Suami tahi judi jadikan isteri tempat lepas geram

Suami tahi judi jadikan isteri tempat lepas geram

BAGI Zarynn Mustafa (bukan nama sebenar), 29, perceraian terpaksa diharungi kerana tidak dapat bersabar lagi dengan sikap tidak bertanggungjawab bekas suaminya.

Pelbagai nasihat sudah diberi namun sikap suami yang gemar berpoya-poya dan menghabiskan duit dengan berjudi amat menguji kesabarannya.

“Isteri mana yang dapat bersabar apabila suami punya wanita lain di luar dan menghabiskan duit dengan berjudi.

“Puas saya nasihat supaya dia berubah demi anak-anak, tetapi dia masih berdegil, malah jika dia kalah judi, saya dijadikan tempat untuk melepaskan perasaan marahnya,” kata ibu dua cahaya mata berusia sembilan dan tiga tahun itu.

Pasangan ini berkahwin atas nama cinta ketika masing-masing baru mencecah usia 19 tahun selepas kurang setahun berkenalan.

“Sudah 10 tahun saya bersabar demi anak-anak dan kini, kesabaran itu sudah tiada. Memang berat hati, tetapi mengenangkan masa depan anak-anak, saya tiada jalan lain kecuali mengambil keputusan berpisah,” katanya.

Menurut Zarynn, hubungan dingin bersama keluarga mentua turut memburukkan lagi keadaan, malah dia kesal ibu mentuanya sering menyebelahi bekas suami jika timbul masalah.

Perkahwinan mereka asalnya direstui keluarga sehingga ibu mentua berubah sikap selepas dia melahirkan anak pertama.

Dia juga percaya ibu mentuanya mengamalkan ilmu hitam apabila terjumpa gambar perkahwinan mereka yang dicucuk lidi dan kain kuning di dalam bilik.

Hingga kini, dia masih tidak percaya ibu mentuanya sanggup mengamalkan ajaran songsang itu semata-mata membencikannya.

Zarynn mengakui keputusan untuk berpisah itu diambil selepas tidak bahagia dengan perkahwinan kerana sering memendam rasa dengan perbuatan liar suami serta perangai ibu mentuanya.

“Pada awal perceraian, kehidupan saya bukan saja tunggang-langgang kerana bukan saja terpaksa berpisah dengan anak (dijaga keluarga mentua), malah perlu berdepan dengan tohmahan masyarakat serta mencari pekerjaan sesuai.

“Biarpun gembira kerana dilepaskan, saya terpaksa melepaskan hak jagaan anak kepada keluarga suami kerana ketika ini, tidak mempunyai pendapatan yang stabil.

“Selepas berpisah, saya jarang berpeluang berjumpa mereka dan bagi menghilangkan perasaan sedih, saya terpaksa mengambil ubat penenang perasaan hampir setiap hari,” katanya yang mengakui amat merindui dua anaknya itu.

Biarpun mahkamah memutuskan hak jagaan anak diberikan kepada keluarga suaminya, Zarynn bertekad akan mengambil balik haknya selepas kedudukan kewangannya stabil.

Tumpuannya kini adalah mencari rezeki dan membina kerjaya sendiri untuk masa depan kedua-dua anaknya itu.

“Anak-anak masih kecil dan belum mengerti apa-apa. Apa yang mereka tahu ialah ibu dan ayah mereka tidak tinggal serumah kerana ada masalah.

“Biarpun perjalanan hidup penuh dengan ranjau dan duri, sebagai hamba yang lemah, saya hanya mampu berdoa dan yakinkan diri bahawa pasti akan ada sinar menanti di penghujungnya,” katanya yang turut berpesan kepada remaja supaya tidak terburu-buru membuat keputusan berkahwin di usia muda.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s