Pengakuan Duda: Isteri berkeras mahu gugurkan kandungan

Kalau nak diikutkan layanan saya terhadap isteri begitu baik, tidak pernah sekalipun saya naikkan tangan ke mukanya walaupun kadang-kadang dia sesuka hati menengking bila ada saja yang dia tak puas hati.

“Saya sabarkan diri memandangkan awal perkenalan kami, memang begitu sikapnya. Semua orang yang kenal dengan isteri saya sudah tahu akan perangainya yang cepat marah bila berlaku sesuatu. Tetapi itulah jodoh, siapa dapat menahan ketentuan Tuhan. Mungkin kerana sikapnya yang pandai mengambil hati, manja dan pandai memujuk menyebabkan saya boleh bertahan dengannya sehingga mendapat dua orang cahaya mata. Begitu pun, sikap barannya semakin menjadi-jadi, puas di tegur tak juga berubah. Rupa-rupanya itu adalah strategi dia untuk membolehkan dia mendapat apa yang diinginkannya iaitu berpisah dengan saya,” kata Nazri (bukan nama sebenar) ketika menghubungi meja MW baru-baru ini untuk meluahkan isi hatinya mengenai sikap bekas isterinya.

Seperti adegan di dalam drama, pertemuan mereka cukup syahdu bila mana Nazri yang merupakan seorang mekanik bertemu Lisa (bukan nama sebenar) di tepi jalan. Kebetulan kereta yang dipandu Lisa mengalami masalah enjin. Lalu Nazri menawarkan diri membantu. Setelah itu, mereka bertukar-tukar kad bisnes dan lama-kelamaan mereka menjadi rapat apabila sering berhubung.

Menyedari statusnya yang sekadar mekanik biasa manakala Lisa anak orang berada, menyebabkan Nazri cuba menjauhkan diri. Namun Lisa yang sudah mulai terpikat dengan Nazri selalu mencari peluang untuk mendekatinya. Mungkin kerana Nazri memiliki susuk badan yang tegap dengan wajah yang tampan membuatkan Lisa menjadi gila bayang. Bukan tidak ada lelaki kaya lain yang mahu mendekatinya, namun semuanya ditolak ke tepi.

Tambahan pula, ayah dan ibunya tidak melarang mereka berkawan memandangkan Nazri merupakan pemegang ijazah dari luar negara, namun dek kerana minatnya dalam bidang mekanik menyebabkan dia mengambil keputusan membuka bengkel memperbaiki pelbagai jenis kereta. Hampir setahun berkawan rapat, suatu hari Lisa menyuarakan hasrat supaya perhubungan mereka dinoktahkan dengan ikatan perkahwinan. Namun Nazri belum memberi kata putus memandangkan sepanjang mereka berkawan, sudah acap kali berlaku pergaduhan.

Semuanya gara-gara sifat cemburu dan tidak puas hati Lisa terhadap Nazri. Pantang nampak wanita muda yang datang ke bengkel, pasti akan meletus perang antara mereka. Setiap kali bergaduh, pasti Nazri yang menjadi mangsa kerana terpaksa menahan pedih telinga mendengar leteran Lisa. Pernah sekali, disebabkan kesabarannya sudah hilang, Nazri memberitahu enggan bersama Lisa lagi.

Seminggu mereka tidak bertegur sapa sehinggalah Lisa akhirnya mencari Nazri. Akhirnya hati Nazri menjadi lembut dek pujukan dan rayuan manja Lisa. Kini, Lisa mengajaknya berkahwin menyebabkan hati Nazri berbelah bahagi. Walaupun keluarga Lisa merestui memandangkan Nazri juga berjaya dalam bisnesnya, namun Nazri bimbang akan sikap panas baran Lisa boleh mendatangkan kesan dalam rumah tangga mereka kelak.

Kata dua
Akhirnya setelah lama memujuk di tambah pula ibu Nazri sendiri sudah berkenan dengan Lisa, mereka kemudiannya diijabkabulkan dalam suasana cukup meriah. Tiga bulan berkahwin, mereka mendapat berita gembira, Lisa mengandung menyebabkan Nazri semakin sayang dan menatangnya seperti minyak yang penuh. Apa jua keinginan Lisa di penuhi biarpun penat bekerja.

Malah, setiap kali Lisa naik angin, Nazri akan bersabar dan hanya mendiamkan diri, sehinggalah anak lelaki mereka yang diberi nama Farish dilahirkan. Selang dua tahun kemudian, Lisa mengandung lagi. Lagi sekali Nazri menadah kesyukuran, namun sebaliknya dengan Lisa. Dia berasakan kandungan tersebut satu bebanan dan enggan meneruskan kandungan. Alasannya Farish masih kecil dan memerlukan perhatian dan kasih sayang. Puas memujuk namun Lisa tetap berkeras mahu menggugurkan kandungan tersebut.

Akhirnya kesabaran Nazri sudah sampai ke kemuncak, lantas dia memberi kata dua kepada Lisa. Sekiranya Lisa menggugurkan kandungan tersebut, maka akan jatuh talak satu ke atasnya. Terkejut bukan kepalang Lisa mendengar kata-kata Nazri, begitu juga dengan keluarganya yang kebetulan berada di rumah mereka bagi menasihati Lisa supaya tidak menggugurkan kandungannya. Malah, Nazri sendiri turut tidak menyangka yang dia akan mengucapkan kata-kata itu.

Menagih kasih
Untuk mengelakkan dari berlaku perbalahan lebih teruk, Ibu bapa Nazri menasihatinya
supaya bersabar dan tidak mengeluarkan katakara sedemikian rupa lagi. Akhirnya perang antara mereka reda dan berlalu begitu saja. Namun, hati Lisa sedikit sebal mendengar kata-kata Nazri yang baginya seolah-olah ugutan. Setiap hari ada saja yang perbuatan Nazri yang tidak kena di matanya. Walaupun ada pembantu rumah, namun Lisa tetap mahukan Nazri yang melakukan semuanya. Demi anak dalam kandungan, Nazri beralah dan bersabar mendengar tengkingan dan kata-kata pedas dari isterinya.

Sehinggalah suatu hari, entah bagaimana Lisa yang kebetulan mahu keluar membeli barang memakai kasut bertumit tinggi biarpun sudah banyak kali dinasihati Nazri supaya tidak berbuat demikian. Ketika tergesa-gesa menuju ke kereta, kakinya tersadung dan dia terjatuh ke lantai. Kelihatan darah keluar dari celah-celah kakinya. Ketika itu Nazri tiada di rumah, mujurlah pembantu mereka nampak dan terus menelefon Nazri. Akhirnya Lisa di bawa ke hospital, namun kandungannya yang memasuki lima bulan tidak dapat diselamatkan.

Mungkin wanita lain akan berasa sedih, namun tidak bagi Lisa yang sememangnya dari awal tidak mahu mengandung. Setelah diberitahu hal tersebut, Nazri berasa sedih kerana harapannya menimang cahaya mata lagi tidak kesampaian. Melihatkan sikap isterinya, hatinya bertambah sakit. Lantas, pada keluarga mentua dan keluarga diluahkan rasa sedih sambil memberitahu sudah tidak sanggup menjadi suami kepada Lisa.

Walaupun puas di pujuk dan dirayu oleh Lisa kononnya akan berubah dan sanggup mengandung lagi, namun Nazri tetap dengan keputusannya. Akhirnya mereka bercerai talak satu dan sehingga kini, Lisa masih tetap menagih kasih pada Nazri biarpun tahu hati bekas suaminya sudah beku terhadapnya. Bagi Nazri, yang penting kini adalah kebahagiaan anak lelaki tunggal mereka.

Sumber: MW

One thought on “Pengakuan Duda: Isteri berkeras mahu gugurkan kandungan

  1. Bersabar lah.Ini ujian daripada ALLAH S.W.T ke atas hambanya.Mungkin kadang2 kita lupa padaNYA.Buat la keputusan yang baik untuk diri sendiri.Dan mungkin juga jodoh seseorang tu dengan orang lain.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s