersama dan didiklah generasi dgn sunnah perjuangan Rasulullah saw.

  2. jangan main2 bab penderaan mentalni boleh gi ke Tanjung Rambutan namanyer.. takat penderaan fizikal leh gak buat repot polis dan ramai orang leh percaya penderaan mentalni orang kata kita saje buat cerita.. entahler…

  3. Sememangnya penderaan mental ni lebih hebat daripada penderaan fizikal…Penderaan fizikal ini boleh dilihat di badan…tapi penderaan mental ni boleh jadi punca penyebab sakit jiwa.

    saya juga pernah dan sedang alami penderaan mental…Lelaki sekarang ni takkan buat penderaan fizikal nanti kena dengan tele dera…tapi main psikologi….buat dera perasaan. Penderaan mental ni tak nampak kat mata..Orang akan tengok kita suami isteri mmg bahagia dan tak pernah nampak masalah…Walhal hanya tuhan je yang tahu…Kalau tak ada iman di dada…agaknya dah beratus kali bercerai dalam satu hari…sabor je la.

  4. Boleh saya berkenalan dengan Pn Jamaliah. Pn jamaliah boleh menghubungi saya di alamat emel di atas.

    Terima kasih.

  5. kalau benar cerita nya..isteri mithali 2009 ini..memang hebat sekali..tapi kita misti berhati2 menerima kenyataan -bulat2 drp individu atau sebelah pihak aja..kalo ibarat cerita mengerun di hate ajo ..ok lah..tu..sebagai alkesah dan tauladan…saya pernah melalui atau mendengar cerita seakan2 samo..dgn kenyataan dan bukti seolah2 benar samasekali..bila diselidik ..suami pencerita baik orang nya..yg menimbulkan masaalah ada lah isterinya (Pencerita)….wallahuallam

  6. ..deraan mental ini boleh menjadikan atau mengahkibatkan tak siuman..hilang kewarasan diri tak menentu atau bunuh diri..terjun flat..gantung diri..minum-makan racun..Laksana makan hati berulam jantung aje..geram..sakit nya hati tak terperi rasa nya..terkilan..punah ranah raso nyo..diri tak beharga lagi..oh mak oii podih nya…..badan yg solid molid buleh jadi kurus kering..merana diri..tak terurus..cara hidup tak terjaga….barangkali bertukar menjadi kutu rayau ..di tenggek dek demo ramai2…- kesah bonar)

  7. perogolmalam, apa masalah dengan isteri tu kalau awak kata suami tu baik? Suami ni kdg2 depan orang macam malaikat, jadi bila isteri cerita perihal suami, orang tak percaya, isteri juga disalahkan. Dah lah dapat penderaan mental dari suami, masyarakat pulak lebih percayakan suami sebab suami pandai berpura2 baik. Yang melaluinya hanyalah isteri.

  8. bermacam-macam sudah keranah suami didengar. macam mereka ni tan nak kawin. sebab bila sudah kawin, suka buat masalah…. sabor ja le……. be strong

  9. susah nak cari lelaki yang betul2 lelaki zaman sekarang. depan kita pura2 baik, pijak semut tak mati. bila kat belakang, kita balik yang ditikamnya. perkahwinan saya cuma bertahan 3-4 bulan sbb bekas suami saya pun mcm Pn. Jamaliah. Dahla dia anak yatim, bongsu dr 12 adk beradik. saya kawin dgn dia sbb kesian n simpati kononnya adik bradik tak ambil peduli. bila dah sah, barulah saya tau nape adik2 dia tak kisah kat dia. habis semua harta benda yang saya kumpul sblm kawin dijahanamkannya. sampai mati pun saya tak maafkan perbuatan dia yang suka menipu sana sini, putar belit alam. apepun, byk2 bersabar dan berdoa pd Allah smg diberi petunjuk n hidayah dlm mengharungi kehidupan. Kasih Allah janjinya pasti, insyaallah..

  10. Penderaan mental memang susah untuk dikesan sebab tiada tanda2 fizikal. Ini yg berlaku kepada kakak saya yg menanggung penderaan mental lebih 25 tahun. Perkahwinannya dengan seorg pegawai tinggi kerajaan tampak bahagia di mata orang luar tp bagi kami adik2nya boleh lihat di matanya menanggung penderitaan. Dia dicurahkan dengan material, rumah yg besar, brg kemas, beg2 berjenama tetapi sentiasa diperkecilkan oleh suaminya. Saban hari abg ipar menyatakan bahawa tiada sesiapa yg menyukai dan menyayangi dia termasuklah kami adik beradik. Setiap perselisihan kecil antara adik beradik menyebabkan kakak saya terus dihina oleh abg ipar sehingga kakak yakin bahawa dia tidak ada harga dlm dunia ini. Kakak sentiasa berfikir bahawa kami adik beradik menyisihkan dia padahal kami cuma mahu mengelakkan rasa kurang selesa bersama abg ipar. Kami kurang berkujung ke rumahnya kerana tidak mahu mendatangkan kesusahan kepada kakak tetapi sebaliknya yg berlaku, abg ipar mengatakan bahawa adik beradik memang membenci kakak sehingga tiada siapa ingin berkunjung. Kami tidak tahu nak buat apa untuk menolong kakak. Saya pernah mencadangkan secara kpd kakak untuk mendapatkan khidmat kaunseling tetapi kakak enggan kerana takut. Pernah juga secara tidak langsung mensarankan kakak utk meninggalkan suami ttp dia tidak mahu kerana hidupnya byk bergantung kpd abg ipar sementelah dia hanya seorg surirumah. Selain sikap baran dan suka merendah2kan kakak, abg ipar adalah seorg yg rajin menolong kerja2 rumah, melimpahkan kakak dgn kemewahan dan dan kuat beribadat. Tetapi kakak tidak pernah dpt menjangkakan mood dia yg sentiasa berubah, kadang2 sedang sibuk menolong kakak mengemas rumah dia boleh tiba2 mengamuk dan memaki hamun kakak hanya disebabkan perkara kecil spt salah menyusun atur barangan. Saya betul2 bersimpati dgn kakak dan malangnya saya tidak tahu apa cara utk menolong kerana kakak terlalu takut untuk membuat sebarang keputusan.

    • salam adik syahirah .. saya banyak membaca pasal penyakit dan rawatan psikiatri .Rupanya banyak terdapat penyakit penyakit mental yang tidak kita kenali .Dari pada cerita adik yang mengambarkan abang ipar boleh berubah moodnya secara tiba tiba dari stabil ke manic ..berkemungkinan terdapat ciri ciri penyakit “Bipolar “Adik carilah bahan bacaan megenainya .

    • Pada pendapat kakak, abg ipar adik mungkin ada bipolar…sebab mood dia boleh berubah secara tiba2…kesian kakak adik, jangan biar dia sampai murung…sbb kawan kakak dah kena depression …bila dia cuba hidup berasingan dengan suaminya, terbukti dia makin sembuh..usaha dan doakanlah kakak adik agar dia terbuka hati….sementara dia sihat, dia masih boleh bekerja untuk menyara hidup..jangan risau rezeki Allah akan bg.

  11. sy mmg mengalami tekanan mental drpd suami. Baru2 ini sy menyandang jawatan profesional di sektor awam. Sejak saya bekerja sebagai pegawai kerajaan suami seakan tidak boleh menerima hakikat saya berpendapatan lebih besar drpdnya…selalu dia menghantar sms berbaur provokasi mengtakan sy berpangkat besar, bergaji tinggi dan jgn menunjuk2 dan bangga diri pdnya padahal sy x pernah bangga diri padanya. Saya bekerja di melaka dan suami dan anak di JB. Pada mulanya dia mmg menggalakkan sy keje di Melaka dan minta transfer setelah setahun..Tapi kini baru 3 bulan saya di Melaka, dia selalu menghantar sms berbaur provokasi saya tidak memberikan kemewahan padanya, tidak menjalankan tanggungjawab sebagai isteri sebagai ibu…da mengugut mahu berpisah dengan saya,,,saya tak tahu apa motif dia..padahal sy belikan apa saja yg dimahu sy ketepikan keinginan sy….adakah dia sengaja membunuh semangat dan keyakinan saya..kdanag2 sy x mampu menahan diti drpd menangis…..adakalanya sy terfikir utk bunuh diri saje….Suami apa begini asik memberi tekanan kepada sy…sy jd x waras dan kadang2kala x fokus di pejabat…

  12. Bagi pendapat saya, seseorang mesti mempunyai prinsip hidup berlandaskan syariah. Setiap hari mesti mulai dengan semangat untuk mengubah diri agar jadi insan yang cemerlang. Walau apa jua tekanan, mesti dihadapi dengan tabah dan ingat padaNya. DIA menjanjikan kebahagiaan yang abadi bagi insan yang sabar..

  13. Seolahnya tiada sokongan kuat di mahkamah utk tuntutan fasakh akibat oenderaan emosi dan mental. Benda x nampak. Susan nak buktikan.

  14. Penderaan mental memang menyiksakan…rakan saya didera secara mental oleh suaminya…suaminya bekerja jauh, dan akan pulang seminggu sebulan..selalu merendah-rendahkan fizikalnya yang tidak cantik, marah tanpa sebab, merajuk berminggu-minggu , mengungkit setiap pemberiannya, Memaki hamun di facebook dan macam2 lagi…Dia mengalami tekanan dan akhirnya mengalami kemurungan…sekarang dia kembali kepada keluarganya..Namun suaminya tidak membenarnya anaknya yang berusia 5 tahun dijaga ibunya…Dia sudah kembali sembuh dan mula bekerja semula…doakan dia berjaya mendapatkan anaknya semula

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s