Ramai Isteri Tuntut Cerai

Suatu ketika dahulu di Malaysia, kita sering mendengar bahawa ada pasangan yang bercerai kerana berbeza fahaman politik. Ternyata sekali fenomena itu bukan sahaja melanda negara kita malah di Indonesia.

Hakikat itu terbukti apabila baru-baru ini Ketua Pengarah Pembangunan Masyarakat Islam, Prof. Nasarudin Umar mendedahkan, angka perceraian kerana perbezaan fahaman politik atau parti meningkat berikutan pelaksanaan pilihan raya umum atau Pemilu dan pemilihan ketua daerah di seluruh Indonesia.

Apa yang membimbangkan agensi tersebut ialah kecenderungan kadar perceraian itu yang terus meningkat dari tahun ke tahun.

”Ini harus diperhatikan kerana dapat menganggu keutuhan dan masa depan bangsa,” katanya.

Oleh itu beliau mengingatkan umat Islam supaya tidak menjadikan perbezaan fahaman politik antara suami dan isteri sebagai masalah utama sehingga perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian.

Ketara

”Urusan politik adalah urusan sementara, sementara urusan keluarga adalah urusan seumur hidup, bahkan sampai akhirat,” katanya.

Selain itu kadar perceraian di Indonesia juga semakin meningkat dan ia semakin ketara sejak tiga tahun kebelakangan ini.

”Setiap tahun ada dua juta perkahwinan, tetapi yang memilukan perceraian bertambah menjadi dua kali ganda, setiap 100 orang yang menikah, 10 pasangannya bercerai dan umumnya mereka yang baru berkahwin,” jelasnya.

Apa yang lebih membimbangkan ialah di enam bandar besar di Indonesia seolah-olah wujud satu fenomena baru iaitu tindakan isteri menuntut cerai.

Kes terbesar dicatatkan di Surabaya. Menurut statistik yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan, di Jakarta dari 5,193 kes perceraian, sebanyak 3,105 kes atau 60 peratus adalah kes isteri menuntut cerai dan kes melibatkan suami menceraikan isteri pula ialah 1,462 kes. Di Surabaya dari 48,374 kes perceraian sebanyak 27,805 kes (80 peratus) adalah kes isteri menuntut cerai, sedangkan suami menceraikan isteri mencapai 17, 728 kes.

Di Bandung dari 30,900 kes perceraian sebanyak 15,139 kes (60 peratus) adalah kes isteri menuntut cerai suami dan suami menceraikan isteri sebanyak 13,415 kes.

Di Medan daripada 3,244 kes perceraian, 1,967 kes isteri menuntut cerai dan suami menceraikan isteri hanya 811 kes manakala di Semarang daripada 39,082 kes perceraian sebanyak 23,653 kes adalah isteri menuntut cerai dan suami menceraikan isteri hanya 12,694 kes.

Menurut Nasaruddin, punca perceraian tersebut antara lain kerana tiada kefahaman yang mencatatkan 46,723 kes, ekonomi (24,252 kes), krisis keluarga (4,916 kes), cemburu (4,708 kes), poligami (879 kes), kahwin paksa (1,692 kes), kahwin bawah umur (284 kes) dan penganiayaan dan kekerasan rumah tangga (916 kes).

Jika kes menuntut perceraian dikaji adalah jelas pihak berkuasa Indonesia menganggap ia berlaku kerana kaum wanita kini semakin cenderung untuk menuntut hak yang sama dengan lelaki.

Akibatnya, apabila suami tidak mempunyai pendapatan yang tinggi maka menuntut perceraian dilihat cara terbaik, biarpun ia boleh menggugat institusi kekeluargaan di Indonesia.

Dalam soal ini, Nasaruddin menganggap kaum wanita semakin sedar mengenai hak mereka. Tetapi namun begitu dalam soal perkahwinan mereka sepatutnya faham mengenai tugas sebagai isteri biarpun setinggi manapun kedudukannya. Apa pun begitulah warna-warna kehidupan di sebuah negara yang mempunyai umat Islam terbesar di dunia itu.

– ZULKIFLEE BAKAR

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s