Godaan SMS ganggu rumahtangga

Bermula dengan kisah Rita yang saya siarkan dua minggu lalu, saya menerima berpuluh-puluh e-mel daripada pembaca yang ingin berkongsi masalah bersuamikan lelaki yang suka bermain mesej dengan wanita.

Aduhai, sudah jadi satu penyakit di kalangan suami sekarang mengayat kekasih menerusi mesej. Bukan menyalahkan kaum Adam tetapi hakikatnya telefon bimbit turut menjadi masalah dalam rumah tangga sejak kebelakangan ini.

Telefon bimbit yang diibaratkan sebagai talian hayat kepada manusia rupa-rupanya membawa bahana dalam rumahtangga.

Mungkin anda tidak sedar tetapi itulah yang berlaku. Ramai isteri kecewa kerana suami beralih kasih dan menjadikan telefon bimbit sebagai pelepas rindu kepada kekasih hati.

Begitulah yang dilalui oleh salah seorang peminat ruangan ini yang turut mengalami masalah yang sama dengan Rita. Saya memilih untuk menyiarkan kisah Wan (bukan nama sebenar) kerana suaminya seorang mualaf.

Bayangkan kesulitan yang Wan hadapi sebelum bernikah dengan suaminya itu namun dalam usia rumah tangga setahun jagung, badai mula melanda.

Kita ikuti cerita Wan.

“Saya telah berkahwin dengan suami lebih kurang dua tahun lebih, dan dikurniakan seorang anak berusia setahun tiga bulan. Ingatkan apabila sudah berumahtangga suami akan sayang kita sampai ke akhir hayat, malangnya itu tidak berlaku.

“Dalam usia perkahwinan setahun jagung, tembelang suami mula nampak. Semuanya gara-gara telefon bimbit dan khidmat pesanan ringkas (SMS). Luluh hati apabila mendapat tahu suami suka bermesej dengan perempuan lain. Malah dia juga selalu tidur dengan teman wanitanya.

“Bayangkan dia sanggup beritahu wanita yang dia selalu mesej yang umurnya baru 37 tahun sedangkan usia sebenar 47 tahun. Sudahlah begitu, dikatanya juga dia masih bujang sedangkan sudah punya anak satu.

“Kami kahwin lambat sebab mendapat tentangan keluarga. Paling saya sedih sebab dia sanggup tidur dengan wanita lain di luar pengetahuan saya.

“Apabila saya fikir balik, saya akur dengan kata-kata perkahwinan yang tidak direstui keluarga akan menghadapi masalah. Itulah yang berlaku kepada saya sekarang.

“Hubungan kami dulu ditentang keluarga kerana suami seorang mualaf. Dia memeluk Islam ketika berumur 20 tahun. Pernah kami berpisah selama dua tahun kerana masalah keluarga saya tidak setuju.

“Mungkin kerana jodoh kami kuat akhirnya kesungguhan suami untuk mengahwini saya berhasil. Perkahwinan saya berlangsung dengan meriah sebab campur tangan ibu dan bapa saudara yang membuatkan saya yakin suami akan mengenang segala kesusahan saya untuk bersama dia.

“Malangnya apa yang berlaku tidak seperti yang saya harapkan, baru setahun, suami sudah main kayu tiga. Dia tidak insaf dengan kepayahan yang kami lalui untuk berkahwin dulu.

“Dia mula berubah selepas anak kami lahir. Paling ketara dia suka menyorok telefonnya kalau saya ada di rumah, malah ke mana dia pergi pasti dibawa bersama, jika tidak telefon itu akan disorok.

“Bukan setakat khayal dengan telefon, dia juga gagal memenuhi tanggungjawabnya sebagai suami untuk memberi nafkah batin kepada saya.

“Berbulan-bulan juga saya memendam rasa sehingga akhirnya saya mengambil keputusan menyiasat apa yang sebenarnya berlaku.

“Usaha saya berhasil apabila saya mendapat beberapa nombor wanita yang dia sering mesej dan juga chatting dengannya. Saya hubungi mereka dan tentunya mereka terkejut apabila saya perkenalkan diri siapa saya.

“Lalu terbongkarlah segala rahsia di mana suami saya telah menipu mereka dengan mengatakan dia masih bujang dan sedang mencari calon isteri. Mereka juga mengaku pernah tidur dengan suami saya.

“Segala bukti saya kemukakan kepada suami tetapi suami tidak pernah mengaku apatah lagi untuk meminta maaf. Malahan dia sendiri menyatakan kalau tidak sanggup untuk tinggal dengan dia, dia menyuruh saya keluar dari rumah.

“Memang, jika diikutkan hati sudah lama saya tinggalkan dia tetapi kerana anak dan segala kesusahan semasa kami hendak bersama, saya bersabar.

“Saya cuma mampu bertahan kerana anak sebab saya tidak mahu anak membesar tanpa kasih sayang seorang ayah. Ikutkan kasih kepada dia memang saya sudah tawar hati.

cepat berubah

“Kadang-kadang saya hairan kenapa suami cepat berubah dan tidak mampu berfikir macam mana susahnya seorang ibu atau bapa hendak melepaskan anak perempuan mereka kepada orang lain begitu saja.

“Mujur saya tidak mengikut kata hati kahwin lari dengan dia dulu, jika tidak pasti hidup saya akan merana. Sebagai seorang wanita bergelar isteri, saya juga hairan kenapa anak dijadikan alasan untuk mencari perempuan lain sedangkan kami sudah mempunyai anak.

“Kenapa suami masih beria-ia mencari wanita lain? Untuk apa, adakah kerana nafsu atau memang trend suami zaman sekarang suka menipu isteri?

“Mudah bagi lelaki terutama suami menduakan isteri mereka tanpa memikirkan perasaan dan hati isteri. Kenapa tidak mereka sebagai lelaki dan suami menyelami perasaan isteri, mengambil hati dan belajar bertanya apa masalah yang isteri hadapi.

“Apabila difikirkan, saya kadang-kadang menyesal dengan apa yang telah saya lakukan tetapi saya beristigfar berkali-kali dan berkata masih ada perempuan lain yang susah daripada saya.

“Apa yang saya pelik kadang-kadang sampai tidak ingat makan disebabkan asyik bermesej. Bila saya duduk sebelah, dia diam macam batu. Tangan tak lepas daripada telefon, erat dalam genggaman.

“Bila saya tidak ada, tangan ligat bermesej… tersenyum tersengih seorang diri macam kerang busuk… Sebaik saya masuk bilik untuk mandi atau bersolat, dengar becuk mulut dia bercakap telefon… tergelak dan manja-manja, memujuk rayu.

“Sebagai isteri mana tidak panas hati tengok suami gatal begitu.

“Kalau bersama saya macam nak telan hidup-hidup, di belakang pijak semut tak mati. Itulah lelaki. Tapi saya sabar dan berharap Allah SWT bagi kekuatan untuk saya terus menghadapi dugaan ini.

“Bayangkan baru dua tahun suami sudah buat perangai, bagaimana hendak saya hadapi rumah tangga ini sehingga ke akhir hayat.

“Kekuatan saya kini hanya pada anak dan saya harap sangat-sangat suami akan berubah. Sehingga kini saya gagal mengembalikan dia kepada dirinya yang sebenar.

“Saya juga berharap luahan saya ini akan dibaca oleh suami-suami di luar sana yang suka mempermainkan wanita, supaya kembali ke pangkal jalan.

“Jangan sewenang-wenangnya melakukan perbuatan yang dilarang agama kerana ingin memuaskan nafsu dan mengikut kata hati.

“Ingatlah, Allah tidak pernah lupa akan perbuatan hamba-Nya. Mereka yang berdosa tetap akan dihukum. Kepada wanita yang sedang mencari pasangan, ingatan saya kepada mereka, jangan menggoda suami orang.

“Carilah lelaki yang masih bujang. Kebahagiaan perlu dibina dengan kasih sayang sejati bukan atas air mata kaum sejenis anda. Fikirkan tentang anak isteri lelaki yang anda goda.

“Jangan mudah terpedaya dengan pujukan dan rayuan lelaki yang hidung belang. Sebab janji-janji yang ditabur itu belum tentu menjanjikan kebahagiaan.

“Permintaan terakhir saya, jangan menyakiti hati kaum sejenis anda kerana jika itu yang berlaku, sampai bila pun wanita tidak akan bahagia, sebab anda menyumbang kepada penderitaan kaum sejenis anda sendiri” kata Wan menamatkan ceritanya.

Demikian akhirnya kisah Wan. Saya kagum dengan sikap Wan yang bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan tiba selepas ini akibat perangai suami yang semakin berubah.

Orang lelaki ini, jika dihalang dan dilarang dikatakan isteri cuba nak kawal, apabila dibiarkan, inilah yang berlaku. Semuanya tak kena. Bagaimanapun saya mengharapkan semua isteri bertindak tegas dalam apa juga perkara berkaitan rumah tangga.

Jangan beri peluang kepada suami melakukan perbuatan yang di luar batas rumah tangga. Waspada dalam segala perkara. Jangan percaya seratus peratus kepada mereka sebaliknya simpan sedikit untuk kita sebagai isteri buat kejutan tentang perangai mereka apabila perlu.

Saya juga berharap Wan akan terus tabah menghadapi ujian ini. Jangan dikesalkan tentang pernikahan yang tidak direstui keluarga kerana kita harus kembali kepada takdir, jodoh maut dan pertemuan itu di tangan Tuhan.

Pesanan saya jadikan apa yang berlaku sebagai pengajaran dalam meneruskan hidup Wan sebagai wanita, isteri dan ibu. Rumahtangga ibarat sebuah kapal kecil di tengah lautan. Di tangan kita sebagai suami isteri letaknya pelayaran kapal kecil itu, agar ia tidak karam dipukul ombak.

Mengakhiri kata, pesanan ikhlas saya, hidup akan menjadi lebih derita jika susah yang kita fikirkan, sehubungan itu jangan jadikan hidup ini susah sebaiknya jadikan ia satu perjalanan yang cukup indah kerana hidup juga akan jadi tidak keruan tanpa penyatuan dua hati.

Salam.

Source: Utusan Malaysia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s