Suami curang, isteri enggan bermadu

Tiada persefahaman, suami curang atau isteri enggan dimadukan serta campur tangan mentua dan ipar duai adalah antara punca utama menyebabkan pasangan suami isteri di negara ini bercerai.

Berdasarkan kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) 2004, 42.3 peratus kes perceraian berlaku disebabkan tiada persefahaman, curang atau enggan dimadukan (12 peratus), tidak bertanggungjawab (11.5 peratus) dan campur tangan mentua atau ipar duai (8.8 peratus).

Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata punca lain disebabkan ketagih dadah atau alkohol (7.1 peratus), masalah kewangan (1.6 peratus), terbabit jenayah, judi dan masalah kesihatan (1.1 peratus), didera (0.5 peratus) dan faktor lain (12.6 peratus).

Perceraian disebabkan tiada persefahaman kebanyakannya membabitkan pasangan Cina, iaitu 45.8 peratus, diikuti Melayu (44.9 peratus) dan India (20 peratus).

“Punca perceraian pasangan India paling tinggi disebabkan campur tangan mentua dan ipar duai, iaitu sebanyak 30 peratus, Melayu (7.4 peratus), manakala Cina tiada kes,” katanya dalam kertas kerja mengenai Profil Keluarga Di Malaysia dan Kesannya Kepada Masyarakat pada Seminar Keluarga Mendepani Cabaran Semasa di sini, semalam.

Aminah berkata, Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia keempat juga menunjukkan perceraian wanita Melayu dan Bumiputera lebih cenderung kepada kelompok berusia bawah 25 tahun serta pasangan berumur 40 tahun ke atas.

“Berbeza dengan tanggapan masyarakat bahawa institusi keluarga begitu rapuh dan perceraian kini berleluasa, sebenarnya data menunjukkan bahawa perceraian berlaku di kalangan segelintir penduduk (0.7 peratus) berdasarkan bancian tahun 2000,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan sosio-ekonomi turut memperlihatkan mereka yang berumur 20-30 tahun dan tidak pernah berkahwin terus meningkat di antara 1991-2000, iaitu daripada 43.2 kepada 48.1 peratus.

Di kalangan wanita berumur 20-24 tahun pula, 68.5 peratus masih belum berkahwin pada tahun 2000 berbanding 60.2 peratus pada 1991 dan 51.3 peratus pada 1980.

Aminah berkata, kajian juga menunjukkan kadar minimum perkahwinan pertama lelaki meningkat daripada 28.2 tahun pada 1991 kepada 28.6 tahun pada 2000.

Katanya, umur perkahwinan pertama untuk wanita meningkat daripada 24.7 tahun kepada 25.1 tahun.

Oleh Haspaizi Mohd Zain

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s