Bila nenek terpaksa menjaga cucu

Menjadi isteri bukan mudah, takut anak-anak yang dilahirkan tak jadi manusia, takut suami tak boleh bertahan lama, takut rumah tangga tak bahagia, bila umur semakin tua takut anak-anak menantu tak boleh terima dan macam-macam lagi yang difikirkan.

Syukur kepada Allah dalam kesibukan bekerja segalanya dapat saya uruskan dengan baik anak-anak terpelihara dan terima kasih kepada suami yang bertimbang rasa serta bertanggung jawab, tanpanya pasti saya kalah menguruskan keluarga. Demikian cerita Shofia dalam e-mel dan ketika kami berbual di telefon baru-baru ini.

”Saya bersyukur apabila anak-anak tamat pengajian, mereka mendapat pekerjaan. Sebaik sahaja bekerja, mereka sibuk hendak berkahwin. Di sinilah bermulanya masalah mereka. Kita sebagai ibu bapa tidak pernah membantah pilihan mereka, tetapi masalahnya kewangan mereka belum kukuh.

Bila anak lelaki saya nak kahwin setelah setahun bekerja, kita yang terpaksa siapkan duit hantaran dan majlis kenduri kahwin mereka.

”Kerana anak sulung nak kahwin kita buat sebaik mungkin, tak ada duit kita bantu sebab tak mahu dia buat pinjaman peribadi untuk duit hantaran. Malangnya setelah dapat seorang anak, baru saya tahu dia meminjam bank juga untuk ke luar negeri berbulan madu.

”Bila dah beranak, dia hantar rumah kita sebab tak ada orang nak jaga. Tak sampai dua tahun anak kedua pulak nak kahwin, begitu juga halnya semua kita kena urus, nasib kami masih bekerja dan ada sedikit simpanan. Selesai semuanya walaupun simpanan hari tua sudah berkurangan, ini belum anak bongsu perempuan kami nak kahwin tentu lebih besar belanjanya.

”Dipendekkan cerita ketiga-tiga anak kami berkahwin dalam usia masih muda. Simpanan kami semakin kering nasib baik ada pencen. Setelah kahwin mereka duduk sendiri, tapi duduk di KL bukan mudah kalau tak pandai berjimat cermat. Akhirnya bila dah beranak pinak rumah kami jadi pusat jagaan bayi. Pagi hantar malam lepas makan baru ambil, ada juga yang tinggal dengan saya sepenuh masa sebab rumah mereka jauh nak berulang setiap hari. Kerana itu saya terpaksa ambil pembantu rumah, walaupun sudah bersara.

”Bila cucu dah ramai macam-macam masalah timbul, ada yang kecil hati bila anaknya terjatuh dan ada yang komplen anaknya masih belum mandi ketika mereka balik. Sebagai nenek saya tak pernah pilih kasih terhadap cucu-cucu saya, semuanya sama. Inilah masalahnya bila cucu dah ramai.

”Kerana kecil hati anak yang tua tak mahu hantar anak-anaknya lagi ke rumah kami. Rindunya saya pada dua orang cucu kami itu hanya Allah yang tahu. Maklum dialah cucu sulung yang kami jaga sejak kecil. Tapi bila masalah kewangan terus menekan mereka suami isteri, mereka hantar semula anak-anak ke rumah kami.

keikhlasan

”Satu hari cuti, saya panggil anak-anak dan menantu, saya ceritakan apa yang saya lakukan terhadap anak-anak mereka bukan tujuan menganiaya, sebaliknya supaya mereka lebih tertib, berdisiplin dan keselamatan mereka terjaga. Sebagai nenek saya sayangkan cucu-cucu saya seperti saya sayangkan mereka dulu.

”Malangnya kita boleh memperlihatkan keikhlasan kita kepada anak-anak kita sendiri, tetapi tidak kepada salah seorang menantu saya yang mempunyai pandangan berbeza.

”Pada saya merotan bukan tanda tak sayang, tetapi menantu saya mahukan anaknya dididik secara psikologi. Akhirnya dia tarik diri dan hantar anaknya ke pusat asuhan.

”Pada saya kalau itu cara yang terbaik, tak jadi masalah, janganlah pula suruh anak saya datang ke rumah meminjam wang setiap bulan. Kami sudah bersara, pendapatan kami tak seberapa, sedangkan tanggungjawab kami menjaga dan membesarkan anak-anak mereka memerlukan perbelanjaan yang banyak. Siapa boleh tahan.

”Saya kasihan lihat suami saya, dia hendak bermasyarakat dengan penduduk taman perumahan tempat kami tinggal yang selama ini tidak dapat dilakukannya kerana sibuk bertugas, malangnya setelah bersara pun dia tidak berkesempatan, tak dapat ke surau kerana sibuk dengan cucu.

”Awal tahun lepas kami buat keputusan untuk ke mengerjakan ibadah haji sekali lagi, kami minta mereka mencari jalan siapa patut menjaga anak-anak mereka. Nak ambil pembantu rumah ke atau minta tolong dengan mertua masing-masing.

”Nak jadikan cerita dah dekat tarikh kami berangkat mereka masih tak dapat pembantu rumah untuk menjaga anak-anak mereka. Alasannya anak-anak mereka lebih senang tinggal di rumah kami. Akhirnya mereka bergilir tidur di rumah kami menemankan pembantu rumah saya supaya dia boleh terus menjaga anak-anak mereka.

”Pada saya itu adalah pengajaran yang terbaik supaya mereka lebih bertanggungjawab kepada anak masing-masing, biar mereka tahu susah senang menjaga anak-anak sendiri, tidak hanya melepaskan tanggungjawab kepada datuk dan nenek.

”Mulai awal tahun ini saya buat undang-undang baru, kalau mahu kami terus menjaga anak-anak mereka, mereka mesti hormati kami sebagai ibu bapa, mereka mesti bertanggungjawab sama mendidik anak. Jangan cepat melenting kalau anak mengadu kena pukul atau kena marah dengan datuk dan nenek. Itu semua untuk mendisiplinkan mereka.

”Kalau ada sesiapa yang tak bersetuju, mereka boleh didik sendiri. Nampak gaya tak ada siapa yang bersuara, sebab dah terasa susah menjaga anak-anak sendirian yang terlalu banyak ragam apabila mereka semakin besar.

”Mulai awal tahun ini mereka mula meringankan beban kami ada yang membayar gaji pembantu rumah, ada yang membeli keperluan dapur ada yang membantu ke pasar. Bukan kami minta, tetapi kami mahu mereka sama bertanggungjawab bukan sahaja terhadap anak-anak mereka, tetapi kepada kami yang semakin tua ini.

”Bukan senang mendidik anak, lebih sukar mendidik menantu, namun mendidik anak yang masih kecil lebih mudah jika mengikut disiplin yang betul.”

Demikian cerita Shofia tentang masalahnya menjaga cucu hingga ada perasaan menantu yang terguris, tetapi semuanya boleh diatasi jika ada perasaan ingin melihat kebaikan dalam diri anak-anak mereka.

ARKIB UTUSAN: 19/07/2009

3 thoughts on “Bila nenek terpaksa menjaga cucu

  1. Sedihnya membaca nukilan hati seorang nenek. Selalunya memang begitu, anak2 yang masih mempunyai iu bapa tak semua yang tahu menghargai kasih sayang mereka.

    Kalau ia pun harus meminta pertolongan ibubapa dalam memdidik anak2 sendiri, usahakan lah supaya jgn menyusahkan mereka. Dapatkan pembantu, diletakkan kerumah nenek dan atuk, setidak2nya, pembantu yang memang ditugaskan untuk menjaga anak2 kita, tetapi dengan kehadiran nenek dan atuk, dapat jugak anak2 kita mendapat kasih sayang yang terbaik, dalam mendidik anak2 kita.

    Cuma kita harus ingat, “if we want to mould our own child/children up to our expection, best , we have to do it our own.” 🙂

  2. Mmg mengharukan cerita nenek tu…dr mude sampai tua x abis2 dgn masalah anak cucu…tula kehidupan ni…sepatutnye d usia camtu..dah blh duk sng sambil beramal ibadat…ni x msh lg nak bersilat melayan kerenah cucu2 plak…kesiannyee…tp saye sokong dgn cara nenek tu settlekan masalah ni..mmg kdg2 kite sebagai org tua kne bersikap tegas dlm mndidik & mndisplinkan anak2 kite..bru mereka tahu erti tanggungjwb tu..jgn asyik nk sng saje..biar tau betape sshnye nk membesarkan anak2 d zaman IT ni..

  3. Salam….

    itulah realiti zaman cyber.. sasiah dlm dir semakin kurang. Anak-anak hanyer pentingkan diri sendiri. sepatutnyer masa selepas pencen inilah masa yg sesuai untuk meningkatkan lagi amal ibadat yg masa masa kiter bekerja dulu.. amalnyer biasa2 sajer… ambik yg wajib…

    nenek sepatutnyer berkeras untuk tidak menjaga cucu…
    1. dlu menolong ank yg sulung untuk kenduri kawin, dgn alasan tidk mahu dia meminjam. tapi syangnyer dia meminjam utk honeymoon. (sudah terlihat perangainye)
    2. biler anak2 dijaga nenek, ,mereka terasa… ambil anak dan slps itu jg sendiri.. (nah boleh pulak.. wpn tidah bertahan lamer..

    itu bermaksud.. mereka tidak mahu menyusahkan diri sendiri demi menjaga anak mereka sendiri. udah la begitu.. mereka juga tidak dapat memberi perhatian terhadap anak2 mereka sendiri… keperluan juga tidak diambil kira..(buktinyer.. anak mesti diambil dlm keadaan bersih.. iaitu sudah dimandikan. aper igt nursery kerrrrrrrr..bukan byr pn.. byk songeh plak!!)

    itu belum dikira makan pakai.. sakit demam. anak2 semakin kurang perihatin dan hanyer memetingkan diri sendiri shj…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s