Derita isteri didera

Saya telah berkahwin selama 10 tahun. Kami mempunyai tiga anak. Pada mulanya kehidupan kami bahagia, tetapi selepas kelahiran anak kedua, suami mula berubah sikap. Dia menjadi semakin kasar terhadap saya.

Asyik memukul dan menerajang saya. Tidak boleh salah sikit, saya ditamparnya. Walaupun dia tidak memukul anak-anak tetapi dia sering kali memukul saya di hadapan mereka menyebabkan anak-anak juga takut kepadanya. Saya pernah cuba melawan kata-katanya dan memberitahu suami saya mahu memohon penceraian tetapi suami mengugut akan membunuh saya jika saya berani membuat laporan polis atau ke mahkamah menuntut cerai. Keluarga sendiri tidak memberikan sokongan. Bantulah saya.

Jameelah Yassin, Kuala Lumpur.

Jawapan:

Di dalam Islam, penganiayaan di antara sesama manusia adalah amat dilarang, apatah lagi penganiayaan terhadap seorang isteri. Surah an-Nisa’ ayat 19 memperuntukkan yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, tiada dihalalkan bagimu mempusaka perempuan dengan paksaan dan janganlah kamu bertindak kejam terhadap mereka, sebaliknya bergaul dengan mereka secara baik-baik lagi adil. Kalau kamu benci kepadanya mungkin kamu benci akan sesuatu sedangkan Allah menjadikan kebaikan yang banyak di dalamnya.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa: “Yang paling baik di kalangan kamu adalah mereka yang paling bersopan terhadap isterinya”.

Suami puan telah bersikap zalim terhadap puan. Seorang isteri adalah tempat suami berkasih-sayang dan bersenang-senang dan suami diberi tanggungjawab ke atas kesejahteraan isterinya. Tanggungjawab ini haruslah dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Isteri adalah amanah, bukan sahaja dari segi agama tetapi juga dari segi kekeluargaan dan kemasyarakatan.

Di sini suami puan telah bersikap tidak adil. Dari segi perundangan, suami puan melakukan kesalahan menurut Seksyen 127 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 iaitu suami yang menganiayai isterinya maka boleh dihukum denda tidak lebih RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya. Puan boleh mengadu kepada mahkamah syariah bagi tujuan ini dengan membawa bersama laporan polis, laporan perubatan, gambar dan bukti-bukti lain yang berkaitan untuk menunjukkan puan dianiaya.

Selain Akta tersebut di atas, Akta Keganasan Rumahtangga 1994 juga boleh dirujuk. Di bawah Seksyen 2 Akta Keganasan Rumahtangga 1994 ada dinyatakan bahawa sekiranya seorang suami telah memukul sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal atau; memaksa isteri melakukan atau tidak melakukan sesuatu yang mendatangkan rasa ketakutan atau; mengurung isteri tanpa kerelaan diri atau; memaksa dan melakukan hubungan seks yang mendatangkan ketakutan, maka isteri boleh memohon perintah perlindungan dari mahkamah dan suami boleh dihukum ke atas kesalahannya.

Melihat kepada situasi puan, kami nasihatkan puan membuat laporan ke balai polis yang berdekatan di tempat puan bermastautin. Beritahu mereka bahawa suami puan telah mengugut untuk membunuh jika puan membuat laporan polis. Selain itu, puan juga perlu membuat laporan perubatan di hospital kerajaan dan melaporkan sekali kepada jabatan agama. Ini dapat membantu pihak mahkamah dalam pendakwaan mereka. Pastikan bahawa puan sentiasa menyimpan salinan laporan-laporan tersebut.

Pihak polis mempunyai bidang kuasa untuk bertindak ke atas suami puan yang melakukan keganasan ke atas puan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga.

Puan boleh mendapatkan perlindungan dari mahkamah dengan memohon Perintah Perlindungan Sementara. Seksyen 4 Akta Keganasan Rumahtangga 1994 memberikan peruntukan untuk perlindungan sementara. Ia merupakan suatu perintah mahkamah yang melarang suami dari melakukan keganasan terhadap puan atau anak-anak.

Jika puan telah tekad untuk bercerai kerana tidak tahan dengan perangai suami yang ringan tangan, puan boleh memfailkan tuntutan perceraian melalui cara taklik atau fasakh. Taklik adalah perceraian yang boleh dituntut oleh isteri apabila suami mengingkari syarat-syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas berkahwin.

Selain itu, puan boleh memohon fasakh. Fasakh ialah perceraian yang boleh dipohon oleh pihak isteri atas salah satu alasan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 52 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.

Perkara penting yang perlu diutamakan sekarang adalah keselamatan puan dan anak-anak. Terdapat beberapa pertubuhan wanita yang boleh membantu dan ada yang mempunyai rumah perlindungan. Antaranya, Women‘s Aid Organisation (WAO). Puan boleh menghubungi mereka di talian 03-79585287.

One thought on “Derita isteri didera

  1. Assalamualaikum,saya menghadapi perkara yang sama..apabila membincangkan isu kewangan..nafkah diri sndiri dan anak..suami cepat melenting..saya mula dipukul suami ketika usia perkahwinan baru 2 bulan..dan suami penah mengheret saya untuk ditolak ke dalam sungai ketika saya hamil 4 bulan..sehingga kini sekiranya ada perkara atau isu yang menyentuh emosi suami saya..saya akan dipukul..tak kira dihadapan anak yang baru berumur 6 bulan..saya pernah mengajak suami untuk hadir ke kaunseling rumah tangga..tetapi suami tidak mahu..dan akan bersikap baik buat seketika.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s