Negara rugi jika wanita tinggalkan pasaran kerja selepas kahwin

Sambutan Hari Wanita Kebangsaan pertama kali diraikan pada 25 Ogos 1962. Tarikh berkenaan dikatakan diilhamkan sendiri Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang berpendapat Hari Wanita wajar diraikan sebelum sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan wanita kepada negara.

Walaupun ketika itu pembabitan wanita dalam sektor pekerjaan amat kurang, ternyata Tunku sudah melihat kepentingan sumbangan wanita dan mengenal pasti saluran yang boleh digunakan bagi memperkasa golongan hawa termasuk menggubal undang-undang bagi membolehkan lebih ramai wanita berada dalam arus pendidikan dan pekerjaan.

Kini 47 tahun selepas Hari Wanita Kebangsaan pertama kali disambut, wanita sudah mengorak langkah yang begitu jauh meninggalkan kenangan silam. Jika pada lima dekad lalu, mungkin tidak sampai 10 peratus wanita dan kanak-kanak celik huruf, hari ini wanita di Malaysia boleh berbangga dengan jumlah pelajar di institut pengajian yang dimonopoli wanita dengan nisbah lebih 65 peratus berbanding lelaki.

Kementerian Pengajian Tinggi melaporkan pada 2007, jumlah pelajar wanita melanjutkan pengajian bagi kursus Sarjana Muda di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melebihi lelaki iaitu 61.9 peratus, manakala di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), 52.9 peratus.

Trend berkenaan dilihat sudah bermula sejak 1970-an, tetapi berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan pada 2007, hanya 36 peratus wanita memasuki pasaran kerja berbanding lelaki dengan kebanyakannya berada dalam bidang perkeranian, iaitu 68.9 peratus.

Walaupun nisbah wanita yang berada dalam bidang profesional 45 peratus berbanding lelaki, jumlah wanita dilantik memegang jawatan kanan dan pengurusan hanya 23 peratus. Ini menimbulkan persoalan mengapa dengan jumlah kemasukan pelajar wanita yang begitu tinggi di institusi pengajian tinggi (IPT), tetapi tidak ramai memasuki pasaran kerja dan memegang jawatan penting dalam kategori penggubal dasar.

Kajian Jabatan Perangkaan mendapati hampir 65 peratus wanita tidak bekerja kerana melakukan kerja rumah. Dalam erti kata lain, ramai wanita meninggalkan pasaran kerja apabila sudah berumahtangga dan menumpukan perhatian kepada keluarga.

Kesukaran mendapatkan pengasuh dipercayai antara punca utama wanita meninggalkan alam pekerjaan. Selain itu, perubahan gaya hidup hari ini berbanding lebih tiga dekad lalu yang menyaksikan semakin ramai keluarga asas, iaitu pada kadar 70 peratus berbanding mereka yang tinggal dengan keluarga besar dengan purata 24 peratus.

Ketiadaan keluarga terdekat membantu menjaga anak, menyebabkan ramai keluarga terpaksa bergantung kepada pusat jagaan kanak-kanak atau pembantu rumah warga asing. Namun, pelbagai masalah membabitkan pembantu rumah sejak kebelakangan ini selain khidmat pusat penjagaan kanak-kanak yang tidak teratur dan bermutu mengeruhkan keadaan, sekali gus memaksa wanita memilih menjadi suri rumah sepenuh masa.

Kebimbangan terhadap pelbagai gejala sosial membabitkan generasi muda hari ini yang semakin meningkat dikatakan turut menyebabkan ramai wanita membuat pilihan berkenaan kerana antara alasan diberikan tidak mahu melihat anak tersilap langkah dan terjebak dalam kegiatan tidak sihat.

Justeru, jika isu ini tidak ditangani segera, lebih ramai wanita berkelayakan mengambil jalan pintas dengan tidak memanfaatkan pendidikan yang dimiliki dan negara akan kerugian guna tenaga yang berkebolehan serta mempunyai kemahiran tinggi.

Hakikatnya, wanita mempunyai 1,001 alasan mengapa mereka perlu terus berada dalam pasaran kerja. Selain membantu meningkatkan pendapatan seisi keluarga dan membantu ibu bapa, wanita juga perlu memikirkan masa depan supaya mereka dapat berdikari jika keadaan memerlukan kelak.

Tetapi tanpa sistem sokongan yang baik, ramai yang terpaksa memilih sebaliknya. Bersesuaian dengan slogan Hari Wanita tahun ini, iaitu Wanita Aspirasi 1Malaysia, amat wajar jika semua pihak memandang serius isu berkenaan, supaya lebih ramai wanita dapat digemblengkan bagi membantu membangunkan negara.

Wanita Malaysia sudah melalui perjalanan yang jauh, berjaya menerobos isu siling kaca dan meyakinkan pelbagai pihak akan keupayaan mereka, tetapi semua itu tidak akan berbaloi jika ramai terpaksa mengambil keputusan meninggalkan pasaran kerja berikutan isu yang mungkin dipandang sebelah mata selama ini.

Oleh Fadzlena Jafar
Penulis ialah Pengarang Wanita Berita Harian

One thought on “Negara rugi jika wanita tinggalkan pasaran kerja selepas kahwin

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s