Murung akibat krisis ekonomi

Kehilangan kerja merupakan cabaran utama penduduk seluruh dunia yang berkemungkinan berdepan dengan masalah kemurungan. Pada zaman serba memerlukan wang ini, pengangguran merupakan satu mimpi buruk dan perlu dihindari oleh setiap pekerja kerana desakan hidup masa kini yang semakin mencabar. Semuanya memerlukan wang untuk meneruskan hidup walaupun mengetahui krisis ekonomi bukan sesuatu yang dirancang kerana ia berlaku secara tidak diduga.

Sebelum krisis ekonomi semasa berlaku orang ramai menghadapi kejutan kenaikan harga minyak serta makanan. Malaysia sebelum ini mengalami krisis ekonomi pada tahun 1985-1986 yang mengakibatkan perbelanjaan kerajaan terjejas dan harga komoditi jatuh mendadak.

Negara juga pernah mengalami krisis kewangan Asia yang berlaku 1997-1998 dan apa yang dihadapi Malaysia turut dialami oleh negara-negara kuasa besar dunia.

Semakin meningkat

Dalam keadaan ekonomi seperti ini, bilangan pesakit kemurungan secara suka rela berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan rawatan meningkat antara 10 hingga 20 peratus.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) 1999 menunjukkan kemurungan adalah penyakit keempat utama di dunia yang boleh menyebabkan negara boleh hilang keupayaan dan menambahkan bilangan kesengsaraan.

Secara tidak langsung, ia menjejaskan keupayaan mental dan fizikal yang memberi kesan besar terhadap modal insan negara, kerjaya, krisis sosial dan merendahkan kualiti hidup penduduknya.

Ini kerana dianggarkan 121 juta penduduk dunia mengalami masalah kemurungan dan boleh menjadi penyakit kedua utama penyebab ketidakupayaan menjelang 2020.

Kemurungan bukan penyakit yang sengaja diada-adakan atau yang terpendam di dalam otak. Ia memang penyakit yang memerlukan rawatan dan mempengaruhi berjuta-juta manusia setiap tahun. Namun demikian, kemurungan sering disalah tafsir atau pun tidak disedari langsung.

Sesetengah orang mungkin tidak mendapatkan rawatan kerana merasakan satu hari nanti kemurungan itu akan hilang dengan sendirinya.

Ada beranggapan bahawa kemurungan adalah satu kelemahan atau kegagalan peribadi yang perlu ditangani sendiri manakala ada yang lain tidak sedar bahawa terdapat rawatan perubatan yang berkesan untuk kemurungan.

Kajian Bebanan Penyakit dan Kecederaan Malaysia (2000) melaporkan kemurungan menjadi punca ketidakupayaan utama di kalangan wanita dan tempat kedua bagi lelaki dengan nisbah 2:1 yang dipercayai disebabkan perubahan hormon.

Presiden Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr. Yen Teck Hoe berkata, penyakit yang tidak mengenal usia ini dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti tanggungjawab dan budaya, terutamanya wanita yang mempunyai banyak tanggungjawab perlu dipikul sebagai pekerja, pengurus rumah tangga, isteri dan ibu kepada anak-anak.

Wanita juga lebih terbuka dan sangat prihatin dengan kesihatan serta tidak malu untuk merujuk masalah yang dihadapinya kepada pakar terbabit.

“Kemurungan di kalangan wanita juga ditunjukkan melalui gejala tidak bersemangat dalam kehidupan dan rasa tidak berguna manakala lelaki meluahkan kemurungan dalam bentuk kemarahan dan mudah terganggu.

“Perkahwinan menjadi faktor yang boleh melindungi kaum lelaki daripada kemurungan kerana merasakan kehidupan mereka sudah sempurna dan tanggungjawab selebihnya itu dialihkan kepada isterinya,” katanya ketika menyampaikan taklimat sempena Hari Kesakitan dan Kemurungan Malaysia yang disambut buat kali pertama di Petaling Jaya baru-baru ini.

Kesan murung

Presiden Persekutuan Psikiatri dan Kesihatan Mental ASEAN (AFPMH), Profesor Dr. Mohamad Hussain Habil berkata, perasaan yang tidak positif dan terlalu memikirkan sesuatu boleh mengundang rasa sakit badan yang biasa dialami, yang berkemungkinan berkaitan dengan masalah kemurungan.

Masalah di tempat kerja juga mungkin dibawa pulang ke rumah dan meleret dari satu hari ke satu hari, sehingga menyebabkan sakit badan.

Para penyelidik mendapati pesakit murung yang mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan am pada awalnya tidak mengetahui mereka mengalami gejala kemurungan.

Dr. Mohamad Hussain yang juga Ketua Pakar Ketagihan dan Perunding Psikiatri di Jabatan Perubatan Psikologi di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, kemurungan adalah penyakit sepanjang hayat tetapi menerusi rawatan, pesakit boleh menjalani kehidupan normal, boleh bekerja, berkahwin dan juga mempunyai keluarga selagi mereka mengambil ubat.

“Kemurungan sama seperti penyakit kronik lain dan ia perlu dirawat. Kos rawatan kemurungan sebenarnya jauh lebih rendah berbanding penyakit lain. Contohnya kos rawatan kanser payu dara peringkat kedua untuk enam bulan adalah sama untuk merawat kemurungan selama 20 tahun.

“Apa yang lebih penting ialah mengenal pasti dan mendapatkan rawatan seawal mungkin. Ini sebabnya pengamal perubatan, terutamanya doktor di klinik yang menjadi barisan pertama ditemui pesakit, perlu peka terhadap gejala kemurungan, termasuklah kesakitan fizikal yang sukar diterangkan,” jelasnya.

Bagi pesakit yang pertama kali berdepan masalah kemurungan, pengambilan ubat biasanya hanya untuk satu hingga dua tahun dan tempoh ini meningkat kepada dua hingga tiga tahun jika mengalami dua episod kemurungan.

Namun jika memberhentikan sendiri pengambilan ubat, risiko penyakit berkenaan berulang adalah tinggi iaitu 50 peratus bagi pesakit yang kali pertama, 75 peratus (episod kedua) dan 95 peratus (episod ketiga kemurungan). Lebih kerap seseorang mengalami kemurungan, peluang untuk penyakit berulang lebih tinggi jika pengambilan ubat dihentikan.

Ubat tahan sakit tidak dapat mengatasi kemurungan. Malah ujian darah, ujian sinar-X atau hasil imbasan CT juga tidak dapat mengesan penyakit ini yang akhirnya membawa pesakit kepada pengamal perubatan alternatif dan tradisional.

Malah, lebih menyedihkan, terdapat segelintir pengamal perubatan alternatif dan tradisional tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan sama ada mengenakan bayaran lebih mahal berbanding kos rawatan di hospital atau mencabul kehormatan pesakit seperti banyak dilaporkan di akhbar.

Ada juga yang menganggap, masalah kemurungan berkaitan dengan kekurangan iman yang ada pada seseorang. Itu sebenarnya satu tanggapan salah kerana semua orang berisiko tinggi untuk mendapat penyakit kemurungan.

Kajian mendapati 82 peratus pesakit murung yang mendapatkan rawatan daripada pengamal perubatan tidak dirawat sementara hanya 18 peratus diberi ubat anti kemurungan. Dari jumlah yang diberi ubat, hanya 10 peratus pesakit menerima rawatan sewajarnya.

Murung dan kesakitan fizikal

Perunding Psikiatri PPUM, Profesor Dr. Nor Zuraida Zainal berkata, kemurungan dan rasa sakit saling berkait.

Apabila seseorang menghidap penyakit, dia mempunyai risiko dua kali ganda untuk dilanda masalah kemurungan.

Sebaliknya individu yang murung pula biasanya hilang selera makan, sentiasa berfikiran negatif dan tidak lagi memberi tumpuan pada diri sendiri yang menyebabkan sistem imunisasi lemah dan mereka mudah mendapat penyakit, termasuklah jangkitan kuman.

Kajian mendapati dua pertiga daripada pesakit yang menerima rawatan anti kemurungan dilaporkan mengalami kesakitan fizikal seperti kerap sakit kepala, pinggang, otot dan perut. Bagi sebilangan pesakit, kesakitan fizikal juga didapati berlanjutan lebih lama berbanding gejala kemurungan itu sendiri.

Bagaimana hubungan ini boleh terjadi? Antara penjelasan yang diterima ialah kedua-duanya memberi kesan atau mendapat kesan daripada perubahan pada paras bahan kimia otak dan sistem imunisasi badan, kesan sampingan ubat, rentetan perlakuan daripada cubaan membunuh diri dan faktor genetik.

“Kemurungan memberi kesan kepada paras pemancar neuron (neurotransmiter) iaitu bahan kimia otak yang bertanggungjawab menghantar maklumat ke saraf. Dua neurotransmiter iaitu serotonin dan noradrenalin terbabit dalam kawalan kemurungan dan kesakitan. Apabila seseorang mengalami kemurungan, paras neurotransmiter berkurang dan menyebabkan kesakitan lebih terasa,” ujar Dr. Nor Zuraida.

Semua orang mengalami rasa sakit tetapi tidak menjadi satu gangguan kerana ia dikawal oleh serotonin. Bagaimanapun, bagi orang yang mengalami kemurungan, paras dan aktiviti serotonin yang berkurangan akan menjejaskan kawalan terhadap rasa sakit. Akibatnya, pesakit berasa lebih sakit dan menderita.

Pesakit murung biasanya datang dengan gejala fizikal seperti penurunan atau pertambahan berat badan yang ketara, tidak boleh tidur malam, tidur kerap terganggu atau terlalu banyak tidur, keresahan melampau atau tiada perasaan, keletihan, tidak bertenaga atau kesakitan fizikal pada mana-mana anggota badan.

Antara sakit fizikal yang biasa dialami pesakit murung termasuk:

– Sakit pinggang – Kira-kira 59 peratus pesakit kemurungan ada masalah sakit pinggang. Dalam kebanyakan kes, masalah kemurungan, keresahan dan penyalahgunaan dadah berlaku terlebih dahulu sebelum sakit pinggang.

– Sakit sendi (osteoartritis) pada pinggul atau lutut lebih kerap dialami pesakit tua yang murung.

– Kanser – 47 peratus pesakit kanser mengalami masalah psikiatri terutamanya jika kanser sudah merebak dan mereka berasa sangat sakit. Masalah psikiatri yang biasa pada pesakit kanser ialah kemurungan dan keresahan.

Perlu diingat, kemurungan tidak menyebabkan kanser tetapi kanser boleh mengakibatkan seseorang mengalami kemurungan. Pada masa sama, kebanyakan pesakit murung juga ada masalah kesihatan lain.

Sepanjang mendapatkan rawatan, emosi pesakit akan bertambah baik dan kesakitan fizikal dialaminya juga semakin berkurangan.

Ahli keluarga juga memainkan peranan untuk membantu memulihkan pesakit murung dengan memahami keperluan dan manfaat ubat yang kadangkala boleh membuatkan mereka berhenti mengambil ubat tanpa berbincang dengan doktor.

Ramai pesakit dan ahli keluarga juga tidak sedar bahawa memberhentikan pengambilan ubat kemurungan secara tiba-tiba bermakna mereka memberi peluang tinggi (antara 60 hingga 70 peratus) masalah kemurungan untuk menyerang semula. Ini bermakna risiko pesakit untuk mengalami kemurungan selepas berhenti mengambil ubat adalah sangat tinggi.

Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT

Rahsia Cari Kerja
Rahsia Dapat Pekerjaan. Keterangan lanjut, sila klik sini.


Rahsia Lulus Temuduga Kerajaan. Keterangan lanjut, sila klik sini.

One thought on “Murung akibat krisis ekonomi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s