Maksiat Di Bulan Ramadan. Benarkah Syaitan Dibelenggu?

Diantara hadis yang sering dikumandangkan setiap kali hadirnya bulan Ramadhan ialah hadis yang berbunyi : “Apabila masuk bulan Ramadhan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahannam, serta dibelenggu syaitan-syaitan”.

Hadis ini diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.Ia adalah hadis yang sahih yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari(lihat Ibnu Hajar, Ahmad bin Ali bin Hajar(1998), Fathul Bari, Kaherah : Dar al-Hadis, jld.4, hlm.140)

Hadis ini menimbulkan kemusykilan di kalangan sesetengah orang, khususnya yang berkaitan dengan “pembelengguan syaitan di bulan Ramadhan”.Kemusykilan timbul apabila mereka melihat wujudnya realiti yang seolah-olah menidakkan kenyataan bahawa syaitan dibelenggu pada bulan yang mulia ini.

Hadis di atas memberikan gambaran bahawa bulan Ramadhan adalah bulan yang bersih dari segala perlakuan maksiat manusia dan dosa.Ini kerana, punca manusia membuat angkara dan terjebak ke kancah dosa, iaitu syaitan, telah dibelenggu dan diikat.

Tetapi, realiti yang berlaku adalah sebaliknya.Maksiat dan kemungkaran masih juga berlaku pada bulan Ramadhan.Situasi ini, pada sesetengah orang, adalah petanda bahawa syaitan masih bebas bergerak untuk menggoda dan menghasut manusia, sehingga mereka tergelincir ke lembah dosa.

Hadis Nabi s.a.w membayangkan ketidakwujudan kemungkaran dan maksiat pada bulan Ramadhan, lantaran puncanya-yakni syaitan-telah diberkas.Sementara realiti yang ada pula mempamerkan hakikat sebaliknya.Inilah yang mencetuskan kemusykilan.

Untuk merungkai kemusykilan ini, huraian para ulama’ perlulah dirujuk.Terdapat beberapa pandangan ulama’ yang menghuraikan makna pembelengguan syaitan ini.Ringkasnya, terdapat dua pendapat seperti berikut(lihat Ibnu Hajar, Ahmad bin Ali bin Hajar(1998), Fathul Bari, jld.4, hlm.141-142) :

1.Pendapat pertama mengatakan, “pembelengguan syaitan pada bulanRamadhan” sebenarnya hanyalah satu kiasan.Ertinya, syaitan bukannya benar-benar dibelenggu ataupun diikat.Ungkapan “syaitan dibelenggu” digunakan hanya sebagai kiasan untuk merujuk kepada makna lain. Ia sama dengan ungkapan “pemandu yang tidak beretika digantung lesennya”.Perkataan “digantung” disini hanyalah sekadar kiasan.Ia tidak membawa maknanya yang sebenar iaitu lesen diikat dengan tali, kemudian digantung pada tiang.Sebaliknya, ia adalah kiasan kepada pembatalan ke“sah”an lesen tersebut.
2.Pendapat kedua mengatakan, “pembelengguan syaitan pada bulan Ramadhan” membawa maksudnya yang asal.Iaitu, syaitan benar-benar dibelenggu dengan makna diikat atau diberkas.Ertinya, ia bukan satu kiasan.

Pembelengguan syaitan hanyalah kiasan

Ulama’ yang mengatakan “pembelengguan syaitan” hanyalah kiasan, berbeza pandangan dalam menentukan maksud kiasan ini.Sekurang-kurangnya terdapat dua pendapat dalam menentukan maksudnya.Ia seperti berikut :

Pendapat pertama dikemukakan oleh al-Hulaimi.Beliau mengatakan “ada kebarangkalian bahawa maksud “syaitan dibelenggu” ialah “mereka tidak dapat menggoda manusia sepenuhnya pada bulan Ramadhan seperti pada bulan-bulan yang lain, disebabkan manusia sibuk dengan berpuasa yang mengekang syahwat, membaca al-Quran dan berzikir”.Ini boleh disamakan dengan ungkapan “dalam sistem diktator, rakyat ditutup mulut dan digari”.Ungkapan ini membawa makna “rakyat tidak sepenuhnya dapat bersuara dan bebas melakukan aktiviti yang dianggap menggugat kerajaan” disebabkan sekatan undang-undang.

Pendapat kedua pula dikemukakan oleh al-Qadhi ‘Iyadh.Beliau berkata :
“Ada kebarangkalian ungkapan “pembelengguan syaitan” adalah kiasan kepada keterbatasan kemampuan mereka untuk menggoda manusia dan memperindahkan nafsu syahwat pada pandangan manusia”.

Jika diamati, kedua-dua pandangan ini adalah sama.Kesimpulannya, “pembelengguan syaitan pada bulan Ramadhan” adalah kiasan kepada “kemampuan mereka yang terhad dan terbatas untuk menggoda dan memperdayakan manusia”.

Jika pendapat ini dijadikan pegangan, maka kewujudan maksiat pada bulan Ramadhan tidak lagi menjadi kemusykilan.Ini kerana, syaitan bukannya benar-benar dibelenggu. Mereka masih bebas bergerak pada bulan Ramadhan seperti pada bulan-bulan yang lain.Mereka juga masih mampu menggoda dan menghasut manusia supaya melakukan dosa, tetapi dalam serba keterbatasan dan kemampuan yang sangat terhad.

Kemampuan mereka untuk menggoda manusia menjadi terbatas disebabkan manusia sibuk dengan puasa, membaca al-Quran dan berzikir seperti yang dinyatakan oleh al-Hulaimi.

Justeru itu, berasaskan pandangan ini, kewujudan segelintir manusia yang melakukan maksiat pada bulan Ramadhan, sebenarnya adalah terjemahan kepada kedhaifan iman. Ini kerana, mereka masih boleh digoda oleh syaitan meskipun langkah dan pergerakan syaitan serba terbatas dan terhad.Ini adalah pendapat ulama’ yang mengatakan hadis di atas adalah kiasan.

Syaitan benar-benar dibelenggu

Adapun ulama’ yang mengatakan “pembelengguan syaitan” membawa makna mereka memang benar-benar diikat dan dirantai, mereka berbeza pendapat dalam menentukan syaitan-syaitan yang diikat seperti berikut :

*Pendapat pertama mengatakan, yang dibelenggu hanyalah sebahagian syaitan sahaja iaitu pencuri berita-berita dari langit ataupun “pelampau-pelampau” syaitan.

*Pendapat yang kedua pula mengatakan kesemua syaitan diikat tanpa terkecuali.

Mereka yang berpandangan bahawa yang diberkas hanyalah syaitan-syaitan yang mencuri perkhabaran dari langit mengatakan, meskipun syaitan-syaitan ini telah dihalang dari mendengar berita-berita dari langit sejak zaman penurunan al-Quran lagi, namun mereka masih diberkas pada setiap bulan Ramadhan sebagai langkah penjagaan yang maksimun.Ia bertujuan memastikan ke tahap yang maksimun bahawa tiada berita-berita langit yang dapat didengari oleh syaitan.

Berasaskan pendapat ini, tidak semua syaitan diberkas pada bulan Ramadhan.Yang diikat hanyalah syaitan-syaitan yang dinyatakan di atas.Sementara syaitan-syaitan yang lain, masih bebas berkeliaran melakukan tugas menyesatkan manusia.

Sementara ulama’ yang berpendapat hanya pelampau-pelampau syaitan sahaja yang diikat, mereka berdalilkan dengan beberapa hadis yang lain.Antaranya, hadis yang dikeluarkan oleh Imam Nasa’ie dari Abu Qilabah dari Abu Hurairah r.a yang berbunyi “…dan dibelenggu padanya(yakni pada bulan Ramadhan) pelampau- pelampau syaitan”.

Jelasnya, hadis riwayat Imam Nasa’ie ini memperincikan hadis riwayat Abu Hurairah yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari yang dibicarakan ini.Dalam erti kata lain, hadis yang dikeluarkan oleh Imam Bukhari datang secara umum.Ia hanya menyebut “dibelenggu syaitan-syaitan” tanpa diperincikan.Manakala hadis Imam Nasa’ie ini datang dalam bentuk yang lebih detail, dimana dijelaskan jenis syaitan yang dibelenggu pada bulan Ramadhan.Oleh itu, hadis Imam Nasa’ie ini-pada pandangan sebahagian ulama’- dianggap sebagai pentafsir kepada hadis Imam Bukhari.

Adapun ulama’ yang mengatakan kesemua syaitan diikat tanpa terkecuali, mereka berpegang kepada lafaz zahir hadis Imam Bukhari.Hadis tersebut dengan terang mengatakan para syaitan dibelenggu tanpa disebutkan pengecualian.Diantara ulama’ yang berpegang kepada zahir hadis ini ialah Imam Qurtubi.

Di sinilah timbulnya kemusykilan.Jika kesemua syaitan diberkas pada bulan Ramadhan,mengapa masih kedapatan manusia yang melakukan kemaksiatan dan kemungkaran?.

Kemusykilan ini dijawab oleh Imam Qurtubi dengan mengatakan “pembelengguan kesemua syaitan tidak membawa makna tidak akan berlaku kejahatan dan maksiat kerana ada sebab-sebab lain berlakunya maksiat dan kejahatan seperti hawa nafsu yang jelek, adat kebiasan yang buruk dan syaitan-syaitan manusia”.

Pada pandangan penulis, pendapat yang rajih(kuat) ialah pendapat Imam Qurtubi, iaitu kesemua syaitan dibelenggu pada bulan Ramadhan tanpa terkecuali.Pendapat ini boleh diterimapakai biarpun realiti yang ada menunjukkan kejahatan dan maksiat-yang dikaitkan dengan godaan dan hasutan syaitan-masih berlaku pada bulan Ramadhan.

Ini kerana, punca kejahatan dan dosa yang dilakukan oleh manusia, bukan hanya disebabkan oleh hasutan dan godaan syaitan.Ia juga berpunca dari hawa nafsu yang kotor, adat kebiasaan yang buruk dan peranan syaitan-syaitan manusia seperti yang dinyatakan oleh Imam Qurtubi.

Pengajaran yang dapat diambil di sini ialah, pelaku maksiat pada bulan yang mulia ini perlu menjadikan puasa mereka sebagai alat untuk membersihkan nafsu yang jahat, adat kebiasan yang buruk dan untuk menjauhkan diri dari manusia-manusia yang jahat, yang mengajak kepada keburukan dan kemungkaran.

Sumber: Jasa

One thought on “Maksiat Di Bulan Ramadan. Benarkah Syaitan Dibelenggu?

  1. salam..syukron kerana maklumat ini sangat bermakna buat umat islam yang masih ragu2 dalam memahami konsep syaitan dibelenggu..saya ada satu pertanyaan..mcm mana pulak dengan jin?? adakah mereka ini juga dibelenggu??atau yang dibelenggu hanyalah jin kafir dan bukannya jin islam..

    maaf bertanya..saya telah mengalami gangguan makhluk halus pada awal ramadhan..dan ia masih berkekalan sehingga hari ini…
    minta pendapat yang pakar..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s